Polisi Malaysia 'berjaya' lahirkan Belia Pak Angguk - Debat Perdana
Oleh Amirulreza  - Laman M@RHAEN

Assalamualaikum w.b.t.

Apabila kita mendengar sahaja nama 'Prof Di Raja Ungku Aziz' pasti ada di antara kita yang melabelkan beliau sebagai seorang yang intelek, berprestasi tinggi, dan macam-macam lagi. Namun bagi saya pula, beliau adalah seorang yang ber'mulut laser' sama ada ketika membincangkan tentang UMNO ataupun mengenai apa sahaja yang melibatkan bangsa Melayu. Nampaknya 'title'nya sebagai Melayu Terbilang yang dianugerahkan kepadanya sempena Hari Umno masih 'gagal' untuk menutup terus mulutnya yang laser itu.

Ini terbukti pada Debat Perdana 17 Julai 2005 yang lalu. Kali ini Pak Ungku berjaya mengupas krisis identiti di dalam jiwa remaja. Dengan wujudnya Akademi Fantasia, Malaysia Idol dan pelbagai lagi rancangan realiti tv, maka lahirlah belia yang khayal, malas untuk berfikir dan kurang membaca. Namun jika kita sedari atau tidak, rancangan realiti tv yang wujud mutakhir ini adalah kesinambungan daripada 'Budaya Konsert' yang bercambah setelah bermulanya pemerintahan Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia. Inilah jasa utama 'seorang anak ulama' yang diagung-agungkan oleh UMNO selama ini.

Di sini tidak diketahui sama ada Pak Ungku sedar atau pura-pura tidak sedar bahawa 'Budaya Konsert' itulah maka bermulanya detik kewujudan belia khayal yang diistilahkan oleh Pak Ungku itu!

Pak Ungku nampaknya masih berkaliber untuk membincangkan isu luarannya sahaja namun masih 'berkias' untuk menyentuh akar umbi sesuatu isu itu. Memang saya akui, siapalah saya untuk mempertikaikan tentang kredibiliti Pak Ungku yang mempunyai intelektualiti yang berprestasi tinggi itu, namun itulah 'ketakutan' yang masih ada di dalam dirinya untuk menyelamatkan bangsa Melayu yang terkenal dengan identiti pak turutnya itu.

Walaupun Melayu PAS cuba untuk mengubah rentak songsang itu dengan memperkenalkan 'pengisian' serta pengaplikasian Islam di dalam cara hidup, namun sehingga kini ianya tidak berjaya dek tangan-tangan bangsa Melayu sendiri yang masih menjadi 'Pak Angguk' untuk terus memberikan tampuk kuasa kepada UMNO untuk terus menjahanamkan bangsa Melayu. Malah rentak pemikiran Melayu yang malas untuk berfikir serta mengkaji itu adalah hasil polisi Umno yang mengenakan pelbagai akta serta peraturan yang mana ia digunakan untuk menyekat belia daripada berbeza pendapat dengan pihak kerajaan. Benar, belia masih boleh membaca, mengkaji serta berbuat apa sahaja namun ianya hanya untuk skop pendidikan semata-mata tidak lebih daripada itu. Antara akta yang cukup berkesan untuk membantutkan pemikiran para belia yang berstatus mahasiswa adalah AUKU (Akta Universiti Kolej Universiti).

Jadi tidak hairanlah sekiranya wujud belia yang lebih suka meniru identiti yang dipelopori oleh bangsa barat atau bangsa yang selain daripada bangsa Melayu yang mana identitinya 'songsang' serta tidak menepati nilai Islam yang sepenuhnya! Malah daripada segi pembuatan kereta nasional pun, kita masih yakin untuk beridentitikan teknologi daripada Jepun serta Korea.

Jelas di sini, UMNO yang telah memegang tampuk pemerintahan Malaysia sejak merdeka lagi masih tercari-cari kaedah serta polisi yang berkesan untuk memupuk bangsa Melayu yang mempunyai identitinya yang tersendiri.

Adakah Melayu (UMNO) akan terus hanyut dengan 'Akademi Fantasia' yang wujud di dalam minda mereka?

Sekian.

Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
 - 19.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN