![]()
Media PKR:
24 Julai 2005
SEMANGAT DEB DAN KETINGGALAN ORANG MELAYU
![]()
Ramai pemimpin Kerajaan telah mengakui dalam Himpunan UMNO yang baru tamat bahawa orang Melayu ketinggalan dan masalah kebocoran projek masih lagi serius. Secara tidak langsung sebenarnya mereka mengakui juga bahawa dasar Kerajaan pimpinan UMNO untuk menaikkan taraf ekonomi dan sosial orang Melayu masih belum berjaya lagi.Selama hampir 50 tahun bermacam-macam dasar telah diluluskan dan berbagai-bagai projek telah dilaksanakan untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi Melayu. Jikalau setelah berusaha selama itu orang Melayu masih ketinggalan juga, apakah jaminan masalah ini akan dapat diatasi dalam tempoh 15 tahun sebelum 2020? Dapatkah ia dicapai dengan cakap berdegar-degar dalam Himpunan UMNO saja? Atau dengan menyalahkan orang Melayu sendiri saja? Dan tanpa mengubah amalan buruk lama di kalangan pemimpin?
Banyak diperkatakan tentang padang persaingan yang tidak rata. Tetapi yang ditekankan ialah padang yang tidak rata di antara kaum Melayu dengan bukan Melayu (khususnya Cina) saja. Memang benar ketidakseimbangan kaum itu wujud. Tetapi, mengapa tidak disebut tentang padang tidak rata di antara negara-negara kapitalis yang maju dengan negara-negara kurang maju, seperti Malaysia ini? Mengapa tidak disentuh tentang padang tidak rata di dalam masing-masing kaum di negara kita?
Di kalangan orang Melayu sendiri, bukankah padang persaingan tidak rata wujud di antara yang kaya dengan yang miskin, di antara penduduk kota dengan penghuni desa, di antara orang kuat UMNO-BN dengan yang tiada hubungan, dan di antara yang rapat atau berkerabat dengan pucuk pimpinan UMNO-BN dengan yang tidak?
Semangat DEB itu baik. Tetapi dasar ini telah lama disalahgunakan oleh sesetengah pemimpin UMNO dan Kerajaan untuk mengayakan dengan cepat hanya segelintir orang Melayu dan juga bukan-Melayu yang bekerjasama dengan mereka, melalui amalan kronisme dan korupsi. Akhirnya, nasib majoriti rakyat biasa Melayu tidak banyak berubah atau terus ketinggalan, sebagaimana yang diakui.
Para pemimpin UMNO tidak puas hati dengan kebocoran, iaitu perbuatan Bumiputera mengalibabakan kontrak-kontrak atau lesen-lesen mereka kepada bukan Bumiputera. Hal ini sudah lama dirintihkan. Siapakah mereka? Kami mencabar Kerajaan supaya mendedahkan nama kesemua mereka ini.
Kami percaya sebahagian besar di antara mereka adalah yang mempunyai hubungan politik, persahabatan dan kekeluargaan rapat dengan para pemimpin UMNO-BN. Kami berharap tindakan tegas akan diambil terhadap mereka, sebagaimana yang dilaungkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Najib Razak.
Sekiranya hanya semangat DEB saja yang dihidupkan semula, tetapi amalan kronisme dan korupsi tidak dikikis habis, rakyat biasa Melayu akan tetap ketinggalan, sungguhpun beberapa kerat orang Melayu akan kaya raya. Dapatkah pucuk pimpinan yang masih mengamalkan kronisme dan korupsi mengikis penyakit ini?
Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri dan Meneri Kewangan berjanji akan menghapskan korupsi. Kami alu-alukan ini. Tetapi kami masih kurang puas hati dengan pelaksanaannya. PM Datuk Seri Abdullah harus melihat sikap, nilai serta tindakan pemimpin-pemimpin tinggi di sekelilingnya. Bahkan beliau perlu juga mencermin diri sendiri. Janganlah hanya hendak menyalahkan sikap dan nilai orang Melayu biasa saja.
Sesuai dengan semangat DEB, sasaran utama untuk pembangunan hendaklah ditujukan kepada semua golongan terbiar, berpendapatan rendah dan ketinggalan, dengan tidak mengira kaum. Yang paling ramai dari golongan ini ialah orang Melayu dan Bumiputra lain juga. Merekalah harus mendapat untung dari DEB itu. Lagi pula tindakan yang bukan perkauman sebegini sudah pasti tidak akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kebanyakan bukan Melayu.
Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat24.07.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN