PEDAS-PEDAS CILI API
Oleh Cili Api - Laman M@RHAEN
Komen di bawah ini terbit di ruangan PEDAS-PEDAS CILI API dalam SUARA KEADILAN terbaru.


PERGINYA DR AZHARI
 
Dalam dua minggu berlalu, media luar dan dalam negara penuh dengan berita kematian Dr Azhari Husin, seorang pensyarah menjadi pejuang Jamiah Islamiah (JI), yang katanya ada kaitan dengan Al-Qaeda. Ramai, terutama yang rapat dengan Presiden Bush, menuduh beliau sebagai “pengganas”. Mungkin mereka ada bukti. Cili Api tidak ada bukti sebaliknya. Jadi, tiada asas untuk mempertikai tuduhan.
 
Mula-mula pihak polis Indonesia kata Azhari meletupkan diri sendiri sehingga hancur badan serta seluruh anggota melainkan kepala. Kemudian mereka katakan pula beliau ditembak mati oleh pasukan polis. Anggotanya tidak berkecai, bahkan jarinya masih boleh digunakan untuk mengambil cap jari.
 
Pihak berkuasa Indonesia berkata semua bukti, melainkan pemeriksaan DNA yang belum dilakukan, menunjukkan beliau tidak lain tidak bukan ialah Azhari. Tetapi sudah mulai timbul pula cerita, konon mayat itu lebih muda daripada Azhari. Jadi siapa? Sebagaimana banyak cerita yang boleh timbul tentang mayat siapa ini sebenarnya, begitu juga Cili Api rasa boleh timbul banyak pendapat sama ada Azhari “pengganas” atau bukan.
 
Para pemimpin luar dan dalam negara, dari AS, Britain, Australia membawalah ke Malaysia memberi tahniah kepada pihak Indonesia kerana berjaya memerangi keganasan. Akan tetapi bukankah negara atau pemerintah tersebut juga terlibat dengan tindakan ganas. Mereka menakluk negara orang lain, mengebom orang awam dan menahan tanpa bicara. Beribu-ribu orang tidak berdosa menjadi mangsa.
 
Cili Api sedang tunggu bila PM dan TPM Malaysia akan mengutuk keganasan negara yang dilakukan oleh AS, Britain dan Australia itu. Sudah tentu pemimpin negara-negara tersebut tidak akan mengutuk diri sendiri, bukan?
 
 
SERANGAN ATAS MAJLIS KAHWIN
 
Cili Api terperanjat mendengar serangan berani mati ke atas tiga buah hotel di Amman. Lebih terperanjat lagi kerana yang ramai mati ialah orang tempatan yang sedang meraikan majlis kahwin.
 
Katanya, hotel-hotel ini milik pemodal Amerika Syarikat dan serangan dibuat oleh golongan yang menentang pencabulan serta pendudukan tentera Amerika di Iraq. Tetapi macam mana yang banyak mati orang tempatan?
 
Khabarnya tidak ada ada orang Amerika yang mati. Sebaliknya, dua orang dari Palestin,  seorang general dan seorang pegawai tinggi inteligens terkorban. Turut terkorban juga ialah pengarah filem The Lion of the Desert dan The Messenger Mustafa, Al-Akkad serta anak perempuannya.Macam mana ini? Orang Amerika tak mati tapi pegawai  Palestin dan pengarah filem terkenal maut?
 
Siapakah yang akan rugi akibat serangan ini?
 
Cili Api bimbang, banyak orang ramai akan kehilangan kepercayaan kepada mereka yang mengaku sebagai pejuang-pejuang yang mahu menentang penaklukan Amerika dan membebaskan Iraq. Ini sudah mulai berlaku.
 
Selain itu Cili Api rasa lebih ramai Muslim dan apatah lagi bukan-Muslim akan termakan oleh propaganda yang mengatakan bahawa orang Muslim dan agama Islam itu sendiri mengajar serta mengamalkan keganasan.
 
Akhirnya yang untung nanti penjajah Amerika Syarikat dan Israel juga. Malang, sangat malang! Cili Api tidak boleh percaya.
 
 
RAMAI MAUT DI JALAN RAYA
 
Di Iraq ramai tentera, tetapi lebih ramai lagi kanak-kanak dan orang perempuan terkorban akibat konflik yang berpunca daripada penaklukan Amerika Syarikat di sana. Di Jordan, berpuluh-puluh orang tempatan terbunuh akibat bom penyerang berani mati, khabarnya dari golongan yang mendakwa menentang penaklukan AS di Iraq.
 
Akan tetapi di Malaysia tiap-tiap kali perayaan hari raya, beratus-ratus orang maut di jalan raya, akibat kemalangan.  Tiap-tiap tahun, Perdana Menteri mengingatkan supaya berhati-hati di jalan raya. Tahun ini Timbalan Perdana Menteri pun turut membuat seruan yang sama. Tetapi apa yang berlaku?
 
Sampai sekarang tidak pernah dibuat kajian menyeluruh untuk mencari punca-punca kenapa begitu banyak kemalangan berlaku dan bagaimana hendak mengatasinya. Yang ada cuma Ops Sikap.
 
Tahun lalu, sepanjang Ops Sikap berjalan, seramai 186 orang mati kerana kemalangan. Tahun ini, dalam tempoh 14 hari Ops Sikap ke-9 dilaksanakan 223 orang maut, iaitu 37 kes lebih ramai daripada tahun lalu. Mengikut laporan, kebanyakan yang mati ialah pemandu serta pembonceng motorsikal.
 
Ramai pemandu motorsikal memang memandu dengan laju, potong memotong ikut suka saja. Adakah ini berkaitan dengan slogan mereka “hidup nekad, mati muda”? Kalau benar kita perlu kaji implikasinya – mengapa timbul dan macam mana hendak ubah?
 
Banyak juga kemalangan akibat daripada bas ekspres yang terlalu laju. Musim raya pemandu kadang-kadang kena pergi balik lebih kerap membawa penumpang jauh-jauh. Mereka lakukan kerana hendak wang lebih. Mereka keletihan, dan kononnya bila letih ada yang mengambil bermacam jenis ubatan, bahkan dadah.
 
Ini kena kaji. Sama juga kita harus selidiki anggapan ramai bahawa oleh kerana amalan rasuah di JPJ, beratus-ratus bahkan beribu-ribu dapat lesen walaupun tidak cekap memandu.  Kalau benar, ini perlu diselidiki. Setelah mengisytihar perangnya terhadap rasuah, apakah yang PM Datuk Dolah sudah buat terhadap masalah  ini?
 
Jelas sekali Ops Sikap dan ingatan menteri tidak mencukupi. Cili Api nampak lebih ramai pengguna jalan raya yang tidak pedulikan Ops Sikap nasihat PM atau TPM. Ooooops!
 
 
DI SEBALIK PILIHANRAYA KECIL
 
Cili lihat pilihan raya kecil Permatang Pasir akan menjadi besar. Betapa tidak? Kalau didengar dari pengumuman, pemimpin serta anggota UMNO dari Kangar ke Kota Baru akan pergi berkempen. Pemimpin dan anggota PAS mungkin tidak kurang pula. Akan penuh sesaklah bandar Pasir Mas.
 
Umno tentu akan berusaha seboleh-bolehnya untuk menang. Mereka sudah tentu akan mencurah berjuta-juta ringgit untuk disogok kepada penyokong dan pengundi. Seperti biasa pejabat-pejabat kerajaan tertentu akan melaksanakan secara kilat berbagai-bagai projek pembangunan di kawasan-kawasan yang selama ini tidak dipedulikan.
 
Politik wang atau lebih tepat politik rasuah akan dilakukan seluas-luasnya. Untuk menang pilihan raya tidak akan ada sekatan ke atas amalan jijik ini. Dan, tidak akan ada batasan terhadap bermacam-macam penipuan yang yang dilakukan dengan bantuan SPR.
 
Cili Api percaya tentu hotel-hotel di Pasir Mas akan penuh sesak. Cili Api nanti nak banci, mereka  yang datang dari luar nanti memilih tempat penginapan di Kota Bharu serta Bandar-bandar berdekatan atau di seberang Sungai Golok.
 
Cili Api dapat agak ke mana majoriti dari Umno akan menuju. Mereka ini nanti akan ditanggung oleh Umno atau dengan wang dari jabatan-jabatan kerajaan?
 

 TSU KOON SENYAP LEPAS DIUGUT
 
Baru-baru ini Cili Api perhatikan media, khususnya yang berbahasa Melayu, bertubi-tubi menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga Timbalan Presiden Parti Gerakan. Sebabnya? Beliau menimbulkan isu mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, dan hak menggunakan bahasa ibunda dalam pendidikan.
 
Beberapa orang pemimpin UMNO turut mengkritik beliau. Ada yang kata isu ini sudah menjadi dasar kerajaan yang tidak boleh dipersoalkan. Sejak bila ciptaan manusia tidak boleh dipersoal dan diubah? Ada yang mengugut, mereka akan berusaha menjatuhkan beliau sebagai Ketua Menteri. Tidak pelik, kerana budaya ugut-mengugut memang budaya biasa Umnolah.
 
Tidak ada seorangpun daripada Gerakan yang membela Tsu Khoon. Presiden beliau senyap sepi. Lepas itu Tsu Koon salahkan media kerana besar-besar dan selewengkan berita. Dan beliau pun terpaksa tutup mulut.

Sebelum jadi Ketua Menteri Tsu Koon terkenal sebagai  seorang pejuang bahasa dan pendidikan ibunda. Waktu itu, baginya prinsip lebih penting daripada jawatan. Apa sudah jadi Tan Sri Doktor? Tidak berani lagi kerana benar? Sayang juga kepada jawatan?

Cili Api (Suara Keadilan) 20.11.2005 (Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.netCerminan: bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.