![]()
Kerajaan M’sia Bayar RM5.3 juta Untuk Bolehkan Dr. M jumpa Bush?
Oleh Amirulreza - Laman M@RHAEN
Assalamualaikum w.b.t.Apabila pemimpin PKR membuka mulut di ceramah-ceramah umum tajaan BA di seluruh negara, pasti hal-hal berkaitan ‘iklim’ dalaman UMNO akan dapat kita ketahui. Itulah istimewanya PKR! Kini saya memetik secebis fakta dari Naib Presiden PKR, Azmin Ali sewaktu Ceramah Umum Sempena Muktamar PAS ke-51 pada 4 Jun 2005 yang lalu.
Muktamar PAS ke-51 sudah pun berakhir. Saf kepimpinan baru PAS sudah pun ‘digazet’kan. Walaupun PAS tidak mempunyai kemudahan sehebat dan sebesar PWTC untuk mengadakan muktamarnya, namun fikiran saya masih teringat suasana ketika muktamar itu berlangsung.
Antara perkara yang saya rasa boleh dikongsi dengan pembaca sekelian adalah mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Azmin Ali bahawa Kerajaan Malaysia yang didakwa telah mengeluarkan duit Negara untuk membolehkan Dr. M bertemu dengan Bush pada 2002 iaitu tahun terakhir pemerintahannya.
Untuk pengetahuan umum, persoalan ini muncul sewaktu Sidang Parlimen ke-11,Penggal ke-2 di Dewan Rakyat pada 25 April 2005 oleh Lim Kit Siang. Menurut Lim Kit Siang, Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM 5.3 juta bagi menjemput Dr Mahathir untuk berjumpa dengan Presiden Bush di White House pada tahun 2002. Perkara ini diakui oleh Dato’ Zainal Abidin Osman.Lim Kit Siang juga menerangkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud proses penglibatan wang rakyat khasnya melalui heritage foundation dan badan-badan yang ada disebut dalam laporan-laporan sama ada di U.S atau international media mengenai kemudahan-kemudahan yang disiapkan supaya diadakan jemputan dan lawatan itu. Malah wujud juga nama-nama yang diheret dalam kemudahan itu termasuk seorang bekas Menteri Kabinet di Malaysia.
Apa yang ingin saya ketengahkan di sini adalah maklumat Azmin Ali yang mana telah didapati dari ‘saluran tentu’nya yang diketengahkan ketika berceramah di PUTIK tempoh hari bahawa bekas menteri kabinet iaitu Tan Sri Megat Junid Megat Ayub telah membayar wang sejumlah RM 5.3 juta kepada Heritage Foundation untuk membolehkan Dr. M berjumpa dengan Bush selama 10 minit sahaja. Sedangkan pada mulanya Bush menolak mentah-mentah pelawaan Dr M itu.
Senario ini berbeza dengan Anwar Ibrahim yang didakwanya pengkhianat kerana berjumpa dengan Paul Wolfowitz suatu ketika dahulu selepas menjalani rawatan di Jerman. Mungkin pihak UMNO seperti Hishamuddin Tun Hussein dengki kerana Paul Wolfowitz serta pemimpin-pemimpin dunia yang lain seperti Menteri Luar Sudan, Menteri Luar Turki, Menteri Kewangan Arab Saudi, Menteri Ekonomi Yaman, Menteri Kewangan Bahrain, dan Syeikh Yusof Al Qaradawi, serta. wakil negara Barat, seperti Christ Paten (Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia), Perdana Menteri Kanada, Paul Martin, Menteri Kewangan United Kingdom, Gordon Brown, ada berkunjung untuk menemui Anwar Ibrahim dan bukannya dibayar untuk berbuat sedemikian.
Malah menurut DSAI, Paul Wolfowitz berkunjung sebagai kawan lama semasa jadi professor di Universiti John Hopkins, Washington. Malah sepanjang kunjungan itu DSAI ada mempersoalkan tindakan Amerika Syarikat yang menyerang Iraq dan DSAI meminta Amerika Syarikat tinggalkan Iraq. Selain itu, DSAI juga meminta Amerika Syarikat agar membetulkan persepi buruk mereka terhadap Syeikh Yusof Al Qardawi.
Jelas kita lihat di sini bahawa suara DSAI begitu ‘jelas’ di luar Negara dan sekarang tidak hairanlah sekarang ini DSAI lebih selesa mengajar di John Hopkin University berbanding ditindas di negaranya sendiri. Malah menurut Azmin Ali lagi, dikesempatannya bebas di luar Negara itu, DSAI berkunjung ke Qatar, Bahrain, Arab Saudi serta Negara-negara Islam lain agar tidak terpedaya dengan Negara yang kononnya berkonsepkan Islam Sederhana seperti Malaysia.
Persoalannya di sini, adakah Pak Lah serta pemimpin UMNO juga boleh mendapat reputasi sebegitu rupa tanpa menggunakan wang rakyat untuk membayar seseorang pemimpin agar berjumpa dengan pemimpin-pemimpin UMNO itu? Jika polisi inilah yang digunapakai oleh pemimpin UMNO (iaitu membayar sejumlah wang kepada seseorang pemimpin) untuk berjumpa dengan pembesar-pembesar U.S serta pemimpin-pemimpin berpengaruh lain, berapakah nilai wang rakyat yang telah dibazirkan untuk tujuan itu? Adakah pemimpin-pemimpin UMNO selama ini ‘membeli’ reputasi dari pemimpin-pemimpin U.S untuk menunjukkan mereka berpengaruh?
Sekian.
Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
- 08.06.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)