PAS DAN UMNO DUA-DUA TIDAK IKHLAS

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

ISU Pas dan Umno hendak bermuzakarah tidak pernah lengsai. Isu ini tidak ada titik akhir. Isu ini bergema sejak tahun 1982 lagi. Malahan ketika itu persiapan sudah ke peringkat akhir. Muzakarah alias perdebatan itu akan dilangusngkan secara langsung menerusi televsyen Malaysia (RTM).

Kalau tidak salah ingatan saya, ahli penal yang dikemukakan oleh parti masing-masing, Haji Abdul Hadi Awang, Harun Taib (seorang lagi lupa), disebelah Pas, sementara Ibrahim Azmi (dua lagi lupa) di sebelah Umno.

Bagaimana pun ura-ura yang dilihat sejak awal-awal sebagai satu gimik itu dibatalkan kononnya di atas nasihat Yang Dipertua Agong.

Selepas itu isu berkenaan pun diam. Sehinggalah ia menjadi tenggelam timbul. Paling dominan semula ketika bapa Marina menjadi PM, sekali lagi isu tersebut telah timbul semula atas nama baru dan berbagai nama lain lagi. Untuk perpaduan Melayulah dan macam-macamn lagi. Dua kali rungingan dilakukan di antara pegawai kedua parti itu. Sempat juga pegawai kedua parti berkenaan minum dan makan bersama.

Akhirnya ura-ura yang lebih merupakan gimik politik itu, juga menemui kegagalan. Masing-masing saling tuding menuding jari menyalahkan di antara satu sama lain selepas itu. Kedua tidak mahu mengakui kelemahan masing-masing, dan cuba menegakkan benang basah untuk meraih sokongan rakyat.

Selepas itu, isu muzakarah atau perbincangan alias perdebatan itu diam. Walaupun ada cadangan dari publik yang mahukan keduanya duduk semeja, namun respons dari kedua belah pihak hambar sahaja. Pas sebelum pilihan raya umum 2004 nampak begitu angkuh untuk mengadakan perbincangan kerana begitu yakin akan menang besar di dalam pilihan raya umum 2004 itu. Indikator mereka ialah kepada pencapaian pada pilihan raya 1999 di mana parti itu berjaya merampas Terengganu dan menambah beberapa kerusi di beberapa negeri lain.

Walaupun ketika itu cadangan publik sudah mendapat reaksi baik daripada pihak Umno khasnya Abdullah Badawi al-Hadhari sendiri, namun Pas tidak cuba menunjukkan sikap positif ke arah itu dengan mengutus surat atau sebagainya. Pas ketika itu lebih terdodoi dengan impian indahnya terhadap pilihan raya lepas. Inilah satu kesilapan bagi Pas kerana terlalu yakin dengan keadaan, akhirnya terlepas dari menggunakan ruang untuk mendekati Umno. Semuanya pengajaran.

Mungkin surat tujuan itu (untuk bermuzakarah) dihantar oleh Pas selepas pilihan raya. Selepas Pas kalah teruk dan kehilangan kerajaan yang mengandungi kerajaan di langit (Terengganu). Perkara ini boleh disahkan, apabila Presiden Pas Abdul Hadi Awang mengesahkan pihaknya sudah menghantar surat untuk berbincang dengan Umno. Menurutnya seperti mana disebut dalam kenyataan akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas awal bulan lalu, Umno sudah pun membalas mengatakan pihaknya menerima surat tersebut.

Kita orang Melayu mendoakan agar kedua parti itu dapat duduk semeja. Banyak untung dan manfaatnya. Duduk semeja bukan bermakna kena bergabung seperti mana tahun 1972 dahulu menerusi BN, tidak. Pas tetap Pas seperti hari ini, dan Umno tetap seperti Umno serupa hari ini, menjadi tunggak dan wadah orang Melayu. Bersama maksudnya duduk berbincang memikirkan mengenai kepentingan dan masa depan Melayu.

Ada beberapa hal yang menghambat orang Melayu waktu ini yang wajar diberikan perhatian serius. soal-soal ini makin parah kalau semua  pihak tidak mengambil tanggungjawab, memberi idea apa lagi kalau asyik memikirkan agenda politik sepihak sahaja.

