Desakan Letak Jawatan NC UPM:
Satu Lagi Bukti Campur Tangan Politik
Kiriman Setiausaha Angkatan Masyarakat Madan - Laman M@RHAEN

Isu desakan peletakan jawatan Naib Cancelor UPM, Dato’ Dr. Ir. Muhammad Zohadie Bardaie oleh Lembaga Pengarah universiti itu adalah merupakan satu lagi usaha campur tangan politik pihak tertentu yang cuba diserapkan ke seluruh institusi pengajian tinggi di negara ini.

Isu pemecatan ini ditimbulkan setelah desakan Lembaga Pengarah UPM yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Zainul Ariff Hussein mendesak agar Naib Cancelor tersebut melepaskan jawatan kedua tertinggi itu atas alasan kononnya memorandum bantahan yang dibuat oleh Zohadie kepada Kementerian Pengajian Tinggi serta bacaan pantun yang didakwa terdapat unsur yang menyindir Menteri berkenaan.

Difahamkan tindakan bantahan yang dilakukan oleh Naib Cancelor berkenaan adalah disebabkan beliau berasa tidak berpuas hati dengan tindakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh yang bercadang untuk memindahkan program Kejuruteraan Aeroangkasa dari UPM ke UKM.

Tindakan tersebut bukan sahaja membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap Zohadie secara peribadi malahan juga daripada kebanyakan pensyarah, kakitangan dan para penuntut universiti berkenaan.

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Lembaga Pengarah tidak seharusnya mencampuri urusan pentadbiran universiti kerana sekiranya perbuatan ini dilakukan maka rakyat kini dapat melihat betapa hal yang berkaitan dengan urusan pentadbiran kini boleh dipolitik melalui tindakan pemanipulasian pihak tertentu.

Universiti dan mana-mana pusat pengajian tinggi yang lain perlulah diberi kuasa autonomi dalam menentukan segala dasar dan halu tuju masing-masing. Tindakan memindahkan program-program atau bidang pengajian di sesebuah institusi ke institusi yang lain boleh menjejaskan matlamat dan hala tuju asal sesuatu universiti.

Adalah menjadi harapan sekalian rakyat agar institusi pengajian tinggi awam dan swasta tidak dijadikan gelanggang agenda politik mana-mana pihak yang cuba memanipulasikan badan berkenaan. Kementerian dan Lembaga Pengarah UPM harus menghentikan permainan politik sempit mereka agar tidak ada pihak yang akan menanggung kerugian akibat tindakan yang tidak rasional oleh kedua-dua pihak berkenaan.

Setiausaha
Angkatan Masyarakat Madani (AMAM)
Bekas penuntut UPM –Institusi terulung negara. - 13.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: