Tindakan Merobohkan Masjid Dan Rumah Zalim
Kiriman Setiausaha Angkatan Masyarakat Madan - Laman M@RHAEN

Tindakan merobohkan rumah rakyat lebih-lebih lagi masjid yang hampir 70 peratus siap di Kemaman, Terengganu membuktikan betapa zalimnya kerajaan UMNO-Barisan Nasional. Demi dendam politik mereka terhadap bekas kerajaan negeri Terengganu yang dipimpin oleh PAS, mereka sanggup menjadikan rakyat di negeri tersebut sebagai mangsa.

Tindakan zalim tersebut dilihat sebagai salah satu usaha menghapuskan dan menafikan segala sumbangan dan usaha kerajaan PAS selama ini ketika memerintah Terengganu yang dilakukan oleh UMNO-BN yang telah berjaya menguasai kembali negeri tersebut melalui penyelewengan dalam Pilihan Raya Umum ke-11 yang lalu.

Adalah menjadi suatu perkara yang sangat zalim bagi sesebuah kerajaan untuk merobohkan rumah dan tempat ibadah (masjid) masyarakat dengan sewenang-wenangnya. Mengapa di kawasan tersebut yang menjadi tumpuan utama kerajaan UMNO-BN untuk merobohkan petempatan dan masjid tersebut sedangkan di negeri-negeri yang lain termasuk Kuala Lumpur dan Selangor masih banyak isu petempatan setinggan yang gagal diselesai oleh pihak kerajaan.

Kerajaan UMNO-BN tidak sepatutnya mengganggu petempatan dan masjid tersebut lebih-lebih lagi setelah mereka mendapat ‘mandat’ yang besar daripada rakyat Terengganu. Mereka seharusnya memfokuskan bagaimana usaha untuk memikat hati rakyat di negeri tersebut tetapi sebalik tindakan yang mereka lakukan itu benar-benar mahu menyerahkan kembali pemerintahan Terengganu kepada PAS semula.

Sikap dan perbuatan yang terlalu zalim ini perlu dilihat dan diambil iktibar oleh seluruh rakyat di negara ini terutamanya rakyat di Kelantan dan Terengganu agar dalam pilihan raya yang akan datang mereka akan bersama-sama berganding bahu dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi untuk mengundi PAS dan BA sekali gus menumbangkan UMNO-BN secara totalnya.

Bersimpati dengan nasib rakyat Terengganu
Cubit peha kanan peha kiri terasa.

Setiausaha
Angkatan Masyarakat Madani (AMAM)
Bekas penuntut UPM –Institusi terulung negara. - 26.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: