![]()
GUAN ENG:
TAK KENAL MAKA TAK CINTA
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN
Setiausaha Agung DAP telah diberi satu ruangan khas dalam akhbar NST hari ini untuk menyerang dan merendah-rendahkan PAS, sahabat baiknya satu ketika dahulu. Artikelnya diberi tajuk:Is it just the old PAS in new clothes?Guan Eng telah menggunakan sepenuhnya peluang sekali seumur hidup yang diberikan oleh ahbar pro BN itu untuk memburk-burukkan imej PAS semaksima mungkin tanpa menyedari ianya pasti mengiburkan kuasa-kuasa politik di belakang akhbar tersebut.
Beliau telah menyerang kekalahan PAS dalam pilihan raya 2004 dengan menyalahkan agenda negara Islam parti tersebut sebagai salah satu punca kekalahannya. Menurut beliau, agenda itu tidak mengambil kira langsung perasaan masyarakat bukan-Islam dan masyarakat Melayu moderat.
Beliau turut menyerang pimpinan baru PAS dengan mendakwa usaha parti tersebut untuk menjenamakan kembali partinya sebenarnya hanyalah usaha kosmetik semata-mata.
Malah serangan beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Presiden PAS Hj Abd Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat turut tidak terkecuali. Kata beliau, perubahan pucuk pimpinan PAS tidak akan memberi banyak kesan selagi Hadi masih Presiden dan Nik Aziz pula masih MB.
Guan Eng menamatkan serangannya yang tidak diduga ini dengan menasihatkan PAS, parti yang lebih matang daripada DAP dan beliau sendiri, agar menggugurkan perjuangan Islamnya dan menghormati Perlembagaan Merdeka tahun 1957 serta nilai-nilai demokrasi yang terkandung di dalamnya.
Secara peribadi, saya percaya ramai rakyat Malaysia khususnya ratusan ribu yang telah mengundi PAS termasuklah rakyat Kelantan yang melalui proses demokrasi yang sama telah memberikan kuasa kepada PAS dalam negeri tersebut akan berasa tersinggung dengan artikel Guan Eng itu.
Jangan Guan Eng lupa akan betapa ramainya ahli PAS yang telah memenuhi perkarangan penjara Kajang ketika pembebasan beliau setelah dipenjarakan oleh kepala-kepala dalam BN dahulu. Guan Eng juga jangan lupa kepada ribuan ahli PAS yang telah secara sukarela membantu calon-calon DAP dalam pilihan raya umum 1999 dengan memberikan tempat berlindung, sokongan dan bantuan kepada pemimpin dan para pekerja partinya sepanjang pilihan raya tersebut demi semangat persahabatan dan kerjasama sebagaimana terkandung dalam pakatan BA.
Guan Eng telah menolak ke tepi semua sumbangan ini, yang barangkali beliau pandang kecil atau tidak bernilai langsung, sehingga tergamak menyerang seboleh mungkin bekas rakan karibnya.
Memang di bawah semangat kebebasan bersuara, Guan Eng berhak mendakwa dan memperkatakan apa sahaja yang beliau inginkan. Namun beliau perlu menerima hakikat bahawa PAS itu sendiri adalah sebuah politik yang berdaftar yang sentiasa mematuhi peraturan undang-undang yang ada. PAS telah mengambil bahagian dalam semua pilihan raya umum tanpa lari daripada atau meningalkan perjuangan politiknya.
PAS akan kekal sebagai sebuah parti Islam, menuntut agar ia menggugurkan perjuangannya (yang lebih 50 tahun itu) tidaklah dikira sopan dan beradab, lebih-lebih lagi daripada seorang bekas rakan seperjuangan.
Bagi Guan Eng apa sahaja yang telah PAS capai di Kelantan contohnya, tidak penting. Guan Eng menafikan segala-gala ini di dalam serangannya yang tidak bertimbang rasa itu.
Sesungguhnya kesediaaan kerajaan PAS Kelantan melantik seorang Cina sebagai ahli Exco Kerajaan, melantik wakil DAP sebagai Pembantu Khas kepada MB Terengganu sebelum pilihan raya 2004 lalu, melantik wakil-wakil masyarakat Cina sebagai ahli-ahli majlis tempatan dan penghulu tidak langsung disentuh oleh Guan Eng.
Mungkin langkah-langkah ini kecil dan tidak penting bagi Guan Eng, walau bagaimanapun ia sesungguhnya adalah bukti keterbukaan PAS dan kesediaannya mengikhtiraf semua pihak dalam Malaysia tanpa mengambil kira latarbelakang kaum mahupun kepercayaan.
Ringkasnya, artikel Guan Eng gagal mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku di dalam parti PAS hari ini. Guan Eng mungkin telah jauh terpisah dan oleh itu saya mencadangkan agar beliau mengambil masa untuk lebih mendekati parti itu daripada menyerang dan mencederakan kawan-kawan, lebih baik bagi beliau duduk memahami PAS serta berusaha menjalinkan hubungan yang lebih baik antara kedua-dua parti.
Kata pepatah Melayu: Tak kenal maka tak cinta.
SILA KUNJUNGI BLOG ROSLAN SMS di http://n32.blogspot.com/
Diperpanjangkan oleh Roslan sms - 14.07.2005 (Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN