![]()
TAKZIAH CILI API
Oleh Cili Api - Laman M@RHAEN
Komen di bawah ini terbit di ruangan PEDAS-PEDAS CILI API dalam SUARA KEADILAN terbaru.
TAKZIAH CILI APICili Api mengucapkan takziah kepada PM Datuk Seri Abdullah Ahmad atas kematian isteri tersayangnya. Cili dapat merasakan rasa sedihnya yang mendalam, sungguhpun beliau tidak menunjukkannya atau pihak media tidak berpeluang merakamkannya.
Sehari selepas Datin Seri Endon pergi, Dolah serta keluarga menziarah kubur. Beliau menemui wartawan yang sudah berkumpul di sana. Apabila ditanya oleh salah seorang, beliau menjawab dengan terus terang, “Sunyi ….. sunyi!”
Cili Api percaya begitulah perasaan sebenar Abdullah, walaupun ketika itu anak, menantu dan cucu semuanya sama berada di tanah perkuburan. Mereka pun tentu berasa sunyi juga, tetapi tentu tidak sama dengan kesunyian yang dirasakan oleh Abdullah.
Kita sekarang berada dalam bulan puasa. Beberapa hari lagi akan merayakan Eidil Fitr. Selalunya ketika itu orang merasa lebih sedih lagi merindui keluarga rapat yang tidak bersama. Endon sudah pergi buat selama-lamanya. Bukan manusia biasalah jika Abdullah tidak merasa sunyi dan rindu kerana Endon tidak akan berada di samping.
Ketika ini ramai yang ditahan di bawah ISA. Mereka tidak mengetahui berapa lama dipenjara. Dua tahun, empat tahun, enam tahun atau lebih lagi? Abdullah menanggung sunyi dan rindu berseorangan. Berbeza dengan suami dan isteri yang menjadi kurban ISA. Yang ditahan tanpa bicara, dan yang menunggu tanpa berita, merasa sunyi dan rindu berduaan tetapi secara berasingan.
Kerinduan dan kesunyian isteri yang suaminya ditahan tentu tidak serupa dengan kesunyian dan kerinduan isteri yang kematian suami. Tetapi Cili Api tidak tahu bagaimana perbezaan rasanya. Cili Api hanya dapat merasakan: Alangkah bahagianya jikalau yang ditahan itu dapat dibebaskan di hari dan bulan mulia ini untuk bersama di hariraya.
Cili Api mengetahui mereka yang ditahan di bawah ISA boleh dibebaskan oleh manusia yang berkuasa. Tetapi mereka yang sudah mati boleh dihidupkan semula hanya oleh Allah swt di yaumil mahsyar nanti.
TINGGAL DI SERI PERDANA
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad telah memberitahu wartawan beliau bersama semua keluarga rapat telah bermalam di Seri Perdana, rumah kediaman rasmi PM, yang telah didirikan oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada hari meninggalnya, Datin Seri Endon ditempatkan di Seri Perdana supaya mudah diziarahi oleh ribuan orang. Jadi ramailah yang dapat masuk dan melihat Seri Perdana, walaupun sebahagian daripadanya saja.
Cili Api mendapat khabar Abdullah dan Endon belum lagi berpindah secara rasmi ke kediaman itu. Banyak sebabnya. Khabarnya Endon suka tempat kediaman Timbalan PM yang telah dihias mengikut seleranya. Lagi pun Allahyarhamah tidak mempunyai masa lagi berpindah kerana sering terpaksa keluar negara untuk rawatan. Selain itu, Seri Perdana sedang dibaik pulih.
Kata sahibul hikayat, banyak yang bocor dan rosak atau tidak sesuai di Seri Perdana. Oleh itu mesti dibaiki atau diubah. Kerja belum selesai lagi. Mengikut sumber yang sama, belanja untuk baik pulih itu berjumlah RM40 juta.
Harga mendirikan Seri Perdana kira-kira RM250 juta. Dengan wang sebanyak ini kita boleh mendirikan 5,000 buah rumah berharga RM50,000 sebuah untuk rakyat biasa. Mengapakah dengan belanja begitu besar, begitu cepat sekali yang rosak dan bocor?
Cili Api ingin tanya mantan PM Tun Dr Mahathir, bagaimana ini boleh berlaku? Siapakah kontraktornya? Adakah Tun telah memastikan “quality control”? Bukankah Tun terkenal sebagai seorang yang mengawasi secara pribadi segala perkara? Apa sudah jadi? Mungkin satu hari nanti kita akan ketahui apa sebenarnya, sebagaimana kita sudah ketahui kini mengenai AP.
KISAH JAMBATAN SEPARUH JALAN
Hari ini (22 Oktober) Singapura membuat penafian ia telah mencapai persetujuan dengan Malaysia berhubung pembinaan jambatan baru untuk mengganti tambak Johor. Laporan bahawa Singapura telah “bersetuju secara prinsip” terbit dalam media Malaysia dua hari sebelumnya.
Cili Api hendak tahu: Macam mana ini boleh berlaku? Memang wakil kedua-dua kerajaan telah berbincang tentang perkara ini. Apakah keputusan sebenarnya?
Projek membina jambatan ini dimulakan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau Perdana Menteri. Berharga kira-kira RM2 bilion, ia merupakan projek Pusat yang terbesar di negeri Johor. Syarikat yang dipilih untuk melaksanakan projek ini bernama Gerbang Perdana.
Khabarnya orang penting dalam syarikat ini ialah Yahya Jalil (baru-baru ini dikurniakan gelaran Datuk oleh Sultan Johor). Beliau berasal dari Muar dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Menteri Besar Datuk Ghani Othman.
Tidak ramai yang mengetahui asal usul Datuk Jalil ini selain dari beliau memang mempunyai kaitan erat dengan beberapa orang penting Umno. Yang menjadi tanda tanya ialah, adakah beliau sebenarnya tokoh terpenting dalam syarikat itu? Atau Cuma jadi “orang hadapan” (front man) untuk tokoh atau tokoh-tokoh lain yang lebih penting?
Cili Api, seperti ramai orang di Johor, selalu tertanya-tanya: Mengapakah mantan PM Tun Dr Mahathir begitu mengambil berat atas pembinaan jambatan ini? Mengapakah beliau berkeras sangat hendak menyiapkannya, tidak peduli sama ada persetujuan tercapai atau tidak dengan Singapura? Mengapakah beliu sampai sanggup hendak membina jambatan itu walaupun separuh jalan saja, dan menyambungkannya kepada tambak Johor sekiranya Singapura tidak bersetuju?
Cili Api syak tentu ada buaya (maaf udang!) di sebalik batu. Tapi syak saja tidak cukup. Oleh itu Cili Api menggesa supaya projek ini disiasat dengan teliti dan telus oleh sebuah badan bebas. Mana tahu? Entah-entah ada cerita tersembunyi di belakangnya, yang lebih hebat daripada skandal AP.
MAKA TAMATLAH CERITA AP
Cili Api percaya akhirnya cerita AP akan tamat, setelah meleret beberapa bulan. Jikalau ia tidak dibongkar oleh mantan PM Tun Dr Mahathir, ceritanya tidak akan dirarik begitu panjang. Ketua Pembangkang Lim Kit Siang pun menumpang semangkuk untuk memanjangkannya lagi. Seolah-olah Dr M dan Kit Siang bersaing hebat hendak mengganyang Rafidah sampai lumat. Hingga Lim melupakan korupsi melibatkan Dr M.
Dalam Parlimen Menteri Datuk Nazri Aziz menyatakan bahawa perbalahan antara Mahathir dengan Rafidah itu bercorak personal semata-mata dan tidak melibatkan kerajaan. Kalau Cili Api Dr Mahathir, tentu sekali Cili Api akan melompat untuk menjawab kenyataan yang menghina itu. Mengapakah beliau tidak menjawab? Adakah mungkin jawapannya, kalau ada, tidak diterbitkan oleh media? Cili Api dengar, selepas pengumuman Dasar Automotif Negara, media diarahkan supaya menutup cerita AP.
Sebelum itu Dr M secara sindiran berkata lebih baik Proton ditutup saja. Tapi Cili Api tahu Dr M tidak mahu ini berlaku, kerana akan menjatuhkan maruh negara dan air muka pelopornya. Sebenarnya Dr M orang terakhir mahu melihat Proton tutup; beliau akan berusaha gigih untuk memastikan projek ini selamat. Ada orang berpendapat kalau hendak selamatkan Proton, lebih baik Dr M berundur sebagai penasihat.
Malangnya, tiada siapa boleh meminta Dr M berundur, kerana tiada siapa yang melantiknya. Dia lantik diri sendiri. Jikalau Dr M tidak pasti apa dia patut buat, Cili Api nasihat secara percuma supaya dia minta nasihat daripada Tun Hasmah.
Cili Api (Suara Keadilan) 29.10.2005 (Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan: bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.