![]()
Tiba Masanya Kerajaan Kelantan
Mempunyai Badan Pemantau Kesihatan Sendiri
Oleh Amirulreza - Laman M@RHAEN
Assalamualaikum w.b.t.Setelah banyak teori dan kritikan dihalakan ke muka kerajaan negeri Kelantan, kini saya rasa ada baiknya Kerajaan Kelantan mewujudkan badan sendiri untuk memantau segala kemungkinan yang akan berlaku di Negeri Kelantan. Ini memandangkan kementerian di bawah kerajaan pusat banyak menunjukkan sikap biasnya terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS.
Jika kita melihat situasi wabak kepialu yang sedang dialami oleh Kelantan, kerajaan negeri nampaknya dilihat seperti ‘orang yang menumpang’ di negeri sendiri. Walaupun kita akui pihak Kementerian Kesihatan mempunyai kepakaran untuk menangani segala wabak atau penyakit di Malaysia, tetapi, kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak mereka seolah-olah mahukan Kerajaan Kelantan bertindak sendiri. Kerajaan yang diperintah oleh PAS seolah-olah tidak boleh menggunakan Kementerian yang dimiliki oleh kerajaan pusat. Apabila mereka bertindak pun, mereka buat kerja sambil ‘merungut’. Ini terbukti apabila Kementerian Kesihatan mendakwa secara langsung melalui rancangan Manis FM bahawa kerajaan negeri bersifat lepas tangan dalam usaha memerangi penyakit demam kepialu.
“Kementerian Kesihatan hari ini membidas kerajaan Kelantan kerana bersikap lepas tangan dalam usaha memerangi penyakit demam kepailu yang melanda negeri itu sehingga mengorbankan dua nyawa manakala beratus-ratus lagi terpaksa dirawat dihospital.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Abdul Latiff Ahmad berkata sejak penyakit itu dikesan di negeri ini tidak ada seorang pun wakil kerajaan negeri termasuk para EXCO nya memanggil pegawai-pegawai kementerian bagi mencari jalan mengatasi masalah tersebut.” (Mingguan Malaysia, 23 April 2005)
Nampaknya Kerajaan Pas Kelantan perlu menubuhkan badan dibawah seliaan kerajaan negeri yang terdiri daripada ahli kimia, ahli farmasi, ahli biologi, bekas tenaga kerja jabatan tertentu di dalam jabatan kerajaan dan sebagainya untuk memantau setiap kawasan yang wujud di Kelantan. Malah badan itu pula perlu dihubungkan pula dengan setiap penghulu di seluruh Kelantan. Penghulu itu merangkumi penghulu lelaki, penghulu tanpa mukim( Penghulu wanita dan Penghulu bukan islam).Yang penting badan itu tidak bias terhadap kerajaan pusat.
Skop pemantauan badan itu pula merangkumi
1) Tahap BOD (Biological Oxygen Demand), COD(Chemical Oxygen Demand) dan TOC(Theoritical Oxygen Demand) bagi setiap sumber air di loji kumbahan atau pembekalan air di Kelantan.
“Badan itu akan mengambil sampel air di sesebuah loji itu setiap sebulan sekali bagi melihat tahap BOD atau TOC. Sekiranya berada dalam keadaan tidak memuaskan badan itu akan bentangkannya kepada kerajaan negeri untuk membuat tindakan.”2) Badan itu akan memantau tahap makanan di Kelantan dari semasa ke semasa dengan kerjasama penghulu dan sebagainya.
3) Badan itu akan mempunyai aduan secara online oleh pihak penghulu.Orang ramai yang mempunyai masalah boleh mengadu kepada penghulu untuk diadukan secara online kepada badan itu. Ini bagi mengelakkan aduan palsu oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
4) Badan itu juga boleh mengesyorkan kepada kerajaan negeri tentang tindakan yang efektif untuk menangani sesuatu isu yang berbangkit.
5) Badan ini mempunyai hubungan dengan jabatan kerajaan(seperti Jabatan Kesihatan Kelantan) untuk memastikan keadaan kesihatan di negeri Kelantan berada dalam keadaan baik.
6) Badan itu juga mempunyai tugas untuk mengenalpasti kawasan-kawasan tertentu yang disyaki mempunyai wabak (apabila sesuatu wabak menular) untuk membolehkan kerajaan negeri membataskan aktiviti sesebuah kawasan yang disyaki itu.
7) Badan itu pula diberi kelulusan oleh kerajaan negeri untuk memasuki premis,loji atau sebagainya bagi membolehkan mereka melakukan kajian dan pemantauan. Ini bagi mengelakkan badan itu bekerja dalam ruangan yang terbatas.
Badan ini diwujudkan bukan untuk mengambil alih fungsi sesebuah kementerian terhadap kerajaan negeri Kelantan, namun ia ditubuhkan untuk membolehkan kerajaan negeri Kelantan mempunyai siasatan sendiri seterusnya mempunyai data-data penting mengenai tahap kesihatan di negeri Kelantan. Seandainya pihak kementerian cuba ‘jual mahal’ untuk memberikan kerjasama berikutan pengaruh kerajaan pusat, kerajaan negeri tidaklah ‘meraba-raba’ untuk bertindak mana yang perlu untuk kesejahteraan penduduk Kelantan.
Selain itu, saya juga tertarik dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Takiyuddin Hassan bahawa Kerajaan negeri Kelantan mengakui kelemahan dalam memastikan aspek kebersihan terutamanya berhubung pelaksanaan undang-undang dengan bersikap terlalu berlembut daripada segi penguatkuasaan.
Pada saya, kelemahan yang dipunyai oleh kerajaan negeri itu berikutan putusnya hubungan maklumat antara sesuatu jabatan dibawah kerajaan pusat dengan kerajaan negeri. Seandainya masalah wabak ini dihadapi oleh kerajaan selain Pas, pasti jabatan serta kementerian berkenaan akan memberi kerjasama yang sepenuhnya terhadap kerajaan negeri berkenaan untuk memerangi wabak kepialu tersebut.
Walau apapun yang berlaku, dari segi pelaksanaan undang-undang, kerajaan Kelantan perlu melakukan seperti apa yang di sarankan oleh Takiyudin kepada Bernama pada 24 April lalu iaitu,
"Tetapi selepas ini kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan paling tegas sekiranya pemilik premis masih mengabaikan aspek kebersihan," katanya.
Sudah tiba masanya Kerajaan Kelantan melakukan tindakan drastik seperti membatalkan lesen pemilik premis makanan dan minuman yang didapati kotor. Diharapkan tiada lagi suara-suara sumbang dari pihak pembangkang negeri Kelantan yang akan mendakwa Kerajaan Pas Kelantan bersifat ‘zalim’ terhadap premis makanan dan sebagainya.
Akhir qalam, saya rasakan bahawa Kerajaan Pas Kelantan sudah mendapat ‘iktibar’ dari apa yang berlaku terhadap rakyat Kelantan. Selain badan pemantau kesihatan, fungsi yang mirip dengan badan ini juga dapat diwujudkan untuk skop alam sekitar dan sebagainya. Kita bukan menentang, tetapi kita mewujudkan alternatif untuk kerajaan negeri Kelantan seandainya sesebuah kementerian ‘bertindak liar’ untuk bekerjasama disebabkan ‘arahan kerajaan pusat’.
Sekian.
Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
- 25.04.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)