ISa Samad Tamat
Oleh Cili Api - Laman M@RHAEN
Komen di bawah ini terbit di ruangan PEDAS-PEDAS CILI API dalam SUARA KEADILAN terbaru.


ISA SAMAD TAMAT

Akhirnya cerita Tan Sri Isa Samad tamat. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO membincang rayuannya dan memutuskan menolaknya. Dia diminta meletakkan jawatan sebagi Menteri dan digugurkan dari semua jawatan parti. Tetapi tempoh hukuman diturunkan dari enam kepada tiga tahun saja.

Cili Api nampak Isa agak gembira. Mungkin bukan saja kerana tempoh hukuman dipendekkan, Dia boleh memilih untuk terus menjadi anggota Parlimen. Dia boleh menentukan sendiri bila patut meletak jawatan,  “selepas semua kerja selesai”. Kerja apa? Tidak tahu berapa lama pula. Yang paling menggembirakan baginya, kes ini tidak dibawa ke mahkamah.

Isa jelas telah melakukan rasuah yang bernama politik wang, dan ini merupakan satu perbuatan rasuah – rasuah politik, jenayah yang sangat jijik. Sepatutnya beliau dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah, disiasat,  dituduh dalam mahkamah dan dihukum penjara jika didapati bersalah. Apa sebab ini tidak berlaku? Mudah saja jawapannya.

Ramai pemimpin dalam  Majlis Tertinggi UMNO yang menjatuhkan hukuman ke atas  Isa  terkenal sebagai bapak rasuah politik dan bermacam rasuah lain. Mereka bimbang jikalau Isa dibawa ke mahkamah ia akan merupakan permulaan atau “precedent” buruk. Manalah tahu, jika nasib malang dan mereka pula dituduh, alangkah.

Isa sudah jangka memang susah dia boleh lepas. Bukti bertimbun yang beliau membagi-bagi wang politik dari tangan sendiri. Cili Api tidak tahu. Adakah dia cuai,  tolol atau bodoh sombong kerana sudah terlalu lama berkuasa?

 Ramai lagi yang telah sama-sama melakukan jenayah rasuah politik dalam Perhimpunan UMNO lalu. Ada yang Menteri dan ada yang Menteri Besar; ada yang menang dan ada yang kalah. Bezanya sedikit saja. Mereka tidak sebegitu bodoh agaknya. Mereka tidak terang-terangan melakukan jenayah itu sendiri, seperti Isa berani lakukan.

Selepas Isa, semua kes yang lain tutup. Datuk Seri Abdullah al-Badawi seolah-olah menjanjikan tidak ada laporan kes-kes lain akan diambil tindakan. Hati Cili Api tertanya-tanya: Adakah PM Dolah betul-betul serius hendak menghapuskan rasuah, segala bentuk rasuah? Cili Api ingin mendapat pandangan  daripada Timbalannya.
 

KIT SIANG SELAMATKAN RAFIDAH?

Cili Api nampak secara tidak disengajakan Lim Kit Siang telah berjaya menyelamatkan Menteri Datuk Rafidah Aziz. Kit Siang terlalu bertubi-tubi menyerang Rafidah, dengan tujuan hendak menjatuhkannya. Walaupun dua orang MP BN menyokong beliau, namun akhirnya semua MP kerajaan bersatu untuk memastikan Rafidah selamat dan Kerajaan tidak dimalukan oleh Pembangkang.

Sesuai bagi Rafidah menyanjung Kit Siang hingga ke kemuncak Menara Kembar dan tidak menghumbannya ke dalam tasik. Ada orang beritahu Cili Api, beliau patut membuat ucapan begini: “Terima kasih banyak YB Ipoh Timur. Kerana mu Menteri Nazri memuji ku. Kerana mu Shahrir Samad pun puas dengan ku. Kerana mu semua MP BN tidak tergamak hendak menghentam ku. Pak Lah sokong ku. Ada esok bagi ku.”

Cili Api tahu Kit Siang takkan “give up”. Memang sikapnya begitu. Ini persamaan  Ketua Pembangkang ini dengan mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad. Mahathir  juga mengharapkan kes Rafidah akan berterusan. Agaknya ini cara baik untuk memesongkan perhatian umum daripada kes-kes rasuah meganya sendiri.

Cili Api cukup setuju denan pendapat yang selalu disuarakan oleh Saudara Anwar Ibrahim dalam ceramah-ceramahnya. Yang lebih penting bukannya Rafidah, tetapi sistem yang membenarkan korupsi meluas sekali di kalangan para pemimpinUMNO-BN sejak

Mahathir berkuasa.
 

DARI RAFIDAH SASAR SAMY

Sebenarnya ramai pemimpin UMNO dan kroni mereka ingin melihat Rafidah berundur. Tetapi mereka tidak sanggup melihatnya diheret jatuh oleh Kit Siang, yang mereka tuduh sebagai bapak perkauman Cina. Cili Api tidak setuju dengan tuduhan mereka ini, tetapi malangnya sudah lama fitnah ini melekat.

pemimpin dan kroni UMNO ini mahu Rafidah berundur  kerana mereka tidak sabar-sabar LAGI hendakkan AP dan lain-lain peluang yang ada pada Rafidah sekarang berpindah ke tangan mereka. Ini riwayat lama tentang dua orang adik-beradik yang tamak bercakaran kerana berebutkan harta.

Setelah kurenung dan kutilik, Cili Api berpendapat, sebenarnya sasaran utama pemimpin dan kroni yang menentang Rafidah itu ialah tidak lain tidak bukan Datuk Seri Samy Vellu. Mereka mahu Samy segera berundur supaya boleh diganti dengan Menteri “kita”, yang boleh memberi projek dan kontrek lebuhraya dll. kepada “kita” pula.  Samy Vellu lebih mudah disuruh turun hanya selepas Rafidah diketepikan.

Itu sebabnya para pemimpin dan kroni ini mengharapkan sangat-sangat PM Dolah akan merombak kabinet. Mereka mahu Rafidah serta Samy dipindahkan saja, jikalau Dolah tidak sanggup atau berani menggugurkan mereka. Dolah mungkin takut kerana dua menteri ini tahu  tentang tengkorak dan rangka yang tersembunyi dalam peti besi PM.

Sekarang nasib tidak baik. Bukan saja Rafidah sudah selamat, Samy pun susah hendak disentuh. Cili Api mendengar suara-suara sinis UMNO melaungkan dengan nyaring: “Terima kasih Kit Siang!”
 

DEMOKRASI MATI DI UNIVERSITI

Menjelang hujung minggu lalu kira-kira 200 orang mahasiswa  berarak di jalan raya menuju pejabat Suhakam (Suruhnjaya Hak Asasi).. Mereka berpakaian serba hitam dan membawa keranda, tanda berkabung  sebab demokrasi sudah mati di universiti-universiti.. Sungguhun hujan lebat, semangat mereka tidak luntur. Syabas! Cili Api sanjung semangat dan keberanian mahasiswa ini.

Peristiwa ini adalah lanjutan dari pilihan umum untuk memilih wakil mahasiswa ke Majlis Pelajar di semua universiti awam. Ramai mahasiswa tidak puas hati dengan bermacam-macam perkara yang berlaku, terutama sekali sebelum dan semasa pilihan umum itu. Akibatnya, ada yang boikot mengundi dan ada yang menarik diri dari bertanding. Anehnya, permohonan Suhakam hendak memerhati pilihanraya di universiti ini pun ditolak.

UMNO, melalui Pemuda dan Putri, dengan kerjasama universiti menyokong calon-calon pilihan mereka. Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar (HEP), pegawai-pegawai pentadbiran dan keselamatan, bahkan juga kakitangan akademik (ada yang bergelar profesor) tanpa segan silu melibatkan  diri dengan pelbagai usaha kotor untuk memastikan kemenangan besar calon-calon pro-kerajaan. Khabarnya usaha-usaha ini lebih intensif dan lebih teruk daripada masa-masa lalu.

Cili Api diberitahu UMNO, bahkan juga Kementerian Pendidikan Tinggi, berbelanja besar berkali-kali mengumpul calon-calon mereka di hotel-hotel mewah, memberi  jamuan kursus menipu. Calon-calon ini dibekalkan dengan wang juga. Tidak cukup dengan itu calon-calon dari pihak yang menentang ramai diugut oleh pegawai-pegawai universiti dan ada yang ditarik hak bertanding.

Nampaknya segala perbuatan rasuah, penyelewengan dan tidak demokratik yang diamalkan oleh UMNO-BN dengan bantuan  SPR untuk memenangi pilihanraya negara kini diperluaskan di universiti oleh UMNO-BN dengan kerjasama HEP. Dulu mahasiswa mempunyai persatuan yang mereka tadbir sendiri dan mengadakan pilihanraya yang merek selenggara sendiri secara demokratik tanpa rasuah. Sekarang apa sudah jadi?

Cili Api sangat susah hati. Pucuk pimpinan UMNO-BN secara sedar atau tidak sedar membenarkan proses untuk membunuh demokrasi di universiti. Pada masa sama mereka  mematikan inisiatif bagi melatih pelajar menjadi pemimpin tulen yang bebas, bersih dan cekap untuk masa depan.
 

APA SUDAH JADI, GPMS?

Apabila Allahyarham Aminuddin Baki beserta rakan mahasiswa seangkatannya menubuhkan GPMS, tujuannya ialah untuk mengembleng tenaga pelajar bagi membela kebajikan pelajar sendiri. Lama juga GPMS dipimpin oleh pelajar dan dianggotai oleh pelajar.

Tetapi sejak beberapa tahun yang lalu,  pimpinan pelajar diketepikan dan tempat mereka dirampas oleh siswazah yang sudah bekerja, kebanyakan ahli Umno. Ahli-ahli pun bukan pelajar lagi.

Presiden GPMS sekarang, Datuk Suhaimi Ibrahim,  sudah lama meninggalkan universiti, rapat dengan UMNO dan khabarnya lama juga menjadi pegawai Kemas. Barisan pimpinannya pun bukan pelajar, ada yang Umno totok. Mereka peralatkan GPMS untuk kepentingan politik Umno.

Sekarang Suhaimi dicabar oleh Naib Presidennya, Reezal Merican Naina Merican, yang kebetulan Ketua Biro Ekonomi Pemuda Umno. Adakah Pemuda Umno tidak puas hati dengan Suhaimi, dan melalui Reezal mahu menguasai dan memperlat GPMS dengan lebih berkesan lagi?

Cili Api lihat  Umno (termasuk Pemudanya) bukan main besar lagi selera tamak mereka untuk menguasai universiti, pelajar, masjid, surau, persatuan silat dll. untuk membina dan  mengukuhkan kedudukan. Mereka tuduh orang lain menggunakan semua ini. Pada hal merekalah yang memperalatkannya. Kata dulang paku serpih!

Cili Api (Suara Keadilan) 17.10.2005 (Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.netCerminan: bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.