Antara perkara itu termasuklah isu-isu mengenai masalah sosial yang melibatkan belia, keciciran anak-anak dalam pendidikan ke IPTA, masalah ketiadaan wang biasiswa bagi meneruskan pembelajaran, masalah ekonomi dan sebagainya.

Isu ini memerlukan penanganan oleh semua pihak dan bukan boleh diserahkan kepada satu pihak sahaja. Walaupun Umno merupakan tulang belakang kepada BN ia tetap memerlukan sokongan daripada Pas dalam memperjuangkan Melayu itu. Ingat kepada pepatah orang tua-tua, bersatu teguh bercerai roboh.

Iktibar atau pengajaran dalam hal ini boleh diceduk daripada politik orang Cina. Walaupun mereka berbeza pendapat dalam politik tetapi ada kalanya mereka sepakat dalam isu-isu kepentingan mereka. Tidak salah kalau kita mempelajari kewarasan dan kebijaksanaan ini daripada Cina.

Mungkin timbul persoalan kepada kita kenapa ura-ura untuk berbincang secara formal itu tidak pernah jadi. Kita yang lama menunggu rasa kecewa. Bagi orang politik senang untuk mencari di mana salah dan puncanya. Namun rakyat biasa mereka tergaru-garu dan merasa ganjil dan mengilankan.

Jawab kepada masalah ini cukup senang bagi saya. Sebabnya kedua-dua pihak baik Pas dan Umno tidak ikhlas untuk berbincang. Setiap kali kedua pihak menyuarakannya, ia adalah seperti ajak-ajak ayam sahaja untuk tidak dikatakan sebagai tidak peka kepada masalah itu.

Tahu macam mana ajak-ajak ayam. Biasanya ayam jantan akan mengais-ngais pasir atau sampah dan mematuk-matuk, kononnya ada makanan. Cara itu untuk menarik perhatian ayam betina. Apabila ayam betina menghampirinya, (termasuk budak ayam) bukan makanan yang diberikan, sebaliknya ayam jantan itu akan menerkamnya dan menaik ke atas belakang ayam betina itu.

Situasi itulah juga yang berlaku di antara kedua pihak dalam hal ini. Mereka juga saling menggunakan alasan untuk menggagalkannya bukan mencari helah demi menjayakannya. Mereka tidak ikhlas sebenarnya. Misalannya paling baru, Pas menyatakan kesediaan hasratnya untuk berunding dengan Umno. Apa kata di belah Umno, Tan Sri Muhyuddin Yaasin (Naib Presiden ke 3) memberi syarat, Pas harus menerima konsep Islam Hadhari terlebih dahulu.

Kenyataan Muhyuddin itu dibalas pula oleh Nasaruddin Mat Isa (Timbalan Presiden), yang menganggap syarat itu tidak masuk akal. Nasaruddin berhelah, perkara itu tidak perlu ditimbulkan sebelum diadakan perbincangan. Jadi jelas, kepada kenyataan balas membalas ini menggambarkan kedua pihak tidak ikhlas untuk berbincang dan lebih enak menyalah di antara satu sama lain.

Sepatutnya kalau Umno ikhlas, dia tidak perlu mengenakan syarat. Begitu kalau Pas ikhlas dia tidak perlu takutkan kepada syarat yang dikemukakan oleh Umno itu. Tetapi kerana kedua-duanya bersifat ajak-ajak ayam, maka menyebabkan kedua-duanya berwaspada yang menyebabkan natijahnya awal tadi untuk berbincang tidak akan terjadi.

Tunggulah sampai kucing tumbuh tanduk pun Umno dan Pas tidak akan dapat duduk semeja. Hanya satu keadaan sahaja yang memungkin kedua parti Melayu dan Islam ini dapat duduk sekali apabila timbul satu keadaan di mana Melayu di dalam kecemasan dan lemas. Apakah kita semua perlu mewujudkan keadaan itu? Mencurah air di tempayan kerana mendengarkan guruh di langit adalah kerja bodoh. Membakar rumah yang sedia ada kerana mengharapkan rumah baru (gantian kerajaan) perbuatan sia-sia.

Pokoknya Umno dan Pas tidak ikhlas dalam soal ini. - Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 17.08.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN