![]()
ORDINAN DARURAT TIDAK WAJAR UNTUK PENCURI BESI
![]()
![]()
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah tindakan kerajaan menahan pencuri kabel dan menara besi penghantaran grip elektrik di bawah Ordinan Darurat. DPP Pusat berpandangan bahawa penahan tanpa bicara ini adalah satu pencabulan ke atas hak asasi manusia, dan mendesak kerajaan supaya mendakwa semua pencuri besi di mahkamah sebagai langkah membendung kegiatan mereka. Tidak ada makna bagi rakyat jika usaha membendung kejahatan penjenayah dengan satu kejahatan yang lain iaitu penahanan tanpa bicara.
DPP Pusat tidak menolak sebarang usaha untuk mencegah perbuatan mencuri besi, bahkan DPP Pusat mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah ini. Rakyat telah menghadapi kesulitan ekoran beberapa tragedi seperti keruntuhan menara penghantaran elektrik yang menyebabkan bekalan elektrik terputus di Sabah. Kejadian kecurian ini turut berlaku di seluruh negara yang melibatkan kerugian yang besar pelbagai agensi utiliti dan juga orang persendirian. DPP Pusat menyokong sepenuhnya jika ada usaha dibuat untuk mencegah kecurian besi ini.
Walau bagaimanapun, penggunaan Ordinan Darurat adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan prinsip keadilan yang menghendaki seseorang dibukti sebagai bersalah sebelum dijatuhkan hukuman. Di bawah peraturan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK), menteri boleh menahan seseorang penjenayah tanpa bicara. Dan semenjak kes kecurian besi di Sabah, dua orang yang disyaki penjenayah telah ditahan di bawah Ordinan Darurat di Kem Tahanan Simpang Renggam. Tindakan ini adalah amat tidak wajar kerana pihak polis sepatutnya membuat penyiasatan dan membawa terduduh untuk didakwa di mahkamah.
Langkah menahan orang yang disyaki tanpa membuktikan kesalahan mereka telah mengulangi kezaliman ISA. Ia tidak wajar lagi dilaksana di negara ini kerana kita telah memiliki pasukan polis yang cekap dan boleh menyiasat kes seperti ini. Jika kerajaan mahu mencegah kegiatan jenayah mencuri besi ini, sepatutnya dipertingkatkan kawalan keselamatan, pendidikan kesedaran atau menggubal undang-undang yang lebih keras. Tindakan menahan tanpa bicara tidak menyelesaikan masalah kerana terdapat beratus-ratus kes serupa di seluruh negara. Berupayakan kem tahanan menampung mereka? Dan lebih parah lagi, sanggupkah kita melihat orang yang disyaki ditahan bertahun-tahun tanpa dibuktikan mereka bersalah. DPP Pusat mendesak supaya mereka yang ditahan di Simpang Renggam di bawah Ordinan Darurat dibebaskan dengan segera atau didakwa di mahkamah.
SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat07.05.2008
Emel