![]()
BUKAN MELAYU GLOKAL, TETAPI MELAYU GURKHA
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)Perhimpunan Umno yang berlangsung selama lima hari pada setiap tahun tidak pernah mengecewakan mereka yang gila bahasa dan suka mendengar istilah-istilah baru. Ada-ada sahaja istilah dan pengucapan yang akan dimunculkan menerusi perhimpunan berkenaan.
Kalau tidak daripada presiden, ia datang daripada para perwakilan khasnya yang menjadi jurucakap-jurucakap Umno negeri. Segala istilah dan bahasa itu dilahirkan untuk menarik perhatian. Adakalanya istilah hebat tetapi jika direnungi isinya tidak ada apa-apa benda pun.
Di dalam perhimpunan Umno ke-56 lalu, ada dua ungkapan dan juga istilah baru yang menjadi sebutan. Kedua-dua isitlah inilah yang menjadi souveniar kepada perwakilan. Dalam sebulan dua ini dua isitlah inilah yang akan dicanang ke serata tempat bagi menunjukkan kehebatan pemimpin mereka.
Tidak mustahil juga Umno akan menganjurkan kursus-kurus dan seminar untuk membincang istilah yang dilontarkan oleh pemimpin mereka itu. Selalunya begitulah Umno, wang rakyat dan kerajaan dihabiskan hanya untuk membahas dan membincang soal istilah dan juga pengertian mengenai sesuatu idea yang diberikan oleh pemimpin mereka.
Lihat bagaimana Umno menggunakan wang kerajaan untuk menerangkan istilah Islam Hadhari kepada orang ramai termasuk para pegawai kerajaan. Kerja itu sedikit pun tidak memberi hasil kepada negara. Islam Hadhari tidak perlu dijelaskan lagi kerana konsep dan juga pendekatannya adalah apa yang dikandung oleh Islam. Hadhari hanyalah pakej baru kepada Islam yang menjadi anutan dan ajaran Umno selama ini.
Apabila orang Melayu merasa Islam anjuran Umno banyak bertentangan dengan syariah dan aqidah serta mengelirukan, maka dilakukan pembetulan. Untuk membetulkan itu, maka dicarilah satu istilah Arab yang jarang didengar orang sebelum ini, iaitu Hadhari. Walhal penggunaan istilah itu pun kalau mengikut terminologi bahasa Arab, ia songsang dan sesat. Dihebohlan kononnya negara-negara Arab dan Barat juga sangat menyetujui konsep Islam Hadhari itu.
Dua istilah yang dicipta pada perhimpunan lalu ialah “Agenda Melayu” ianya diperkenalkan sendiri oleh presidennya Abdullah Badawi al-Hadhari. Sebenarnya istilah atau pengucapan ini merupakan perulangan yang sudah entah keberapa diucapkan di perhimpunan agung Umno. Di dalam ucapan pada perhimpunan Umno lepas presiden Umno Abdullah Badawi al-Hadhari menimbulkan balik istilah berkenaan.
Barang kali kerana sudah tidak ada apa yang hendak diucapkan (nak cerita ekonomi, ekonomi teruk, nak cerita pembangunan, pembangunan tak ada), jadi ditimbullah pengucapan demikian. Harapannya para perwakilan dan suku sakat Umno akan melupai isu-isu yang membelit kehidupan mereka waktu kini.
Itulah taktik dan strategi mereka untuk mengalihkan isu.
Jelas kalau dilihat, banyak isu nasional semasa yang menyangkut hidup mati rakyat tidak ditimbulkan secara bersungguh-sungguh di dalam perhimpunan berkenaan. Soal penyelewengan AP walaupun ditimbul namun tidak ada tindakan diambil seperti mana kehendak ahli Umno sendiri. Rafidah Aziz tetap juga tercokol di situ dan meneruskan kerja-kerja yang menyebakkan orang ramai itu.
Isu minyak petrol naik dua tiga kali setahun juga sedikit pun tidak disentuh. Isu keciciran 120,000 anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan ke IPTA/IPTS disebabkan kekurangan tempat dan tidak ada penaja tidak dibahas dan mendapat keputusan yang menyakinkan. Najib hanya sekadar menjanjikan untuk menambahkan penuntut di UITM sebanyak 100,000 lagi dalam jangka 10 tahun.
Begitu juga isu sosial, penagihan dadah di kalangan orang Melayu tidak ada siapa berminat untuk menyentuhnya. Isu-isu itu penting tetapi disinggung sambil lewa sahaja untuk tidak dikatakan tidak peduli langsung.
Selain daripada pengucapan yang ditimbulkan oleh Abdullah, istilah lain yang lahir pada perhimpunan agung kali ini ialah Glokal. Istilah ini dibawa oleh Timbalan Presiden Umno anak Razak Husein. Memang Najib terkenal dengan pencipta istilah dan banyak istilah lahir dari ucapannya. (Idea kurang).
Sewaktu merasmikan perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Najib mencipta istilah Glokal itu. Terbeliak mata dan terkehel tengkuk makcik-makcik Umno hendak menyebut istilah berkenaan. Mereka juga terheran-heran untuk memahami istilah berkenaan. Ada yang mulanya ingatkan Najib tersalah sebut, nak sebut seloka jadi glokal!
Glokal ialah gabungan dari dua perkataan Inggeris – global dan local. Maknanya bersifat menyeluruh dan bersifat kadaerahan. Menurut Najib dia mahu orang Melayu (biarlah Melayu Umno sahaja) menjadi terkenal, cemerlang dan terbilang selain daripada di peringkat kampung (negara) tetapi di seluruh dunia, barangkali termasuk juga di peringkat angkasa atau planet.
Memanglah kalau hasrat itu menjadi kenyataan ia sesuatu yang hebat. Sesiapa pun mahu kalau Melayu menjadi terkenal di peringkat dunia. Buka gerai pisang goreng di New York, kedai cendol di Las Vegas, jual durian longgok di Tokyo ataupun jual kain lambak di Down Street London. Tetapi persoalannya bolehkah angan-angan Najib itu menjadi kenyataan?
Nampaknya Najib bercakap mengikut sedap mulut sahaja. Untuk mengeluar dan mencipta istilah itu memang sangat mudah. Buka mulut dan putar anak lidah sahaja, maka keluarlah istilah itu. Tetapi hakikatnya bukan begitu. Jika dilihat kepada diri Umno hari ini usahkan peringkat global, tetapi peringkat local pun mereka masih belum boleh berjaya lagi.
Duhai Najib usahlah fikir dunia, fikir soal Malaysia pun cukup. Itupun Umno sudah tidak mampu untuk melakukannya. Cubalah renung ke dalam diri Umno apa yang berlaku sekarang ini. Apa sudah jadi dengan kerajaan BN yang Umno menjadi tulang punggungnya?
Umno dan kerajaan hari ini penuh dengan rasuah. Politik wang di dalam Umno masih belum dihapuskan dan sedang membarah. Tindakan ke atas Mohd Isa Samad dan beberapa orang ketua bahagian Umno hanya satu tindakan untuk mengambil hati orang ramai sahaja. Umno sendiri gerun dan takut untuk bertindak tegas kerana kalau ia benar-benar tegas mungkin hampir separuh pemimpin Umno (ahli MT) terpaksa melepaskan jawatan mereka.
Najib sendiri pun kalau diselidiki, banyak keburukan dan kebusukan di sekeliling kehidupannya. Jadi kalau diri sendiri berkabut dengan noda dan dosa bagaimana hendak bercakap pasal orang lain. Seribu kali cakap pun orang tidak akan dengar.
Begitu juga dengan kerajaan. Tengoklah akhlak para pemimpin Umno sebaik-baik. Itu, Osu Sukam, bekas Ketua Menteri Sabah apa dah jadi dengannya. Berhutang dengan kasino sebanyak RM7.1 juta. Itu hutang, entah banyak mana wang yang dihabiskan di meja kasino sebelum ini. Bayangkan kalau wang sebanyak itu digunakan untuk faedah rakyat, tentu ribuan rakyat yang akan senang.
Siapa Osu Sukam? Bolehkah Umno hendak menafikan yang dia bukan pemimpin Umno? Ada orang mengatakan itu bukan menunjukkan kesalahan kerajaan Umno atau BN kerana itu soal peribadi. Tetapi kita kena sedar dan ingat Osu adalah pemimpin yang lahir dari rahim Umno. Janganlah hendak berdalih di dalam hal ini. Jahat kena kata jahat.
Berdasarkan kepada hakikat dan realiti itu, harapan Najib untuk menjadikan Melayu Umno sebagai Melayu glokal hanya angan-angan sahaja. Lebih teruk daripada angan-angan Mat Jenin. Justeru pada saya, apa yang layak bagi ahli Umno ialah bukan menjadi Melayu glokal, tetapi cukuplah menjadi Melayu gurkha.
Benarlah seperti mana kata Tengku Razaleigh Hamzah sewaktu beliau hendak menyertai semula Umno dulu. Katanya kalau dia menjadi gurkha pun sudah tidak mengapa. Nampaknya Ku Li berpandangan lebih jauh dan bijak daripada Najib. Ku Li sudah tahu sejauh mana tahap orang Melayu maka beliau tidak berangan jauh selain menjadi gurkha. Mulai saat ini jam 7.55 malam saya lantik Ku Li menjadi Ketua Melayu Gurkha dengan timbalanya Najib bin Razak Bin Hussein. - Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 27.07.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN