![]()
Media PKR:
CUBAAN GAGALKAN PROJEK PERINTIS PARLIMEN ANGKAT
![]()
Keadilan Rakyat (KeADILan)
75A, Jalan Lawan Pedang 13/27, Tadisma Business Park,
Seksyen 13, 40000 Shah Alam, Selangor.
Tel: 03-5513 3416 / 8477 Fax: 03-55129646
Website: www.keadilanrakyat.org Email:Angkatan Muda Malaysia telah memulakan langkah ke arah mempersiapkan jentera pilihan raya dengan melancarkan satu projek perintis yang dipanggil Projek Parlimen Angkat Angkatan Muda Malaysia.
10 Parlimen telah dipilih untuk tujuan itu. Saya telah ditugaskan oleh Angkatan Muda Malaysia untuk pergi turun dan mengadakan taklimat awal mempersiapkan jentera. Bermula 7 Mei lepas kami telah ke 4 kawasan Parlimen dan 10 Mei merupakan tarikh lawatan kerja ke Parlimen Balik Pulau.
Kami bertolak dari Kuala Lumpur kira – kira jam 5 petang, menggunakan kenderaan “Ford Ranger” dengan muatan 100 ribu risalah menyebabkan kenderaan yang dinaiki terpaksa dipandu perlahan.
Kira – kira jam 9 malam kami memasuki Jambatan Pulau Pinang dan terus menuju ke Balik Pulau. Kami menggunakan jalan lama yang melalui Teluk Kumbar dengan tujuan untuk mengambil Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang, Saudara Amizuddin Ahmat sebelum meneruskan perjalanan ke Pejabat keADILan Balik Pulau yang terletak di Pulau Betong.
Kira – kira 9.20 malam ketika kenderaan kami cuba membelok untuk mengisi minyak di stesen Petronas Genting, kami telah ditahan oleh sebuah kenderaan polis. Seorang anggota polis turun dan terus meminta kami menyerahkan kad pengenalan. Anggota berbangsa India itu mengatakan bahawa beliau menerima arahan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk menahan kenderaan kami.
Kenderaan polis tersebut mengiringi kenderaan kami ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya. Ketika sampai kami melihat ramai anggota polis berpakaian biasa telah siap menunggu di luar balai. Kami di minta menunggu di dalam kawasan pagar balai polis.
Apabila ditanya, tiada anggota yang boleh menyatakan kesalahan kami sehingga ditahan malah tiada yang mahu memperkenalkan diri.
Beberapa minit selepas itu Ketua Bahagian Balik Pulau, Dr Mansor Othman tiba dengan disusuli beberapa pemimpin peringkat negeri dan penyokong. Polis telah menutup dan mengawal pintu pagar balai.
Polis mengambil contoh risalah dari bahagian belakang kenderaan yang sememangnya terbuka. Ada yang cuba memeriksa dalam kenderaan tetapi saya tidak benarkan dengan mengunci kenderaan, saya meminta surat kuasa atau waran yang membenarkan mereka memeriksa kenderaan saya. Selepas itu anggota itu terus diam dan masuk semula ke dalam bangunan balai.
Beberapa orang wartawan yang hadir untuk membuat liputan juga dihalau keluar dari kawasan IPD.
Oleh kerana lama menunggu dan tiada apa kesalahan yang dapat dinyatakan saya mula marah dan meninggikan suara. Seorang anggota polis yang diperkenalkan oleh anggota polis lain sebagai Halim dari cawangan khas telah mengugut saya dengan menyatakan dia boleh menahan kami di lokap jika dia mahu dan mengatakan bahawa dia boleh buat kami ditahan sehingga esok pagi.
12 tengah malam penyokong hadir semakin ramai, beberapa orang peguam juga telah sampai. Tepat jam 12.15 anggota polis itu memanggil Amizuddin untuk masuk selang beberapa minit beliau keluar dengan membawa kad pengenalan kami dan mengatakan pegawai polis tersebut membebaskan kami tanpa syarat dan tiada sebarang penjelasan dibuat kenapa kami ditahan atau dibebaskan.
Sekitar jam 1 malam kami sempat meneruskan sesi taklimat Parlimen angkat di pejabat Keadilan Balik Pulau tetapi diringkaskan.
Angkatan Muda Malaysia cukup kesal dengan kejadian tersebut. Jelas sekali tindakan ini merupakan cubaan untuk menggagalkan usaha serius Angkatan Muda Malaysia mempersiapkan jentera pilihan raya.
Angkatan Muda Malaysia mengutuk tindakan memperkudakan polis untuk tujuan politik. Hampir keseluruhan IPD Barat Daya, P.Pinang membazirkan masa tiga jam untuk mengepung sebuah ford ranger yang sepatutnya pada masa itu mereka lebih menumpukan kerja untuk menjaga ketenteraman awam dan berusaha mengurangkan kadar jenayah Negara.
![]()
![]()
![]()
![]()
Salam Reformasi.
Badrul Hisham Shaharin
Penyelaras
Projek Perintis Parlimen Angkat
Angkatan Muda Malaysia - 13.05.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)