S.Paranjothy Wira Barisan Nasional Laman M@RHAEN



 
 
 
 
 
 

Benarkah S.Paranjothy Wira Barisan Nasional? Ataupun beliau tersepit, ataupun beliau sesat di tengah jalan perpaduan perkongsian kuasa Barisan Nasional.

Bercakap benar walaupun pahit untuk ditelan, sedia maklum Umno adalah parti yang tidak mudah mengaku kesalahan & dosa mereka selama ini.

Suara-suara kecil dari Gerakan & Mic mencerminkan sebenarnya kesatuan & pakatan Barisan Nasional ini sangatlah rapuh, kalau mereka bercakap tentang perpaduan dimana kebenarannya, walhal semua rakyat maklum bila jumpa, depan cerita lain, bila di belakang cakap lain cerita lain.

Mereka bukannya berkongsi kuasa tetapi gilakan kuasa untuk terus memeras keringat & menghirup darah rakyat demi survival politik & harta benda mereka....
 

Saya tidak menyesal - S.Paranjothy
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 24 Dis.- Naib Ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy sedia menerima apa jua bentuk hukuman berikutan kenyataannya bahawa kaum India di negara ini terus terpinggir.

Bagaimanapun, beliau tidak menyesal dengan tindakan itu kerana ia merupakan usahanya untuk meluahkan perasaan rakyat di peringkat akar umbi.

Sebagai seorang ahli politik, katanya, beliau harus menanggung risiko terhadap tindakannya itu termasuk dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CCC) dan Jawatankuasa Disiplin Parti Gerakan.

"Saya tertakluk kepada perlembagaan parti dan saya juga tertakluk kepada undang-undang negara. Jika parti mendapati saya telah melakukan satu kesalahan yang bertentangan dengan perlembagaan, saya sedia dikenakan tindakan.

"Saya tidak akan menyalahkan Pemangku Presiden (Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) sekiranya saya dikenakan hukuman ini kerana beliau telah melakukan perkara yang sewajarnya," kata Paranjothy kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, parti Gerakan telah memulakan tindakan tatatertib terhadap Paranjothy kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan masyarakat majmuk di negara ini.

Baru-baru ini, satu laporan dalam laman web Internet memetik Paranjothy sebagai mendakwa UMNO merupakan salah satu punca mengapa kaum India terpinggir di negara ini.

Dalam reaksinya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta Tsu Koon bertindak terhadap pemimpin muda Gerakan itu kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan boleh merosakkan hubungan dalam Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya kemungkinan beliau dipecat daripada parti akibat perbuatannya mengeluarkan kenyataan kontroversi tersebut, Paranjothy berkata, beliau tidak pernah terfikir hingga sejauh itu.

"Saya yakin Pemangku Presiden, Jawatankuasa Disiplin Gerakan dan semua yang akan terlibat dalam mengadili saya akan membuat keputusan yang adil dan terbaik," ujarnya.

Paranjothy memberitahu, beliau terdorong mengeluarkan kenyataan untuk memaklumkan bahawa masyarakat India di Malaysia memang memerlukan pembelaan sewajarnya.

Katanya: "Saya juga ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah menyatakan UMNO menjadi punca kaum India terpinggir tetapi apa yang saya ingin beritahu ialah kedudukan kaum India yang kini berhadapan dengan banyak masalah.

"Saya bukan sengaja mahu mengeruhkan keadaan tetapi keadaan ini adalah hakikat yang sedang berlaku. Siapa yang banyak menjadi ahli kumpulan samseng gengster-kaum India. Siapa yang banyak terlibat dalam gejala sosial yang memalukan-orang India."

Tegas beliau, isu orang India adalah isu nasional dan ia perlu diberi perhatian sepenuhnya.

"Jangan nanti negara kita menjadi tidak selamat kerana kita gagal menyelesaikan masalah orang India," ujarnya.

Menurut Paranjothy, beliau langsung tidak berniat untuk menjadi popular tetapi apa yang diperjuangkan itu adalah berteraskan kepada kepentingan orang ramai.

Katanya, setakat ini beliau masih belum dipanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin Parti Gerakan.

"Saya jangka mereka akan memanggil saya tidak lama lagi kerana ramai di kalangan anggota jawatankuasa itu sedang bercuti ketika ini," tambahnya.

Sumber : Jundullah - Utusan Meloya
 

- PAS Johor Bahru
Layari : http://www.pasjohorbahru.com


26.12.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.


Hantar artikel ini kpd sahabat:
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.