Pemikiran Bangsa Umno Kelantan terhadap Pas
Oleh Amirulreza  - Laman M@RHAEN

Assalamualaikum w.b.t.

Rasanya sudah setahun saya tidak balik ke tanah keturunan saya. Namun seperti yang saya jangkakan kaum keturunan saya di Bachok makin angkuh dengan prestasi Umno di Kelantan yang hampir-hampir menumbangkan Kerajaan PAS di Kelantan. Masih teringat lagi ketika suasana hangat dengan PRU ke-11, poster Tok Guru Nik Aziz yang ditampal di dalam rumah saya tiba-tiba jatuh dan mereka dikatakan memijak poster itu sebelum sempat ibu saya membetulkannya semula.

Untuk pengetahuan umum, kebanyakan keturunan saya merupakan antara orang yang ‘ahli’ dalam ilmu agama. Namun sayangnya, mereka itu masih dengan pemikiran zaman umno dahulu bahawa Umno adalah parti pembela bangsa. Melalui semangat inilah maka lahirlah Dato’ Mustafa Muhamad, anak jati Kg Badak, Bachok untuk mewarnai politik Umno di Kelantan khasnya dan Malaysia amnya.

Untuk berhujah dengan mereka ini bukannya mudah kerana mereka ini terkenal dengan sikap ‘keghah keng’ nya. Malah walau apa jua hujah bernas yang dikemukakan oleh pihak Pas pun pasti akan disampuk dengan ayat “Tak dok pekdoh mung sokongnya PAS nyo, Sikik lagih abih lah puok-puok mung dale DUN Kelate”. Maka benarlah firman Allah yang bermaksud,

“Berkatalah al-Malak (pemimpin-pemimpin) yang sombong dikalangan kaumnya. Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikutnya dari negeri kami atau kamu kembali semula kepada agama kami. Nabi Syuaib menjawab: Adakah kamu hendak melakukan juga sekalian kami tidak menyukainya?” (Al-A’raf:88)
Ini merupakan suatu ‘slot’ yang dapat saya perhatikan dikalangan keturunan saya yang kuat Umno, bagaimana pula dengan tempat-tempat lain ? Yang pasti, puak-puak Umno begitu ‘bernafsu’ untuk merampas Kelantan dari PAS. Malah pelbagai program tengah rancak dijalankan untuk mempengaruhi anak-anak muda untuk mengganggotai Umno. Ini memandangkan puak-puak Umno tahu, golongan muda senang ditarik melalui hiburan yang melampau serta melalaikan, sedangkan golongan dewasa agak susah untuk dipengaruh melainkan ‘mata duitan’.

Sepanjang ‘percutian’ saya di Penang dan Kuala Lumpur baru-baru ini, pelbagai senario dapat saya saksikan. Sekiranya anda bertanya tentang ‘ketidakstabilan’ Malaysia di bawah Umno mutakhir ini terhadap penduduk-penduduk di Penang atau Kelantan, hampir 70% yang saya tanya, mengeluh dan bosan dengan kerenah Umno dalam menentukan dasar dalam pemerintahan Malaysia. Ini dikuatkan lagi dengan kelemahan kementerian-kementerian dalam menyelesaikan masalah yang berbangkit sejak kebelakangan ini, seperti isu kenaikan minyak mutakhir ini yang kononnya untuk menghapuskan kes ‘curi minyak’.

Namun, jika ditanya adakah mereka akan berdiam diri terhadap ‘kebuasan’ Umno menetukan dasar? Rata-rata menjawab, mereka tiada pilihan melainkan terus menyokong Umno. Jika kita renung sejenak, pendirian ‘memejam mata terhadap penyelewengan pemimpin’ ini ada disebutkan di dalam al-quran yang bermaksud,

“Maka sepatutnya ada di kalangan umat-umat yang dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi, tetapi sayang ! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitikberatkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa. Dan tidak sekali-kali Tuhanmu hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri”. (Huud:116-117)
Jadi siapakah yang berada di pihak yang benar?

Sama-samalah kita semua memikirkan bagaimana untuk menarik majoriti rakyat Malaysia agar yakin dengan wadah hadharah islamiyyah yang sedang kita tegakkan di bumi Malaysia ini.

Sekian.

Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
 - 23.05.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: