![]()
Media PKR:
HENTIKAN PENSWASTAAN KEPERLUAN-KEPERLUAN ASAS
![]()
Keadilan Rakyat (KeADILan)
75A, Jalan Lawan Pedang 13/27, Tadisma Business Park,
Seksyen 13, 40000 Shah Alam, Selangor.
Tel: 03-5513 3416 / 8477 Fax: 03-55129646
Website: www.keadilanrakyat.org Email:KENYATAAN MEDIA WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT
24 MEI 2005
HENTIKAN PENSWASTAAN KEPERLUAN-KEPERLUAN ASAS
Wanita Keadilan Rakyat mendesak kerajaan Barisan Nasional membatalkan rancangan menswastakan keperluan-keperluan asas iaitu bekalan air dan perkhidmatan kesihatan.
Pengumuman kerajaan Barisan Nasional mengenai rancangan penswastaan air dan perkhidmatan kesihatan memberi tamparan hebat kepada rakyat negara ini, sebaik saja pengumuman kenaikan harga minyak dibuat.
Kerajaan BN sudah begitu yakin dan angkuh dengan kedudukan politiknya yang ‘stabil’ sehinggakan sudah tidak hiraukan pandangan rakyat lagi. BN menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya dan kini ingin menswastakan keperluan asas, yang akan akhirnya membawa kepada kenaikan kos keperluan asas tersebut.
Walaupun penswastaan telah menunjukkan rekod yang buruk dalam sejarah ekonomi negara, ia masih digunakan sebagai alasan untuk ‘perkhidmatan yang lebih baik dan efisien’.
Wanita Keadilan Rakyat mendapati, penswastaan di negara ini telah banyak mencatatkan kegagalan daripada kejayaan. Akibat daripada penswastaan, perkhidmatan asas seperti bekalan elektrik, pengangkutan awam, sebahagian daripada penjagaan kesihatan, kos telah meningkat, namun, mutu perkhidmatan masih di takuk yang lama.
Penswastaan pada masa lalu pada dasarnya memberi perkhidmatan awam yang menguntungkan sektor swasta. Pihak swasta seterusnya telah meningkatkan lagi keuntungan dengan menaikkan kadar yang dicaj. Di mana operasinya tidak menguntungkan, subsidi-subsidi besar dari kerajaan memberi banyak wang tunai kepada mereka yang mengumumkan penswastaan, walaupun projek-projek tersebut gagal.
Pengumuman penswastaan diwaktu kadar inflasi yang kian meningkat dan tahap pengangguran yang terus naik, tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan malah akan menekan dan menindas kehidupan rakyat jelata.
Wanita Keadilan Rakyat melihat penswastaan bekalan air dan perkhidmatan kesihatan akan menyebabkan:
i. Kos perkhidmatan berkaitan meningkat
ii. Syarikat yang dipertanggungjawabkan akan lebih menjaga kepentingan pemegang syer daripada kepentingan hak pengguna
iii. Golongan yang tidak berada dan miskin akan menjadi mangsa kerana keperluan tersebut perlu dibayar pada kadar yang lebih tinggi
iv. Tiada lagi kawalan awam terhadap keperluan asas berkaitan, yang boleh membawa kepada rasuah serta pelanggaran hak asasi manusia.Wanita Keadilan Rakyat menggesa kerajaan Barisan Nasional meneliti semula rancangan penswastaan keperluan-keperluan asas; bekalan air dan perkhimatan kesihatan, bagi mengambilkira tekanan dan himpitan hidup yang akan terbeban ke atas rakyat.
Wanita Keadilan Rakyat juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa matlamat penswastaan ialah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan dan menggalakkan keusahawanan - bukannya mencipta jentera membuat duit bagi individu-individu dan syarikat-syarikat berkeistimewaan.
HJH FUZIAH SALLEH
KETUA WANITA
WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT - 26.05.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)