![]()
Najib Cuba Spekulasikan Senario Persaingan Jawatan PAS
Oleh Amirulreza - Laman M@RHAEN
Assalamualaikum w.b.t.Tersengih saya untuk seketika apabila mendengar ‘khabar’ berkenaan ‘titah ucapan’ Najib di Kuala Terengganu. Rupa-rupanya sangkaan saya bahawa laporan media (yang dianggap ‘media nyamuk’ dikalangan pemimpin Umno), telah dijadikan sumber Umno untuk menilai perjalanan PAS adalah benar.
Ini terbukti apabila Najib dilaporkan mengkhabarkan kepada rakyat bahawa mutakhir ini kempen perebutan jawatan di dalam PAS telah menular diperingkat akar umbi.
Menurut laporan Bernama, Najib mengulas bahawa
"Perebutan jawatan dalam PAS agak sengit dan kempen pun dah menular ke peringkat akar umbi. Ini menampakkan persaingan semakin sengit dan hangat.”
"Jadi mereka tidak boleh tempelak kepada Umno...(kerana sebelum ini) mereka selalu mendakwa orang Umno gila jawatan, gila kuasa dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Negara di sini, hari Jumaat.”
Jelas melalui laporan berkenaan, Najib serta pemimpin-pemimpin Umno yang lain tidak mempunyai ‘pelapor-pelapor’ yang boleh dijadikan sumber untuk memantau perkembangan PAS dari dalam. Ini kerana seperti yang saya tegaskan tadi bahawa pemimpin-pemimpin Umno hanya ‘berpandukan’ media yang mereka sendiri anggap sebagai media nyamuk itu.
Umum mengetahui bahawa penyokong PAS bebas untuk menyokong sesiapa yang mereka fikirkan layak di media-media digital. Itulah ditafsirkan sebagai lobi-melobi. Itupun dilakukan oleh penyokongnya. Malah, lobi melobi yang diusahakan oleh calon itu sendiri langsung dilarang oleh pucuk pimpinan PAS dan cara sebegini ditolak sama sekali oleh pengundi yang akan memilih.
Sokongan seumpama itu langsung tidak melibatkan wang untuk mempengaruhi sesiapa .Sedangkan Umno pula, pantang sahaja ada peluang maka berbondong-bondonglah pemimpin Umno menggunakan wang untuk melobi sewaktu pemilihan pucuk pimpinan mereka berlangsung. Budaya itu dinamakan politik wang manakala bagi Ungku Aziz pula itu dinamakan rasuah !
Jika hendak mendakwa bahawa calon-calon pimpinan PAS yang ‘gila kuasa’ pun, mengapakah calon-calon pemimpin PAS suka mengambil pendekatan ‘menarik diri’ untuk memegang sesuatu jawatan ? Adakah ini diistilahkan sebagai gila kuasa ? Malah, saya pernah menyaksikan beberapa pemilihan pucuk pimpinan di peringkat cawangan di Kelantan. Wujud beberapa kerat pemimpin yang bersifat ‘gila kuasa’ dan majoritinya tewas sewaktu pemilihan diadakan.
Oleh itu,ingin saya nasihatkan kepada Najib bahawa, sekiranya ‘anda’ ingin membuat spekulasikan sesuatu, baiklah jika kiranya ‘anda’ memaparkan fakta yang ‘solid’. Jika setakat menghakimi sesuatu dari kulitnya sahaja, itu masih tidak cukup memadai.
Mungkin hanya ‘ayat’ itulah sahaja yang boleh digunapakai oleh Najib untuk meyakinkan kepada penyokongnya bahawa PAS kini berada di dalam krisis kepimpinan. Ini memandangkan pihak media arus perdana langsung tidak dapat ‘mengorek’ fakta dari ‘dalam’ PAS setiap kali muktamar PAS diadakan.
Malah, saya juga merasa ‘terpegun’ kerana Umno kini telah dapat mengesan strategi baru PAS yang cuba merosakkan Umno daripada dalam dengan menjadi ahli Umno. Najib mengulas bahawa
"Kalau kita tahu mereka ada niat yang tidak baik, kita tak akan terima dia menjadi anggota Umno.
"Jadi yang mengenali mereka ialah pemimpin-pemimpin di peringkat cawangan. Mereka kena lebih berhati-hati dan jangan terlepas pandang serta bersubahat untuk merosakkan Umno daripada dalam," katanya.
Nampaknya inilah Umno. Paksi kesetiaan serta kejujuran ahlinya adalah melalui ‘tanda aras’ pada pangkat, pengaruh dan wang semata-mata. Jika ada yang dikhianati di dalam Umno, maka ‘orang’ itulah yang akan menjadi ‘pemberi maklumat’ serta ‘pencetus api perpecahan’ di dalam rumahtangga Umno.
Sekian.
Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
- 29.05.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)