Media PKR:
18 Julai 2005

Skandal Naval Dockyard Sdn Bhd
TAHNIAH KEPADA PAC




Parti Keadilan Rakyat mengucapkan tahniah kepada Datuk Shahrir Samad dan anggota-anggota PAC yang dipengerusikannya kerana siasatan, laporan serta perakuan mereka terhadap prestasi Naval Dockyard Sdn Bhd.

Mengikut berita yang terbit dalam media, Shahrir serta jawatankuasanya mendapati projek yang telah diswastakan kepada syarikat itu gagal dan mereka sekaligus memperakukan supaya Kerajaan memberhenti serta mengkorporatk projek tersebut.

Seperti yang dimaklumkan, projek ini ialah untuk membina 27 buah kapal bagi Angkatan Laut Malaysia, bernilai RM24.3 bilion, dan ditandatangani pada tahun 1999.

Kami melihat dua reaksi yang berbeza daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terhadap kenyataan Sahrir itu. PM Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelihatan mahu Kerajaan mengambil tindakan tegas untuk menyiasat dan melaksanakan laporan PAC itu. Sebaliknya TPM Datuk Najib Tun Razak seperti teragak-agak dan cuba hendak mempertahankan syarikat itu, sambil tidak bersetuju ia dikorporatkan.

Keadilan Rakyat mengalu-alukan desakan Shahrir supaya tindakan undang-undang diambil sekiranya terbukti salah laku atau penyelewengan oleh mana-mana pihak. Sehubungan ini, kami ingin menggesa supaya PAC mengumumkan nama pemilik dan pengarah syarikat-syarikat yang terlibat dengan projek ini.

Kegagalan projek ini sangat serius. Ia memang perlu ditangani secara tegas dan berkesan. Kita sudah tentu tidak boleh membiarkan berbilion wang rakyat dibazirkan atau hangus begitu saja.

Seterusnya kita tidak boleh membenarkan sama sekali apa-apa kepentingan politik dari mana-mana pihak sekalipun (tidak kira pangat atau martabat mereka), yang cuba melindungi kegagalan serta kerugian yang dibongkar oleh Shahrir serta PAC itu.

Kami mengalu-alukan juga pengumuman Shahrir bahawa selepas ini PAC akan menyiasat kes AP yang terdedah setelah berlaku kontroversi antara Tun Mahathir Mohamad dan Menteri Rafidah Aziz.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat - 19.07.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN