SIASAH: PANDANGAN RUSTAM
Terancamkah jati diri kita?


Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak, dengan tiba-tiba mengkritik program-progaran televisyen, khususnya program jenis “reality tv” yang kini banyak disiarkan oleh stesyen-stesyen tv tempatan. Alasannya membuat kritikan itu ialah kerana program tv yang demikian itu menurut pandangannya tidak sesuai dengan jatidiri kita – malah mengancam jatidiri.

Bagaimana program-program tv itu mengancam jatidiri kita tidak pula dijelaskannya. Selain itu tidak juga dijelaskan program-program yang manakah yang dikatakan bertentangan dengan jatidiri kita itu. Apakah semua program reality tv itu berbahaya, atau apakah hanya program jenis hiburan dan peraduan nyanyian sahaja yang bertentangan dengan dengan jatidiri kita?

Memang pada waktu ini sebahagian besar program reality tv kita termasuk dalam jenis peraduan nyanyian, meskipun beberapa konsep baru – seperti program jenis mencari cinta – sudah mula meresap ke dalam perencanaan program stesyen-stesyen tv tempatan. Yang mendorongkan program-program itu diperkembangkan tentulah jumlah penontonnya yang besar (dengan itu pendapatan pengiklanan yang diperolehinya juga).

Dengan bantuan syarikat-syarikat telekom, program-program tersebut menjadi lebih interaktif – dan dengan itu menjadi lebih popular di kalangan para pendengar/penonton. Nyatalah, siaran tv jenis interaktif dan jenis realiti ini merupakan suatu perkembangan baru dalam teknologi penyiaran yang sedang berkembang di seluruh dunia.

Sebelum ini keghairahan TV3 mempopularkan program hiburannya “SureHeboh” telah mendapat teguran ramai, termasuklah daripada para ulama, sehingga keghairahan syarikat tv tersebut membawa program itu secara langsung ke segala pelosok negara ini menjadi agak berkurangan tahun ini. Tahun ini merupakan tahun ketiga pihak Astro melaksanakan program peraduan nyanyi jenis realiti tvnya yang dinamakan “Akademi Fantasia.”

Oleh kerana teguran Najib itu terjadi sewaktu program Akademi Fantasia sedang berjalan, maka teguran itu tampaknya tidak meninggalkan sebarang kesan pada program tersebut. Pihak penyiar tidak melakukan sebarang perubahan kepada format asas program itu dan sambutan para penonton tampaknya sedikitpun tidak mengurangkan keghairahan mereka terhadap program itu. Setiap hujung minggu orang tetap akan berbaris untuk membeli tiket menonton konsert program itu di Stadium Melawati di Syah Alam.

Setelah konsert terakhir program itu berlansung baru-baru ini keputusannya menjadi berita muka satu semua akhbar di negara ini. Kutipan pihak penganjur melalui undian SMS para penonton dikatakan melebihi RM 12 juta! Dan kini, dengan publisiti dan pengurusan yang disediakan pihak Astro, setiap seorang daripada peserta program tersebut yang sampai ke peringkat akhir pertandingan dikatakan boleh bersiap sedia untuk kerjaya yang lumayan dalam industri hiburan di negara ini.

Nyatalah bahawa teguran Najib itu tidak meninggalkan sebarang kesan terhadap populariti program-program tv yang demikian itu. Dilihat dari segi-segi tertentu, kegusaran Najib itu, meskipun tidak jelas, ada juga asasnya – dan sebahagian besar daripada kegusaran itu saya kira disebabkan oleh perlumbaan di kalangan stesyen-stesyen tv itu untuk memuaskan selera para penonton, khususnya para penonton muda, dan selera para pengiklan.

Sebelum ini saya ada menyebut tentang sebuah program hiburan TV3 yang dinamakan “SureHeboh”. Nama program itu sahaja sudah cukup untuk menggemparkan kita – satu kombinasi perkataan Inggeris dan perkataan Melayu yang boleh meninggalkan rasa loya ditekak kita. Tahun ini TV3 mempunyai sebuah lagi program peraduan nyanyi yang dinamakannya ‘Mentor’. Nama program itu tidaklah begitu meloyakan, tetapi pelaksanaannya jauh lebih meloyakan daripada “SureHeboh” sendiri.

Program itu dikendalikan oleh dua orang pengacara – seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang anehnya, si lelaki berbicara dalam bahasa Inggeris (yang kelam kabut) dan si perempuan pula berbicara dalam bahasa Melayu (yang tak kurang kelam kabutnya). Yang menariknya, kedua-dua orang pengacara ini bercanda dalam bahasa yang berlainan tetapi mereka saling faham memahami. Hasilnya sebenarnya bukan sekadar lucu, tetapi benar-benar tolol.

Apakah unsur seperti inilah yang menjadi asas kritikan Najib terhadap siaran-siaran relity tv itu? Jika inilah yang dimaksudkannya, maka manifestasinya memang terlalu banyak terdapat dalam masyarakat kita sejak akhir-akhir ini.  Kita merupakan satu bangsa yang dengan begitu mudah sanggup menggadaikan kemurnian jatidiri kita (seperti bahasa) supaya kita kelihatan canggih dan mudah diterima umum untuk urusan berjual beli. Bukankan Kementerian Penerangan kita yang sanggup berkelahi dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk dapat menggunakan ungkapan “Saluran Infotainment Anda”?

Bukankah nama jawatan dalam angkatan Polis kita telah dicacamerbakan sejak zaman  Rahim Nor lagi? Bukankah nama syarikat pengangkutan kita sudah menjadi Rapid KL – tetapi masih tidak lancar juga perjalanannya? Jika model kereta Proton kita dulu namanya Saga dan Wira, kini namanya Gen-2 dan Savvy – dan dari segi teknologinya terus menjadi bahan ketawa orang dari Amerika hingga ke Australia. Dalam sebarang pertemuan badan kewangan, seperti bank, kita mesti menggunakan bahasa Inggeris – sehingga PM Abdullah Badawi sendiri tampaknya terpaksa tunduk pada peraturan ini.

Bukankah semua ini telah menimbulkan rasa khuatir Dr Rais Yatim – tetapi rintihannya tidak dipedulikan sesiapa di Perhimpunan Umno baru-baru ini. Semua orang lebih asyik dengan isu AP yang tidak diperolehi tetapi telah ditimbunkan kepada beberapa kroni yang bernasib baik sahaja.

Saya sendiri boleh terus menerus membuat senarai pencemaran dan kekucakaciran jati diri kita sebagai akibat daripada “penswastaan” masyarakat kita dalam pelbagai bidang – dari pengajian tinggi hinggalah ke institusi kewangan. Malah sesetengah bidang, pencemaran jati diri yang diakibatkannya jauh lebih teruk daripada yang berlaku dalam pelbagai program reality tv kita. Meskipun para peserta Akademi Fantasia ada yang menyanyikan lagu-lagu Inggeris atau terikut-ikut gelagat dan cara para penyanyi rock, baik barat maupun tempatan, namun mereka masih terdedah juga kepada musik ala Malaysia.

Dalam sesetengah bidang – katakanlah di kalangan para pengusaha dan para pedagang kita – pencemaran jatidiri itu tampaknya lebih teruk lagi. Dan mereka ini seringkali menyebarkan pencemaran itu melalui bidang-bidang yang mereka kuasa, misalnya bidang penyiaran, persuratkhabaran, perbankan, dan sebagainya.

Namun mengapakah Najib memilih untuk menyerang bidang hiburan, khususnya bidang reality tv yang sedang berkembang pesat itu?  Mungkinkah terdapat unsur kepuraan-puraan atau pretensi seorang ahli politik di sini. Oleh kerana unsur reality tv itu begitu popular dan begitu diminati ramai, apakah mungkin Najib sekadar mencoba menumpang sekaki – walaupun hanya sebagai pengkritik?

Sayangnya, dalam melakukan kritikan itu Najib jelas lupa bahawa para usahawan dan para ahli politik telah melakukan pencemaran jatidiri yang jauh lebih serius daripada para penghibur itu. Saya bersetuju dengan Najib bahawa masalah pencemaran jatidiri dalam masyarakat kita sudah sampai ke tahap yang membimbangkan (seperti yang dinyatakan oleh Dr Rais Yatim). Namun tugas para pemimpin tertinggi kita tidaklah sekadar mengkritik bidang remeh-temeh seperti bidang hiburan sahaja.

Sebaliknya, para pemimpin tertinggi kita seperti Najib perlulah melakukan introspeksi diri – dengan kata-kata lain melihat tampang huduh mereka sendiri di cermin muka yang agak besar.

- Rustam A Sani

26.08.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net.


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.