![]()
PELAJAR MELAYU LEMAH?
Oleh Cili Api - Laman M@RHAEN
Komen di bawah ini terbit di ruangan PEDAS-PEDAS CILI API dalam SUARA KEADILAN terbaru pada hari Khamis, 21hb Julai 2005. SUARA KEADILAN terbit dua kali sebulan.
Pada interview yang disiarkan dalam tiga halaman Mingguan Malaysia, PM Dolah telah cuba menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan Agenda Melayu. Cili Api kuatkan azam untuk membaca seluruhnya dalam sekali duduk. Sakit juga punggung dan belakang dibuatnya. Cili Api akui sesetengah yang diulas oleh Presiden UMNO itu menarik juga.Antara lain, PM Dolah menerangkan mengikut agenda Melayu sikap dan nilai orang Melayu mesti diubah, yang lama mesti diganti dengan yang baru. Betul jugak. Tetapi Cili Api hendak tegaskan di sini tidak semua yang baru itu baik. Kata Dolah, sebagai sikap baru orang Melayu mesti serius melakukan sesuatu. Itu ok.
Kalau hendak berlaku tidak serius, Cili Api boleh berhujah: Siapa kata orang Melayu tidak serius? Tengok saja sesetengah pemimpin Melayu dalam UMNO itu. Bukankah mereka begitu serius sekali melakukan satu perkara yang serius, iaitu rasuah politik wang? Tetapi Cili Api tidak mahu tunjuk sikap tidak serius, sebab PM Dolah serius dengan hal yang dia cakap itu.
Namun begitu, Cili Api dapat kesan seolah-olah PM Dolah menganggap semua orang Melayu tidak serius. Sebab sikap tidak serius itu mereka tertinggal di belakang. PM Dolah ambil pendidikan sebagai contoh. Walaupun beliau mengaku sudah ada kemajuan dalam bidang ini, sebab ramai Melayu yang sudah mendapat Ph.D., tetapi dalam pendidikan orang Melayu tercicir di belakang orang Cina.
Secara serius, Cili Api mahu tegaskan bukan semua Melayu tidak serius. Kita lihat sekarang ini, ramai pelajar perempuan (di sekolah menengah dan universiti) mencapai kejayaan cemerlang. Nampaknya, sebahagian besar pelajar perempuan Melayu lebih serius dan lebih cemerlang prestasi mereka daripada kebanyakan pelajar lelaki Melayu.
Cili Api perhati, sikap serius perempuan Melayu lebih ketara daripada lelaki Melayu, bukan saja di universiti. Lihat saja di jabatan-jabatan kerajaan ataupun swasta. Secara perbandingan, kebanyakan pegawai tinggi perempuan Melayu lebih serius dan cekap daripada sebahagian besar lelaki. Bahkan di kalangan kakitangan polis, kastam dan imigresen peringkat rendah pun, perempuan kebanyakannya lebih serius, lebih cekap dan lebih bersih (dari rasuah) daripada lelaki.
Cili Api harap kaum Adam tidak marah dan tidak akan cari cili kontot ini untuk digiling. Cili Api bercakap benar. Dan cuma hendak menyatakan serius tidak setuju dengan PM Dolah yang cuba kaut semua sebakul dan hentam sembrono saja.
Cili Api sangat serius buat komen.
120,000 PELAJAR PINTAR TERCICIR
Mengikut akhbar Utusan Malaysia, terdapat 120,000 orang pelajar pintar Melayu yang tercicir dari pengajian tinggi. Cili Api tak sangka banyak begitu. Pelik wa ajaib.
Cili Api tidak tahu apa maksud istilah pelajar pintar itu, sebab Utusan tidak beritahu berapa jumlah A yang mereka perolahi dan dalam mata pelajaran apa. Agaknya mereka dianggap pintar sebab mencapai kelayakan minima, tetapi tidak diterima masuk universiti. Hendak ke universiti awam tidak cukup tempat, nak ke universiti swasta tidak mampu membayar.
Utusan tidak puas-puas komplen sponsor pinjaman dari MARA atau kerajaan untuk pelajar pintar masuk universiti swasta semakin berkurang. Akibatnya, bukan saja ramai pelajar pintar Melayu tidak dapat melanjutkan pelajaran, bahkan banyak pula IPTS (Institut Pengajian Tinggi Swasta) Melayu yang terpaksa gulung tikar.
Cili Api hargai Utusan kuat mendesak supaya lebih banyak bantuan atau pinjaman diberikan kepada pelajar Melayu pintar, dengan tujuan untuk menolong mereka melanjut pelajaran dan juga membantu IPTS Melayu yang nazak. Nak tolong Melayulah!
Tetapi Cili Api ada berbeza pendapat sedikit. Lebih baik wang rakyat dibelanjakan untuk menambah universiti awam yang boleh menampung lebih ramai pelajar. Lebih mudah hendak mengawas dan memantau pentadbiran dan mutu pendidikan di IPTA daripada di IPTS, bukan?
Nanti ada pula yang bimbang kalau banyak universiti awam didirikan, bertambah pula mahasiswa menganggur. Cili Api percaya kalau wang rakyat dibelanjakan secara bijaksana untuk pembangunan ekonomi serta industri dan untuk kemajuan perdagangan serta pentadbiran, tentu lebih banyak peluang pekerjaan akan terbuka.
Cili Api rasa, untuk mencapai Agenda Melayu, kita bukan hanya harus salahkan rakyat saja, tetapi kena tegur pemerintah lemah dan korup juga. Baru adil dan saksama!
Cili Api (Suara Keadilan) 23.07.2005 (Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN