![]()
HEBOH HIMPUNAN UMNO
Oleh Cili Api - Laman M@RHAEN
Komen di bawah ini terbit di ruangan PEDAS-PEDAS CILI API dalam SUARA KEADILAN terbaru pada hari Khamis, 21hb Julai 2005. SUARA KEADILAN terbit dua kali sebulan.
Cili Api fikir, apabila pembaca menatap ruangan ini Himpunan UMNO sedang berjalan atau mungkin sudah selesai. Agaknya, seperti biasa, walaupun himpunan sudah selesai masalah rakyat tetap tidak langsai.Tiap-tiap kali sebelum himpunan UMNO, media yang dimiliki atau dipengaruhi mereka tidak habis-habis menyiarkan lagu UMNO, pemimpin utama UMNO dan cerita-cerita tentang UMNO.
Begitu juga tidak berhenti-henti para pemimpin menimbulkan isu-isu dan masalah-masalah negara serta rakyat, terutama berkaitan dengan orang Melayu. Ada isu dan masalah itu baru, tetapi kebanyakannya lama, yang sudah diulang-ulang sebelum tiap-tiap himpunan UMNO sehingga sudah terlalu basi.
Cerita tentang agenda Melayu, orang Melayu ketinggalan, orang Melayu malas, orang Melayu tidak bayar hutang, orang Melayu mengalibabakan permit, pengangguran mahasiswa, semuanya cerita lama.
Cili Api nampak, yang baru sedikit ada dua. Pertama, tentang masalah AP (permit import kereta), yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir. Dari mata yang juling ini kelihatan seolah-olah Tun itu cuba hendak menyalahkan pihak lain kerana kereta Proton semakin gagal.
Kedua ialah keluhan usahawan IPTS (Insititusi Pengajian Tinggi Swasta) kerana tidak mendapat cukup pelajar; dan oleh demikian menggagalkan harapan mereka untuk meraih untung dari perdagangan pendidikan.
Seperti di zaman Tun Cek Det dulu, sekarang ini, di bawah PM Dolah pun orang Melayu terus dituduh, dihina dan disalahkan kerana segala masalah atau kekurangan yang terdapat di kalangan mereka.
Cili Api nampak semacam para pemimpin masing-masing berlumba-lumba untuk menunjukkan mereka prihatin terhadap semua masalah orang Melayu dan berazam hendak menyelesaikannya.
Masing-masing mahu jadi jaguh. Najib pun mahu tunjuk dia lebih jaguh dari Dolah, walaupun tidak diberi liputan interview dengan gambar besar dalam tiga halaman berhias Mingguan Malaysia.
Tapi kalau selepas 48 tahun Merdeka isu sama tidak selesai dan masalah lama tidak langsai, rasanya lebih baik saja pergi pangsai. Izinkan Cili Api sorak Banzai! Banzai!
SIKAP TAK BAYAR HUTANG
Dalam interview Mingguan Malaysia yang sama, PM Dolah juga mengkritik sikap orang Melayu tidak mahu membayar hutang. Pandangan PM ini disuarakan juga oleh TPM Najib. Mereka setuju orang Melayu mesti ubah sikap dan membayar hutang.
Cili Api tidak hairan kedua-dua PM dan TPM ini mempunyai pandangan tidak berbeza. Bukankah bila kita tengok gambar mereka bersama terpampang dalam TV atau akhbar, mereka selalu kelihatan senyum lebar dengan penuh mesra? Mereka melambangkan keadaan UMNO yang sekarang ini begitu tenang, harmoni dan bersatupadu sekali. Alhamdulillah!
Tetapi Cili Api percaya PM dan TPM tentu tidak seia sekata bahawa semua orang Melayu suka berhutang dan semua Melayu yang berhutang tidak mahu membayar hutang. Cili Api berpendapat mereka lebih bijaksana dari itu.
Mereka sama-sama telah memberi contoh tentang lulusan pelajaran tinggi yang tidak mahu membayar pinjaman pelajaran dari kerajaan atau MARA. Tetapi tidak semua mereka ini tidak membayar balik pinjaman; ada juga yang membayarnya.
Cili Api memang bersetuju semua pinjaman atau hutang wajib dibayar balik. Namun, Cili Api ingin bertanya: Mengapa selalu sangat diungkit-ungkit tentang hutang pelajar tersebut?
Kedua-dua PM dan TPM tentu maklum dan arif tentang hutang bergunung-gunung yang tidak dibayar oleh beberapa kerat pemodal dan usahawan kroni terkenal. Mengapa jarang disebut tentang mereka? Mengapa tidak ditagih hutang mereka? Mengapa tiada agenda Melayu untuk mengubah sikap dan nilai mereka?
Cili Api (Suara Keadilan)23.07.2005 (Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN