Haron Din Tarik Diri: Rupanya Inilah Keunikan PAS
Oleh Amirulreza  - Laman M@RHAEN

Assalamualaikum w.b.t.

Nampaknya, muktamad sudah keputusan yang dikeluarkan oleh Dato’ Dr. Haron Din kepada Presiden PAS berkenaan pencalonan yang dibuat keatasnya daripada bertanding di posisi Timbalan Presiden PAS sewaktu muktamar ke-51 di PUTIK nanti. Malah, saya juga turut berasa ‘pilu’ di atas penarikan diri beliau dari bertanding.

Setelah beliau pengsan akibat masalah jantung dan dimasukkan ke IJN, maka itulah isyarat paling jelas dari ‘jasad’ beliau bahawa beliau terpaksa mengundurkan diri dari bertanding dari posisi tersebut, walaupun banyak kawasan telah mencalonkan beliau agar bertanding.

Berikut adalah rentetan penarikan diri Dato' Haron Din (dipetik dari Harakahdaily.net)

22 Mei - Haron Din hantar surat menarik diri untuk semua jawatan yang ditawarkan kepadanya.
23 Mei - TG Nik Abdul Aziz jumpa Haron Din di Rumah Kelantan, Kuala Lumpur.
24 Mei - TG Nik Abdul Aziz buat kenyataan Haron Din sedia bertanding kepada media dan disiarkan pada 25 Mei
24 Mei malam - Haron Din dimasukkan ke IJN
25 Mei jam 1.30 petang - Presiden dan Setiausaha Agung PAS menziarahi Haron di IJN
25 Mei 5.30 petang - Presiden membuat kenyataan Haron Din tidak bertanding apa-apa jawatan atas alasan kesihatan.

Namun jika kita perhatikan fenomena ini. Adegan ‘tolak-menolak jawatan’ daripada bertanding ini sudah menjadi ‘pemandangan’ biasa apabila sessi pemilihan jawatan diadakan pada peringkat parti. Tetapi bagi golongan yang ‘tidak biasa’ dengan fenomena ini akan menganggap PAS kini tidak mempunyai pimpinan terbaik untuk memimpin parti. Adakah tanggapan golongan itu benar?

Ahli Jawatankuasa Lajnah Ekonomi, Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh, Hjh Fatimah Bt.Awang berkata, situasi yang kita lihat di dalam pemilihan pucuk pimpinan parti tersebut menunjukkan bahawa setiap calon yang dicalonkan bersikap ‘bermuhasabah diri’ mereka masing-masing samaada layak atau tidak daripada memegang sesuatu jawatan itu.

Malah beliau juga menolak sesetengah pendapat yang mengatakan mutakhir ini, PAS ketandusan pemimpin. Ini memandangkan PAS mengamalkan sifat bencikan hubburiasah (cintakan jawatan) di dalam dakwah mereka. Tambahan lagi, PAS kini dibanjiri oleh ramai golongan-golongan intelektual dalam mewarnai pimpinan PAS ang akan datang.

Malah sikap ‘tolak-menolak’jawatan pernah berlaku dikalangan sahabat Rasulullah S.A.W. sewaktu memilih Khalifah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.. Abu Bakar r.a.h. pernah berkhutbah setelah dilantik menjadi Khalifah, yang bermaksud:

“Wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimin kamu, dan saya bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu, sekiranya saya melakukan kebaikan maka tolonglah saya, dan sekiranya saya melakukan kejahatan perbetulkanlah saya, benar adalah amanah, bohong adalah khianat (jangan mengampu)”.

Namun begitu, saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai kerenah pimpinan bawahan PAS di sesetengah kawasan. Ini memandangkan sudah wujud ‘iklim’ di mana ‘tarik-menarik’ jawatan ‘bercambah’ dalam kepimpinan bawahan PAS. Fenomena ini berlaku terutamanya kepimpinan yang baru menjinakkan diri dalam politik.

Jadi saya berharap agar kepimpinan atasan PAS yang baru terpilih di peringkat kawasan atau pada Muktamar PAS ke-51 nanti agar ‘betulkan’ kembali barisan PAS di kawasan-kawasan tersebut. Saya juga mensyorkan agar barisan kepimpinan PAS yang akan dipilih nanti melakukan ‘post-mortem’ terhadap barisan kepimpinan bawahan sewaktu pemilihan jawatan pada peringkat kawasan dilakukan. Ini untuk menjamin saf kepimpinan PAS akan terus ‘sihat’ untuk jangkamasa yang panjang.

Sekian.

Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
 - 26.05.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: