ISU JARUM SUNTIKAN & KONDOM:
JANGAN MENGUNDANG MALAPETAKA

Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN
Isu jarum dan kondom percuma ini kini menjadi semakin hangat. Biasanya kalau isu seumpama ini sampai ke tahap begini cuma ada dua, sama ada ia akan ditolak ataupun diterima pakai.

Cadangan ini berpunca daripada Kementerian Kesihatan dengan sokongan kelompok NGO yang berkaitan yang mahukan usaha diambil untuk mengawal dan mengurangkan tersebarnya virus HIV AIDS.

Saya lihat isu ini sungguh membimbangkan. Kita mahu kawal HIV AIDS yang dijangkiti melalui penggunaan jarum yang tercemar lalu kita berikan jarum bersih kepada mereka. Siapa mereka ini? Para penagih yang menyalahgunakan najis dadah melalui suntikan.

Kemudian kita turut mahu memastikan HIV AIDS tidak dijangkiti melalui hubungan seksual tanpa kawalan lalu kita berikan kondom percuma.

Tidakkah langkah-langkah ini dilihat celaru dan keliru? Apa dah jadi dengan kempen membanteras penyalahgunaan najis dadah di mana berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan oleh kerajaan zaman berzaman?

Kita gagal memerangi najis dadah dan kini kita bersedia membekalkan pula alat dan dadah gantian yang dipanggil methadone kepada mereka yang bermasalah ini. Kemudian bersedia menggalakkan hubungan seksual dengan syarat mereka ini menggunakan kondom yang kita bekalkan.

Apa dah jadi dengan masyarakat kita?

Bermakna kita kini mengiktiraf para penagih ini dan malah membenarkan mereka terus hidup berkeluarga sebagai sebahagian dari institusi masyarakat. Syaratnya kalau nak kenakan suntikan gunakan yang disediakan dan kalau nak berhubungan seksual gunakan kondom yang disediakan.

Sesungguhnya suami yang terjebak dengan najis dadah sudah tidak lagi layak berkeluarga. Mereka ini perlu ditangani secara berasingan. Mana ada keluarga yang bahagia kiranya ketua keluarga seorang penagih najis dadah.

Kesimpulannya, keutamaan kita kini sudah tersilap. Dan kita akan terus tersilap kiranya usaha ini diteruskan.

MARINA MAHATHIR

Dalam UTUSAN MALAYSIA hari ini Marina Mahathir selaku Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia ghairah mempromosikan idea ini. Marina menyatakan di Negara Islam konservatif seperti Iran pun memberikan suntikan percuma kepada penagihnya. Dan Marina mahu mengusahakan membawa ulamak Iran ke sini untuk memberikan penerangan.

Kalau dalam bab penagihan dadah dan HIV AIDS ini Marina mahu turut Iran, kenapa bab yang lain tidak?

Ini masalah sosial dan masing-masing Negara mempunyai masalah dan pendekatan masing-masing yang bersesuaian dengan keadaan setempat. Jangan kita gadaikan budaya dan norma hidup kita untuk mengejar sesuatu yang asing dalam masyarakat kita.

Saya kira kedua-dua langkah ini tidak sesuai dan jangan diteruskan. Kerajaan perlu mempertingkatkan usaha memerangi najis dadah, jangan izinkan sipenagih membawa amalannya ke rumah dan sekali gus menganggap ianya sesuatu yang normal. Bayangkan si anak melihat bapanya menggunakan jarum untuk menyuntik najis dadah di depan matanya! Mahukah kita kepada pembentukan masyarakat jenis ini?

SILA KUNJUNGI BLOG ROSLAN SMS di http://n32.blogspot.com/

Diperpanjangkan oleh Roslan sms - 07.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: