Kuasa Annuar Kian Bertambah, 
Kepimpinan Tok Pa Kian Disanggah

Oleh Amirulreza  - Laman M@RHAEN

Assalamualaikum w.b.t.

Tersebar sudah akan khabar perlantikan Annuar Musa sebagai Pengerusi KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) yang baru setelah berakhirnya tempoh perkhidmatan Tan Sri Hussein Ahmad pada 31 Januari yang lalu, sedangkan Tok Pa terus menjadi kuli yang diperah keringatnya untuk mengkayakan Annuar Musa seterusnya dilupakan jasanya sebagai ‘arkitek utama’ sewaktu merampas 21 kerusi DUN Kelantan pada PRU ke-11 dahulu.
 
Umum mengetahui bahawa KADA merupakan suatu badan yang berfungsi untuk memaju dan membangunkan bidang pertanian berasaskan padi di kawasan seluas 80,000 hektar meliputi jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat. Setelah Annuar ‘berjaya’ menggunakan YYK (Yayasan Kemiskinan Kelantan) untuk memancing pengaruhnya di Kelantan .Kini Annuar akan mempunyai ‘jentera’ baru untuk terus berkuasa iaitu KADA.
 
Walaupun dari segi I.Q. Annuar Musa dilihat rendah berbanding Tok Pa, namun Annuar berjaya mengatasi ‘kuasa’ Tok Pa dari segi pengaruh melalui taktik ‘putar-belit’ nya, jika tidak, mana mungkin Annuar dapat ‘makan’ duit PPRT yang berjumlah RM 36.5 juta pada tahun 2001. Jelas, Tok Pa mempunyai pemikiran yang berbentuk ‘analitikal thinking’ berbanding Annuar Musa.
 
Annuar Musa Cuba Tunjuk ‘Over Brilliant’ berbanding Pemimpin Umno KelantanYang Lain
 
Jika dilihat pengaruh Annuar Musa dalam YKK, Annuar lebih gemar menggunakan stail memukau rakyat Kelantan dengan kata-katanya, sedangkan bantuan kepada orang miskinnya dan program-program pemulihannya tidak bergerak mana. Buat-buat lepas tu tinggal, syarah dan tinggal. Mana dia pendekatan hala tuju pembangunan luar bandar yang diisytiharkan sebelum ini? Akhirnya JPP juga yang uruskannya.
 
Namun saya pasti bahawa masih ada di kalangan rakyat marhaen, terutamanya penyokong Annuar Musa yang mendakwa Annuar mempunyai I.Q yang tinggi dari yang dijangkakan.Ini kerana Annuar telah meyakinkan rakyat melalui penemuan yang dianggap ‘bergeliga’ sewaktu Konvensyen Kemajuan Kelantan pada 29 April 2005 yang lalu.
 
Antaranya ialah
 
”Pusat pendidikan, elektrik, air, telefon, pusat pertumbuhan, sawah padi, halal hub dan pembangunan insan. Tetapi rasanya masih ramai yang tidak menyedari bahawa hampir semuanya dicedok dari Pelan Pembangunan Strategik yang telah diterima pakai sebagai panduan pembangunan ke hadapan oleh Kerajaan Kelantan sejak 1991”  (Petikan Pendirian Nik Abdul Aziz 20-Membetul Pemikiran Umno)
 
Malah 9 dimensi yang diterjemahkan oleh Majlis Kemajuan Kelantan pun diceduk dari dokumen-dokumen Rancangan Malaysia Lima Tahun atau Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan-rancangan Malaysia. Ini diakui sendiri oleh Tok Guru Nik Aziz melalui buku kecil Pendirian Nik Abdul Aziz 20 (Membetul Pemikiran Umno).
 
Bukti Tok Pa ‘lemah’ memutarbelit berbanding Annuar
 
Seandainya para pembaca dapat melihat program 60 Minit Bersama Menteri di TV1 pada 25 Mei yang lalu, jika sekilas pandang akan ‘kepetahan’nya bercakap tentang pertumbuhan terbaru ekonomi di Malaysia, Tok Pa begitu ligat memaparkan statistik-statistiknya bagi membuktikan ke seluruh dunia bahawa perangkaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat bukannya di ‘ada-adakan’.
 
Tetapi bila ditanya mengenai ‘indicator’ yang dijadikan sumber untuk menganalisa perangkaan pertumbuhan ekonomi di Malaysia yang berkisar 5.7 % pada suku pertama, maka kelam-kabutlah Tok Pa memaparkan ‘contoh-contoh’nya yang jelas tidak mempunyai data yang meyakinkan. Antara ‘indicator’ yang dibentangkan oleh Tok Pa bagi membuktikan bahawa perangkaan Kerajaan Pusat adalah betul dan bukan direka-reka adalah
 
1) Pembelian kereta di Malaysia kian meningkat.
2) Peminjam-peminjam berbentuk kredit untuk membeli kereta di bank – meningkat.
3) Pencarum EPF juga meningkat.
4) Harga komoditi seperti Kelapa sawit, getah dan sebagainya juga meningkat.
 
Sedangkan jika kita lihat pembelian kereta contohnya, jika ekonomi menurun pun kita masih boleh membeli kereta kerana wujud bank untuk memberikan pinjaman kredit. Malah jika dibebankan kepada bank untuk memberikan pinjaman pun, akhirnya bank juga yang akan mengalami masalah kewangan dan akhirnya, kerajaan juga yang akan ‘menyuntik’ bantuan kewangan kepada bank untuk ‘survive’.
 
Satu lagi perbincangan yang menarik perhatian saya dalam program itu adalah mengenai sebab-sebab harga minyak naik. Umum mengetahui bahawa sector petroleum menyumbangkan 25% hasil pendapatan negara berdasarkan perangkaan terkini. Menurut Tok Pa,

“Harga minyak di pasaran dunia meningkat kepada US Dollar 50 setong. Jadi keuntungan yang didapati oleh Petronas iaitu sebanyak 25% itu tidak boleh digunakan untuk sepenuhnya untuk ‘mensubsidi’ kan harga minyak di Malaysia. Ini kerana keuntungan itu perlu juga digunakan untuk melabur dalam proses carigali telaga minyak baru untuk generasi yang akan datang”.
 
“Oleh sebab itu, harga minyak perlu ditanggung separuh oleh kerajaan dan separuh lagi ditanggung oleh rakyat.”
Tetapi apa yang memusykilkan saya, adakah kerajaan akan terus mendaratkan minyak di telaga-telaga minyak yang baru diterokainya? Persoalan ini saya ketengahkan kerana telaga-telaga minyak yang diterokai hasil pelaburan carigali minyak di Pantai Senok di Kelantan langsung tidak di’daratkan’ ! Memandangkan Malaysia kehilangan duit yang banyak sewaktu ‘melaburkan’ ke arena PRU ke-11 yang lalu, jadi apalah kiranya kerajaan sekarang menggunakan dahulu sumber yang ada termasuk telaga minyak di Pantai Senok yang tidak didaratkan lagi sehingga kini.
 
Lagi pun harga minyak di pasaran dunia tidak selamanya berharga US Dollar 50 setong. Malah, harga itu telahpun dijangkakan oleh penganalisa ekonomi sewaktu Perang Teluk ke-2 tercetus lagi.
 
Jadi kesimpulannya di sini, Tok Pa makin disanggah akan kepimpinannya di mata rakyat Malaysia amnya dan di mata rakyat Kelantan khasnya.

Nampaknya Tok Pa akan terus dipergunakan oleh Annuar Musa untuk berkuasa di Kelantan, seperti seorang bos(Annuar) dan kuli(Tok Pa) yang senang disepak terajang. Tok Pa yang ‘peluh-ghejak’, Annuar Musa pula yang semakin kaya dan berpengaruh.

Sekian.

Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
 - 28.05.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: