SECANGKIR KOPI PAHIT
Penyelesaian kes Rahim Nor tidak tuntas


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Nor, kini secara undang-undang dan secara rasmi sudah memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya. Sebenarnya, Rahim Nor sudah sejak lama dimaafkan oleh keluarga Anwar. Datin Seri Wan Azizah sudah lama menyatakan bahawa keluarganya sudah memaafkan Abdul Rahim Nor – sehingga menimbul rasa marah yang agak getir juga di kalangan teman-teman dalam gerakan Reformasi.

Saban hari, teman-teman dalam gerakan Reformasi itu terpaksa berhadapan dengan tindakan ganas pihak Polis yang samasekali tidak wajar. Pukulan dengan rotan dan siraman dengan air pemedih mata atau air mengandung racun saban hari menjadi mainan para Reformis. (Banyak tunduhan dan dakwaan palsu pihak Polis terhadap mereka di Mahkamah hingga kini masih belum selesai). Tiba-tiba tindakan jenayah ketua Polis itu kini sudah sekali lagi dimaafkan begitu sahaja.

Sewaktu terbetiknya tuduhan bahawa mata lebam yang ditanggung Anwar sewaktu dalam tahanan itu disebabkan oleh Rahim Nor, saya telah menulis sebuah rencana muka satu dalam akhbar Harakah tentangnya. Sebagai seorang yang mengenali Rahim Nor sebagai teman sedarjah di sekolah (Tingkatan Enam, Sekolah Victoria Kuala Lumpur), saya menyatakan keraguan saya tentang kemungkinan Rahim Nor melakukan jenayah itu atas kehendaknya sendiri.

Saya tidak tahu apakah Rahim Nor sebenarnya telah melakukan perbuatan jijik lagi tidak bertanggungjawab itu. Namun saya yakin, sekalipun perbuatan itu dilakukannya, dia tidak melakukan tanpa dorongan seseorang lain. Saya yakin bahawa dia telah melakukannya atas suatu dorongan kuat yang tidak dapat dihindarinya.

Pada waktu itu saya menamakan peristiwa itu sebagai “Peristiwa Watergate Malaysia.” Maksud saya: Jika peristiwa itu diselidiki dengan mendalam maka akhirnya kita akan mendapati bahawa Rahim Nor telah melakukannya atas dorongan – malah perintah – seseorang yang lebih tinggi kedudukannya, samalah seperti Presiden Nixon bertanggungjawab bagi peristiwa Watergate dan akhirnya terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Presiden AS.

Sebagaimana yang kita ketahui, peristiwa mata lebam Anwar itu kemudiannya telah diselidiki oleh sebuah Suruhanjaya Diraja. Rahim Nor akhirnya didapati bersalah – tetapi hanya dikenakan hukuman yang amat ringan. Kini, berhadapan dengan dakwaan sivil yang baru oleh Anwar Ibrahim di Mahkamah, Rahim Nor akhirnya secara rasmi dan secara terbuka memohon maaf  kepada Anwar dan keluarganya. Namun ada sesuatu yang aneh tentang “penyelesian” ini.

Kita tahu bahawa selain permohonan maaf tersebut, penyelesaian itu melibatkan juga pampasan berbentuk wang – tetapi kita tak tahu siapakah yang membayar pampasan itu, meskipun kita tahun bukan Rahim Nor yang membayarnya. Anwar Ibrahim pula dengan segera menerima permohonan maaf itu, di samping menggugurkan dakwaan sivilnya yang serentak terhadap dua pihak lain – Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia. Apakah dua pihak yang lain itu, atau salah satu daripadanya, yang telah membayar pampasan kewangan itu?

Kita tampaknya tidak akan tahu siapa sebenarnya yang membayar pampasan itu – atau berapakah jumlahnya (kerana penyelesaiannya dicapai di luar mahkamah). Oleh kerana Anwar tampaknya sudah berpuas hati dengan penyelesaian itu, kita tidak akan tahu apakah Rahim Nor yang sebenarnya telah melakukan perbuatan jenayahnya itu atas kehendaknya sendiri – atau dia sekadar melakukan “tugas” yang diperintah oleh orang atasannya.

Bagi saya secara peribadi, saya akan berasa kesal kerana teori saya tentang peristiwa ini sebagai “peristiwa Watergate Malaysia” tidak akan dapat diselidiki dan dibuktikan salah atau benarnya.

Pada hemat saya, sikap yang diambil Anwar sehubungan kes ini merupakan sikap yang terpuji – malah dapat dianggap setanding dengan sikap seorang Gandhi atau seorang Mandela. Namun, sikap yang patut dipuji pada tahap peribadi ini, bagi saya, belum tentu merupakan sikap yang patut dipuji juga pada tahap sosial dan sejarahnya. Jika seseorang yang mempunyai kuasa itu secara sedar melakukan kezaliman, maka dosanya belum boleh dianggap telah selesai dengan dia sekadar memohon maaf kepada salah seorang mangsanya yang terpilih sahaja.

Untuk “merungkaikan” dosanya itu, saya rasa tidaklah memadai Rahim sekadar memohon maaf kepada Anwar. Rahim perlu secara terbuka memohon maaf bagi kesalahan dan kezaliman Polis yang lain yang telah berlaku pada zaman pimpinannya. Dia perlu menjelaskan mengapa dia melakukannya, siapa yang menyebabkan dia melakukannya, apa ganjaran yang dijanjikan kepadanya kerana melakukannya, dan sebagainya.

Tidak cukup dia sekadar memuaskan hati Anwar sahaja; dia perlu memuaskan tuntutan jutaan orang lain yang cintakan keadilan dan ketelusan di negara ini. Jika nanti terbukti bahawa semua itu berlaku dalam suasana sosial yang dilahirkan oleh pemerintahan Tun Mahathir yang memerintah selama beberapa dekad, maka Tun Mahathir juga mesti menerima tanggungjawabnya. Tambahan pula, kini satu demi satu sumber tindakannya yang tidak wajar selama pemerintahannya itu – seperti buku Khalid Jefri dan para menteri kegemarannya yang mengamalkan kronisme – sudah terdedah dan terbukti tidak kredibel.

Pendedahan perlakuan jenayah oleh orang-orang berkuasa ini, bagi saya, merupakan sesuatu yang amat penting. Tujuannya bukanlah sekadar untuk mendedahkan mereka maupun untuk mencari hukuman setimpal bagi mereka. Tujuannya juga adalah untuk menjadi pengajaran kepada orang-orang lain, agar mereka yang telah kita amanahkan dengan kuasa tidak melakukannya dan mengulangnya pada masa hadapan.

Selama ini, saya kira, ada suatu amalan yang kurang menyenangkan dalam masyarakat kita dalam kes-kes seperti ini. Amalan itu ialah melepaskan orang-orang besar dan berkuasa kita secara ringan bila ternyata mereka telah melakukan sesuatu yang memudaratkan masyarakat – dan bertentangan dengan etika perlaksanaan tugas mereka.

Kes AP yang heboh diperkatakan baru-baru ini merupakan suatu contoh yang menarik tentang ini. Bila isu itu heboh diperkatakan, tampaknya ada pihak yang lebih berminat sekadar memaksa menteri yang terlibat supaya memohon maaf kepada Tun Mahathir (yakni menjaga air muka Mahathir). Sedangkan, isu yang lebih penting ialah apakah kes itu membuktikan terdapatnya amalan kronisme yang berleluasa dalam masyarakat kita. (Jika terdapat bukti tentang kronisme itu, malah Tun Mahathir sendiri sebenarnya perlu menjawab pelbagai soalan!).

Namun pihak kerajaan sendiri tampaknya lebih berminat untuk menutup kes tersebut daripada ruang wacana umum. Menteri yang terlibat itu diarahkan supaya menulis surat penjelasan kepada Tun Mahathir – dan selaras itu Perdana Menteri mengumumkan bahawa isu itu sudah ditutup dan tidak harus diperkatakan lagi.

Oleh kerana isu itu tidak juga mahu berakhir, maka menteri yang terlibat itu diminta pula membuat laporan kepada Kabinet. Setelah laporan kepada Kabinet dibuat, Perdana Menteri mengumumkan pula bahawa sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula dasar automotif negara, termasuklah amalan pengagihan AP itu. Yang menariknya, kertaskerja kajian semula itu akan disediakan oleh kementerian yang sama yang pada mulanya “melaksanakan” amalan tersebut.

Nyatalah bahawa Rahim Nor telah mendapat “penyelesaian” yang mudah terhadap tindakan jenayahnya. Insya Allah, hal yang sama akan berlaku juga kepada pihak yang melaksanakan amalan pengagihan AP itu!

- Rustam A Sani

26.08.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net.


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.