Siaran Langsung Sidang Parlimen:Teruskan Tuntutan
Kiriman Setiausaha Angkatan Masyarakat Madan - Laman M@RHAEN

Pimpinan pembangkang dan seluruh rakyat perlulah meneruskan usaha dalam mendesak pihak kerajaan untuk menyiarkan sidang Parlimen secara langsung menerusi saluran media elektronik arus perdana milik kerajaan. Meskipun sebelum ini tuntutan tersebut pernah disuarakan dan didesakkan oleh pemimpin pembangkang namun desakan tersebut tidak diterima oleh pemerintah berikutan kononnya kos menyiarkan sidang tersebut secara langsung adalah terlalu tinggi.

Sebagai sebuah negara yang mengakui menjalankan sistem pemerintahan bercorak demokrasi adalah wajib dan perlu bagi kerajaan untuk memenuhi tuntutan tersebut memandangkan ianya akan menggambarkan sejauh ana ketelusan pihak kerajaan dalam menjalankan pentadbiran negara ini.

Alasan untuk menyiarkan sidang tersebut secara langsung yang dikatakan terlalu tinggi bukanlah satu alasan yang kukuh bagi kerajaan untuk menafikan kehendak sebilangan besar rakyat memandangkan banyak lagi pembaziran yang telah dan kini sedang dilakukan oleh kerajaan. Mengapa kerajaan sanggup membazirkan wang rakyat jutaan malah berbilion ringgit dengan projek-projek atau program yang membazir sedangkan wang tersebut boleh digunakan oleh mereka untuk menyiarkan sidang Parlimen secara langsung?

Pihak kerajaan mungkin juga boleh meminta mana-mana pihak terutamanya syarikat-syarikat besar untuk menaja program siaran langsung tersebut. Kita yakin ada dari kalangan syarikat-syarikat penaja tersebut sanggup untuk menjadi penaja rancangan tersebut memandangkan selama ini pun banyak syarikat yang sanggup berbelanja besar untuk menaja pelbagai acara anjuran kerajaan seperti Le Tour De Langkawi, Formula 1, Siaran Langsung Bola Sepak Liga Super dan banyak lagi. Mengapa Kementerian Penerangan tidak sanggup untuk berbuat demikian dalam memastikan ada penaja untuk menaja siaran langsung sidang Parlimen. Ini sekaligus akan menambahkan lagi pendapat kepada negara.

Rasionalnya jika difikirkan siaran langsung sidang tersebut hakikatnya boleh diadakan memandangkan sidang Parlimen bukanlah dijalankan sepanjang tahun bahkan dilangsungkan secara berkala. Melalui siaran langsung ini juga akan membuktikan kepada dunia bahawa kerajaan benar-benar menjalankan pentadbiran secara telus, bebas dan terbuka serta adil lantas akan menjadi faktor penarik kepada pelabur asing yang terpikat untuk melabur ke Malaysia kesan pelaksanaan sistem demokrasi yang sebenar.

Apapun kita masih mengharapkan agar pemimpin pembangkang baik dari kalangan DAP yang kini menguasai Parlimen ketika ini begitu juga Keadilan dan pimpinan muka baru PAS akan terus mendesak kepada pihak kerajaan untuk memastikan hasrat menontonkan sidang Parlimen di hadapan mata 20 juta lebih rakyat di negara ini menjadi kenyataan. Jangan biarkan tuntutan yang selama ini amat dituntut hanya menjadi suatu suara yang terbiar dek peredaran zaman. Pastikan perkara ini dilaksanakan demi membina sebuah negara yang bebas, adil dan telus.

Setiausaha
Angkatan Masyarakat Madani (AMAM)
Bekas penuntut UPM –Institusi terulung negara. - 15.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: