![]()
Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir:
Kembalikan Kreadibiliti SPR di Pengkalan Pasir !!
Oleh Cucu Mat Kilau
Assalammualaikum WBT dan Salam Perjuangan,Maka tersebarlah berbagai cerita berkenaan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir yang bakal menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Biarpun Cucu belum menjengok ke Pasir Mas untuk turut merasai bahang pilihanraya tersebut, namun dari kejauhan Cucu dapat merasakan kehangatan dan debaran detik bersejarah itu nanti.
Biar apa pun, Cucu tetap berharap agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) iaitu satu badan bebas yang bertanggung jawab terhadap pilihanraya di negara ini akan berlaku adil terhadap parti-parti yang bertanding. Senario yang berlaku ketika musim pilihanraya umun ke-11 tahun 2004 lalu amatlah mengecewakan sebenarnya. Justeru itu Pengkalan Pasir harus dijadikan wadah untuk mengembalikan kredibiliti SPR sebenarnya.
SPR yang sepatutnya menjadi badan bebas, secara jelas dan nyatakan menjadi kuda tunggangan pihak pemerintah bagi memastikan kemenangan mutlak parti Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-11 lalu . Apa yang dilakukan oleh pihak SPR jelas sekali satu sikap double standard badan itu dalam menangani pilihanraya di negara ini.
Cucu tidak perlu huraikan apakah tindakan-tindakan SPR itu, tapi cukup Cucu katakan di Pahang , apakah logik Kem Tentera Baru, 10 Kuantan yang selama ini berada dalam kawasan parlimen Paya Besar tiba-tiba di masukkan ke kawasan parlimen Pekan. Sesuatu yang tidak masuk akal, sebuah kawasan yang berada dalam daerah Kuantan dan jaraknnya hanya 10 batu dimasukkan ke dalam parlimen Pekan. Bahkah bagi mengaburi mata rakyat, SPR dengan sewenang-wenangnya mengunakan akta persempadanan semula kawasan pilihanraya untuk mewujudkan satu DUN baru bagi parlime Pekan iaitu DUN Pulau Manis. Bukankah ini sesuatu yang amat melucukan, dan jelas sekali ianya bertujuan untuk memastikan kemenangan majoriti Dato' Najib di parlimen Pekan. Maklumlah, Kem Batu 10 adalah sebuah kem tentera yang besar dan mempunyai pengundi yang ramai termasuk pengundi pos. Maka, mana mungkin anggota tentera akan memberi undi kepada parti pembangkang ?
Tindakan SPR ini jelas bertentangan dengan motto mereka iaitu " Adil, Cekap dan Telus". Apa yang jelas, mereka hanya berlaku adil kepada parti pemerintah dan menggangap parti pembangkang di negara ini seolah-olah sebuah pertumbuhan haram dan tidak diberi ruang yang seluas-luasnya untuk turut sama menyampaikan informasi dan agenda perjuangan mereka kepada rakyat marhaen.
Apa yang berlaku SPR hanya membiarkan parti pemerintah bertindak rakus menggunakan segala bentuk instrumen kerajaan untuk menyampaikan agenda mereka. Bahkan semua kemudahan ini hanya diberikan kepada parti pemerintah sahaja. Sebaliknya parti pembangkang di negara ini diafikan hak bertindak sedemikian. Tindakan ini sebenarnya jelas sekali bertentangan dengan prinsip dan amalan demokrasi itu sendiri. SPR di negara ini tidak mahu langsung mencontohi badan seumpama itu di negara-negara maju. Kita mengambil contoh di Amerika Syarikat sendiri, biarpun negara itu bukan sebuah negara Islam dan sering menindas negara-negara Islam lain di dunia ini. Namun atas dasar demokrasi, calon-calon bertanding diberi ruang yang seluas-luasnya untuk menyampaikan agenda mereka kepada rakyat. Bahkan calon-calon ini juga boleh berdebat secara terbuka dikhalayak ramai bagi menyakinkan rakyat tentang dasar perjuangan mereka.
Namun mengapakah perkara yang sama tidak berlaku di Malaysia ? SPR yang kononnya sebuah badan bebas dilihat menjadi penentu kepada kejayaan Barisan Nasional untuk terus berkuasa sejak dulu, kini dan selamanya. Rakyat dinafikan hak untuk memilih dengan adil seperti yang dilaungkan oleh SPR. Bahkan lebih mengecewakan kertas undi yang disediakan oleh SPR juga jelas tidak adil apabila mempunyai nombor siri. Ini jelas sekali menakutkan para pengundi atas pagar, kakitangan kerajaan serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan projek-projek kerajaan untuk memberi undi kepada parti lain selain Barisan Nasional. Dengan adanya nombor siri ini maka mudahlah, mereka untuk mengenakan tindakan kepada individu terbabit sekiranya disyaki menyokong parti pembangkang di negara ini. Bukankah ini sesuatu yang jelas bertentang dengan amal demokrasi sebenarnya.
Cekap yang dilaungkan juga hanya indah kabar dari rupa. Jika dilihat dalam pilihanraya umum ke-11 lalu banyak insiden-insiden yang jelas membuktikan SPR tidak cekap dalam melaksanakan proses pilihanraya umum di negara ini. Contoh yang berlaku di Selangor yang mana banyak nama-nama pengundi hilang dan bertukar-tukar telah menyebabkan waktu pngundian dilanjutkan sesuka hati oleh pihak SPR. Manakala, kejadian yang berlaku di DUN Sungai Lembing , Pahang yang kesilapan pada kertas undi juga jelas sekali menunjukkan mereka tidak cekap sebenarnya.
Manakala, atas dasar apa pula yang SPR dikatakan Telus ? Mereka menaikkan deposit pilihanraya hingga menguntungkan calon dari parti pemerintah dan menganiaya calon parti lawan. Bahkan mereka juga mengenakan kadar caj yang terlalu tinggi bagi calon-calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya sesuatu kawasan terbabit. Semua ini jelas membuktikan mereka tidak berlaku telus, apa yang dapat dilihat SPR seolah-olah sememangnya sengaja bersekongkol untuk memenangkan parti pemerintah dalam setiap kali pilihanraya umum.
Dengan fenomena ini, apakah kita dapat melihat sebuah pilihanraya yang cekap, adil dan telus di Pengkalan Pasir Kelantan nanti ? Kabaran yang Cucu terima, rasuah demi rasuah telah mula mencurah-curah tiba di Pengkalan Pasir. Angka RM1000 bagi mereka yang mengundi Barisan Nasional kini heboh diperkatakan. Mungkinkah Tan Sri Isa Samad yang telah disabitkan kesalahan rasuah oleh lembaga tatatertib UMNO baru-baru ini kini menjadi wira rasuah Barisan Nasional di Pengakalan Pasir. Sesuatu yang amat memalukan bila orang seperti Isa Samad, kelibatnya dibiarkan di Pengkalan Pasir oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Jika inilah mentaliti mereka maka jelaslah kepada kita yang mereka sememangnya merestui amalan rasuah. Disebabkan itulah Isa Samad dibiarkan terus menjadi ahli parlimen Jempol di Negeri Sembilan !!.
Berbalik kepada Pengkalan Pasir , media massa ketika ini saban hari dibiarkan oleh SPR untuk memburuk-burukkan PAS. Mereka seolah-olah tidak melihat perkara itu sebagai satu kesalahan dalam amalan demokrasi. Apa yang kita lihat sekarang jelas menunjukkan SPR membiarkan BN memukul PAS dengan mata tertutup dan tangan bergari ..sama seperti yang dilakukan oleh Rahim Noor terhadap Anwar Ibrahim dulu.
Jika perkara ini terus dibiarkan , Cucu khuatir SPR akan terus hilang kreadibilitinya dan demokrasi di negara ini akan terus punah pada masa akan datang. Maka marilah kita sama-sama berdoa agar Pilihanraya Kecil DUN Pengkalan Pasir akan menjadi pemangkin ke arah melihat SPR menjadi sebuah badan bebas yang benar-benar cekap, adil dan telus dalam menjalankan proses pilihanraya di negar ini pada masa kaan datang. Buat rakyat Kelantan di Pengakalan Pasir, Cucu tahu mereka tidak seperti rakyat di negeri Cucu ini.. " Diberi RM Ambil..Diberi Pelekat Ambil.. Diberi Beras Ambil .. Tapi Pangkah.. Tetap Pangkah PAS". Takbirrrrrrrrr !!!!!!!!!"Keadilan Untuk Semua, Teruskan Agenda Perubahan Demi Agama Bangsa Dan Negara"
Salam Perjuangan,
CUCU MAT KILAU
Anak Watan Jengka
Pahang DM
cmk_pahang@yahoo.co.uk
http://www.cucumatkilau.cjb.net - http://cucumatkilau.blogdrive.com/
- 21.11.2005
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.