![]()
SYED HUSIN SYED ALI - husinsa23@yahoo.com
KEKURANGAN DALAM PELAN STRATEGI PENDIDIKAN TINGGI - Laman M@RHAEN
Sungguhpun Pelan Strategi Pendidikan Tinggi, sebagaimana dilaporkan dalam media, nampaknya mengemukakan beberapa langkah yang sesuai untuk memperbaiki universiti-universiti dalam negara, namun kelihatan juga beberapa kekurangan, seperti berikut:
1) AUTONOMI: Buat beberapa lama, masyarakat akdemik berjuang untuk mengembalikan Autonomi Universiti, selepas dibataskan oleh Akta Universiti dan Kolej-kolej Universiti dan kemudiannya oleh Akujanji. Syarat pertama untuk memastikan universiti yang bebas serta berautonomi ialah menghapuskan segala sekatan yang timbul dari kedua-dua ini ke atas masyarakat akademik. Kini, Pelan Strategi menjanjikan universiti-universiti awam dan swasta sedikit autonomi, akan tetapi nampaknya terhad hanya kepada memberi lebih kuasa kepada lembaga pengarah universiti untuk membuat perubahan, meningkatkan institusi dan mengutip derma untuk projek penyelidikan.
Autonomi Universiti lebih luas maknanya. Autonomi pentadbiran penting, akan tetapi autonomi akademik lebih penting. Malangnya, tidak ada sangat disebut tentang autonomi akademik dalam Pelan ini. Kita lihat semakin bertambah campurtangan kementerian atas hal-hal akademik yang penting, seperti menentukan tempoh waktu kursus dan sukatan pelajaran. Umpamanya, tempoh kursus untuk ijazah pertama dikurangkan dari empat ke tiga ahun dan kemudian ditukar semula ke empat tahun dengan sewenang-wenang saja oleh menteri. Proses menentukan dan mengemukakan sukatan untuk Hubungan Etnik dikawal hampir seluruhnya oleh kemenerian dan kabinet, dengan penyertaan hanya untuk memenuhi syarat dari ahli akademik berjiwa hamba. Kini, dengan wujudnya Kementerian Pendidikan Tinggi, nampaknya semakin banyak campur tangan ke atas penadbiran, pensyarah dan pelajar universiti.
Jaminan terbaik untuk Autonomi Universiti, dari segi pentadbiran dan akademik, ialah mengadakan Carta Universiti dan Suruhanjaya Geran Universiti (SGU). SGU terbukti sangat berjaya untuk menjamin autonomi universiti di beberapa buah universiti luar negara. SGU beroperasi dengan bebas dari kerajaan, walaupun ia mendapat geran dari kerajaan untuk diagihkan ke universiti-universiti, selain bebas untuk memungut derma tambahan dari pelbagai sumber, tanpa menyekat universiti-universiti sendiri memungut derma dengan usaha sendiri. SGU beserta universiti-universeti dan masyarakat akademik menjaga mutu universiti dan mempertahan kebebasannya dari campur tangan atau pengaruh keterlaluan dari mana-mana kepentingan politik atau ekonomi.
2) UNIVERSITI KEMUNCAK: Kedudukan universiti-universiti terbaik, atau apa yang digelar sebagai Universiti Apex (Kemuncak), seharusnya tidak ditentukan oleh jawatakuasa yang dibentuk oleh kerajaan, walaupun anggotanya dari pelbagai sektor. Sesebuah Universiti Kemuncak mencapai kecemerlangan hasil prestasinya sendiri, terutama dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan penemuan kakitangannya. Cambridge dan Oxford atau Haarvard dan Yale berada di kemuncak bukan kerana mereka dipilih oleh sebarang jawatankuasa, akan tetapi diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana pencapaian akademik mereka. Sungguh aneh sekiranya sesebuah jawatankuasa memilih satu-satu uiversiti sebagai universiti apex, walhal masyarakat akademik antarabangsa mengiktiraf universiti yang lain.
3) NAIB-CANSELOR: Sangat menggembirakan kerana Naib-Canselor akan dipilih oleh universiti sendiri. Tetapi, PM mengingatkan bahawa pilihan tidak semestinya melalui kenaikan pangkat kakitangan dalam universiti itu, bahkan setiap universiti perlu melihat bakat di luar masyarat universiti saja. Pada masa sudah-sudah, Naib-Canselor pernah diangkat, walaupun tidak membuktikan merit dari segi akademik dan pentadbiran, tetapi berasaskan pendirian atau simpati politik mereka semata-mata. Akhirnya, sesetengah Naib-Canselor ini rajin menjadi “mata-mata” saja untuk menekan pelajar, atau memuja-memuji menteri agar khimat mereka dapat dilanjutkan.
Mesti ada badan yang berwibawa serta bebas untuk mencari calon terbaik bagi menjadi Naib-Canselor, dalam bentuk “Jawatankuasa Pencari” (Search Committee) sebagaimana wujud dulu, yang mengandungi wakil-wakil pensyarah, siswazah (alumni) dan anggota masyarakat yang dihormati. Calon dari sebarang kumpulan etnik harus ditimbang dan dipilih sekiranya sesuai.
Sekarang ini sudah ada tiga orang Naib-Canselor wanita, akan tetapi tidak ada seorang pun Naib-Canselor bukan Melayu, lelaki atau perempuan. Kalau saya tidak silap, tidak ada juga Timbalan Naib-Canselor bukan Melayu. Sepertiga dari Naib-Canselor dan Timbalan Naib-Canselor sepatutnya terdiri dari bukan Melayu yang mencapai kecemerlangan dari segi akademik dan pentadbiran, untuk mencerminkan bilangan penduduk. Naib-Canselor yang dihormati oleh pensyarah dan pelajar oleh kerana merit dan kebolehan mereka pasti boleh memimpin universiti ke kemuncak kecemerlangan.4) KENAIKAN PANGKAT: Keaikan ke pangkat akademik kanan, terutama untuk Professor dan Professor madya hendaklah berasaskan nilai akademik yang ketat, tanpa ada sebarang campurtangan atau pengaruh politik atau pentadbiran. Antara faktor yang perlu diambil kira ialah ketekunan serta mutu pengajaran, mutu penyelidikan serta impak hasilnya, dan kualiti serta kuantiti penerbitan, terutama yang signifikan dan sering dirujuk. Profesor dan Profesor Madya juga mesti cekap menyelia calon ijazah tinggi dan memimpin kerja penyelidikan.
Lembaga Pemilih, dipengerusikan oleh Naib-Canselor sepatutnya terdiri antara lain dari sekurang-kurangnya dua orang ahli akademik kanan yang dipilih oleh Senat serta semua Profesor (termasuk yang tidak dilantik oleh Naib-Canselor sebagai ahli Senat). Sesetengah Univesiti pernah mentauladani contoh kebanyakan uiversiti terkenal, iaitu dengan memilih tiga orang Pemeriksa Luar, kadang-kadang dari tiga benua berlainan, untuk menilai sama ada seseorang calon itu sesuai diangkat menjadi professor atau tidak. Amalan ini patut diteruskan. Oleh kerana dengan cara begini jawatan professor sukar diperolehi, maka gaji yang istimewa hendaklah diberikan, yang tidak sepatutnya dibataskan kepada professor asing/ pelawat saja.
5) LATIHAN KELAS PERTAMA: Selain tenaga akademik yang baik, ada syarat lain untuk mencapai universiti cemerlang. Satu daripadanya ialah pelajar berkualiti tinggi. Sebenarnya kualiti pelajar sepatutnya dicanai di peringkat sekolah terlebih dulu.
Ketika ini pendidikan di peringkat itu kebanyakannya dengan cara mengingat atau menghafal, dan minda yang kritikal atau bebas tidak digalakkan berkembang. Bahkan di peringkat universiti pun, minda kritikal dan kreatif tidak digalak atau disusburkan juga. Sebaliknya, terdapat berbagai-bagai peraturan, terutama yang berkaitan dengan Akta Universiti dan Kolej-kolej Universiti yang mengongkong serta membntut fikiran.
Sebagai penutup, sangat mengeciwakan sebab tidak ada undangan kepada pensyarah atau pelajar universiti dan patah lagi warga masyarakat umumnya untuk memberikan pandangan mereka sebelum Pelan Strategik Pengajian Tinggi ini diumumkan oleh Perdana Menteri. Ini satu lagi contoh menunjukkan kerajaan sentiasa mahu menentukan kehendaknya dari atas. Sekiranya ada perbincangan umum, tentulah pelbagai kekurangan dapat diatasi dam Pelan ini mungkin lebih elok dan mudah diterima dengan baik.
29hb Ogos 2007
Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden, keADILan
(husinsa23@yahoo.com)
Kiriman: Keadilan Rakyat <pkr_news@yahoo.com>
29.08.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.