Apakah Krisis Sebenar 
Di sebalik Pengusiran 9 Pelajar S'gor di Mesir daripada Asrama?

Oleh Amirulreza  - Laman M@RHAEN

Assalamualaikum w.b.t.

Sesungguhnya setiap peristiwa itu pasti mempunyai sebab-musababnya. Jika tidak,masakan pokok boleh bergoyang ! Inilah persoalan yang bermain di fikiran saya apabila membaca berita mengenai 9 Pelajar Selangor di Mesir dihalau dari asrama (Harakahdaily, 12 July 2005). Sebagai seorang pelajar, saya boleh rasakan betapa susahnya diri ini apabila ‘merempat’ di negeri orang tanpa bantuan, tanpa keluarga. Saya telah cuba bertanya khabar dari teman-teman dari Mesir tentang isu ini dan inilah kisah yang telah berlaku disana.

Jika kita membaca berita dari sumber Bernama, ia ada memaparkan berita yang bertajuk “Mais Tarik Balik Dermasiswa 9 Penuntut Tajaanya” (Bernama, 12 Julai 2005). Menurut berita berkenaan, 9 pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar telah menganggotai pertubuhan yang tidak diiktiraf oleh Kedutaan Malaysia di Mesir. Pertubuhan itu adalah Persatuan Melayu Republik Mesir dan Badan Kebajikan Anak Melayu Selangor.

Namun di sini telah tersiar laporan dari Bernama yang menyebut Persatuan Melayu Republik Mesir, sedangkan rakan saya di Mesir pula menyebut persatuan itu adalah sebenarnya Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). (Seandainya saya silap maka, betulkanlah saya)

Manakala status Badan Kebajikan Anak Melayu Selangor pula adalah naungan PMRAM.

Mengapakah dengan hanya menganggotai PMRAM maka dengan ‘zalim’nya mereka ditarik dermasiswanya seterusnya dihalau?

Menurut bernama, PMRAM dan Kebajikan Anak Melayu Selangor tidak diiktiraf oleh Kedutaan Malaysia di sana maka dengan itu maka sesiapa yang terus berdegil untuk menganggotainya maka seseorang itu akan didapati melanggar Perkara 4 (G) Fasal 12 Perjanjian Dermasiswa Zakat Mais yang memperuntukkan bahawa tidak boleh mengambil bahagian dalam apa-apa kegiatan yang difikirkan oleh Pusat Zakat Selangor (PZS) tidak selaras dengan kepentingan pelajar kepada PZS dan Malaysia. Malah mereka juga didapati bersalah melanggar Perkara 4 (H) peruntukan yang sama yang tidak membenarkan pelajar memegang apa-apa jawatan dalamapa-apa pertubuhan,badan atau kumpulan orang tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan daripada PZS.

Memandangkan pelajar berkenaan seperti Firdaus Madzlan dan rakan-rakannya tidak lagi mempunyai dana untuk membayar duit asrama,maka mereka dihalau.

Apakah Ideologi PMRAM sehinggakan tidak diiktiraf oleh Kedutaan Malaysia di Mesir?

Isu disini sebenarnya bermula dengan pertubuhan PMRAM itu sendiri di mata Mais dan PZS. Menurut berita yang saya terima, PMRAM adalah organisasi yang ditubuhkan semenjak 1930 lagi. Namun organisasi ini bermula dengan nama Persekutuan Putera-putera Semenanjung (PPS) seterusnya bertukar namanya kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) pada 1952 seterusnya bertukar kepada nama Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB) dan akhirnya Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada 1971.

Desas-desus dari Mesir ada mengatakan bahawa PMRAM telah dituduh terlibat dengan parti pembangkang dan pihak PMRAM telah menafikan sekeras-kerasnya dihadapan Dato’ Hamid Othman, Dato’ Zainal Abidin Abdul Kadir serta Dato’ Shafie Mohd Salleh pada 3 September 2004 yang lalu.

Menurut sumber yang boleh dipercayai mendakwa, kalau ingin benar mengaitkan PMRAM dengan pembangkang hanya kerana individu-individu tertentu yang pernah bergiat aktif dengan PMRAM kemudian terjun ke politik pembangkang, maka sejarah PMRAM menegaskan bahawa salah seorang Presiden PMRAM, Datuk Wan Mokhtar Ahmad yang menjadi presiden dari tahun 1959 hingga 1961 (ketika itu jawatan presiden masih lagi menggunakan istilah Yang DiPertua Persekutuan Melayu Mesir) telah terlibat aktif dengan UMNO malahan menjadi Menteri Besar Terengganu dalam tempoh yang panjang. Malah, Dato Hamid Othman yang sangat setia dengan perjuangan UMNO hari ini adalah antara Badan Pengurus PMRAM satu ketika dulu.

Kalaulah PMRAM benar-benar terlibat dengan dengan sebarang pergerakan politik, pasti PMRAM sudah lama ditarik pendaftarannya oleh Kementerian Kemasyarakatan Mesir kerana melanggari undang-undang tubuh PMRAM yang menyatakan bahawa PMRAM tidak boleh sama sekali terlibat dengan mana-mana pergerakan politik baik politik dalam Mesir atau luar Mesir. Umum telah mengetahui bahawa kerajaan Mesir begitu keras dengan pergerakan Ikhwan Muslimin. Mereka pun boleh benarkan PMRAM bernaung di bawah salah satu kementerian Mesir.Ini tidak akan berlaku seandainya PMRAM adalah salah satu sayap pembangkang !

Persatuan-persatuan kampus di Malaysia turut melahirkan tokoh-tokoh politik kerajaan mahupun pembangkang. Hal ini tidak mampu dinafikan lagi.PMRAM juga sama seperti persatuan-persatuan tersebut.

Krisis PMRAM dengan Kedutaan Malaysia di Mesir bermula apabila PMRAM menentang penubuhan Kelab UMNO di Mesir pada tahun 1982. PMRAM begitu menentang penubuhan Kelab UMNO tersebut kerana ia merupakan pertubuhan yang melibatkan politik. Apa tidaknya, sesiapa yang ingin menyertai Kelab Umno maka seseorang itu terpaksa mengisi borang keahlian UMNO terlebih dahulu !

Malah PMRAM dikatakan seolah-olah organisasi ala-PAS apabila kebanyakan ahlinya memakai jubah dan berniqab(berpurdah). Malah, wujud tohmahan songsang yang mendakwa PMRAM memaksa pemakaian sedemikian dan menolak pemakaian baju kurung.

Faktor-faktor sedemikianlah maka PMRAM dilabelkan sebagai organisasi yang cenderung ke arah parti pembangkang (PAS).

Baiklah, kini lihat pula apakah organisasi-organisasi yang telah diiktirafkan oleh Kedutaan Malaysia di Mesir. Organisasi itu adalah Kelab UMNO Republik Arab Mesir (NUMRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) Mesir, Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM) dan ALAMI.

Nyatalah disini, telah wujud suatu krisis yang besar disebalik pengusiran 9 pelajar tersebut dari asramanya di Mesir. Kini jelaslah sudah, kerangka untuk mengUMNOkan semua pelajar yang terdapat di Malaysia serta pelajar-pelajar Malaysia di luar Negara secara paksa sedang hebat berlangsung. Seandainya pelajar tidak menurutinya maka padahlah jawabnya.

Sampai bilakah mahasiswa Malaysia diserata pusat pengajian di seluruh dunia akan terus di’paksa’ dengan sedemikian rupa? Disinilah dapat kita lihat betapa bernilainya setiap ‘pangkahan’ di kertas undi semasa Pilihanraya Umum di Malaysia dilangsungkan!

Sekian.

Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
 - 13.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN