SYED RAZAK MAHU SYAHID DI KERUSI...!

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Sudah tiga malam berturut-turut (14 hingga 16) TV3 menyiarkan interview eksklusif dengan MB Kedah Syed Razak Syed Zain. Interview yang disiarkan secara ‘jimat’ itu bagi menjelaskan kedudukan Syed Razak dan juga ‘salah faham’ MB itu dengan stesen televisyen berkenaan.

Syed Razak dikatakan tidak senang dengan cara TV3 melaporkan berita beliau sakit sebelum ini.

Dalam siri pertama, interview itu cuba menjelaskan bahawa Syed Razak dan TV3 tidak ada masalah. Kononnya mereka tidak mempunyai apa-apa konflik. Seperti mana akui Syed Razak dia tidak marah dengan TV3... sampai bersumpah bila mana wartawan televisyen itu menimbulkan persoalan demikian.

Adalah dipercayai Syed Razak marah kepada TV3 apabila terlalu ke hadapan di dalam membuat laporan dengan memaparkan bakal pengganti beliau ekoran berita beliau sakit dan terpaksa diterbangkan ke Singapura sebanyak dua kali.

Memang cara TV3 menyorot masalah kesihatan Syed Razak itu nampak sangat yang ianya tidak suka kepada MB itu dan mahukan seorang MB Kedah baru. Apa yang menyakitkan hati Syed Razak TV3 lengkap memaparkan nama-nama bakal penggantinya.

Di antara mereka disebut ialah Datuk Afifuddin Omar dan Mahatzir Khalid. Kedua nama ini memang munasabah dan ada logiknya, malahan  Afifuddin Omar dikatakan akan mengangkat sumpah selaku MB sebaik sahaja selesai pilihan raya umum lalu lagi.

Interview pada malam kedua, Syed Razak cuba menunjukkan yang beliau tidak sakit. Bahawa penyakit yang dihidapinya tidak menghalang tugasnya sebagainya MB. Dan sakit juga bukan alasan untuk dia berhenti meninggalkan rumah rasmi di Mentaloon.

Syed Razak menjelaskan, ramai pemimpin yang berhenti bukan kerana sakit tetapi kerana lain. Ada orang sihat pun berhenti, katanya. Syed Razak cuba membela dirinya sendiri. Walaupun dalam visual itu menunjukkan tangan kanannya sahaja bergerak sementara tangan kiri terkulai ke bawah, namun Syed Razak berdaya menunjukkan dia berkemampuan, sihat dan dapat menjalankan tugas.

Dalam interview malam ketiga pula, Syed Razak menjelaskan berhubung tuduhan dan tanggapan kononnya beliau enggan berhenti kerana beberapa projek melibatkan kroninya belum diluluskan lagi. Beliau menafikan tuduhan itu dengan mengatakan MB tidak ada projek (buat projek untuk dirinya).

Katanya beliau tidak dengar, dan apa yang beliau tengok dan tumpukan ialah untuk memajukan Kedah. Beliau cuba menunjukkan yang beliau tidak peduli kepada fitnah sebaliknya obses untuk memajukan Kedah. Bagus betui Tuan Syed kita ni...!

Daripada interview itu dapat disimpulkan bahawa Syed Razak tidak ada hasrat langsung untuk berhenti. Baginya sakit bukan menjadi masalah dan beliau bersedia menghadapi apa sahaja demi mengsukseskan agenda untuk memajukan Kedah – berslogankan Kedah Maju 2010. Wah... wah pemimpin berjiwa rakyatlah kononn....

Kita ucapkan terima kasih kepada Syed Razak kerana tabah dan teguh. Itulah sikap pemimpin tuleh tidak mudah mengalah dengan kelemahan fizikal dan tuduhan. Walaupun kena tolak dengan kereta sorong tetap berjuang untuk rakyat! Secara tidak langsung Syed Razak juga hendak buktikan bahawa masalah fizikal bukan penghalang kepada cita-cita seseorang.

Tetapi apa yang menjadi persoalannya, bolehkah dalam keadaan itu beliau berkhidmat kepada rakyat? Dengan kekurangan tenaga itu (kaki lemah dan tangan menggeletar) tentu ia tidak segagah dulu lagi. Apakah beliau mampu meneruskan khidmat di dalam keadaan begitu? Tidakkah keadaan itu merupakan satu penganiayaan kepadanya?

Kondisi Syed Razak kini tidak selari lagi dengan beban kerja yang semakin bertambah setiap hari. Jadi walaupun Syed Razak berniat ikhlas namun beliau kena ukur kepada kemampuan diri sendiri. Kata orang jangan menyeksa diri bib...! Bantu rakyat, bantu juga tetapi kalau sampai menyusahkan diri sendiri tidak ada ada guna juga. Tuhan juga marah kalau kita bersikap rajin dan ikhlas tidak bertempat.

Apakah beliau mahu syahid di meja di pejabatanya? Walahualam bis sawab.

Beliau sepatutnya kena menerima hakikat bahawa dia sudah tua dan sakit-sakit. Sudah tidak mampu dan mempunyai kekuatan lagi. Tetapi susahlah nak bercerita mengenai sikap dan perangai orang politik ini. Mereka bukan senang untuk berhenti begitu sahaja. Hal ini bukan sahaja berlaku ke atas Syed Razak tetapi ramai lagi ahli politik yang bernafsu kuat walaupun tenaga sudah berkurangan.

Banyak tokoh politik yang muka kereput, tengkuk gelendung, namun masih tidak sedar diri dan terus melekat di kerusi jawatan. Orang seperti Rafidah Aziz, Samy Vellu dan Lim Kheng Yik adalah menteri yang sudah tua dan sakit sebenarnya. Sudah berkeredut macam belulang kering. Namun begitu masih belum ada tanda-tanda yang mereka mahu berundur.

Alasan mereka ialah untuk berkhidmat dan membangun negara. Sebenarnya itu adalah alasan sahaja. Tetapi ada benda lain yang mereka enggan meletak jawatan. Di antaranya, kerana dengan jawatan mereka dapat mengumpul seberapa banyak harta untuk anak beranaknya.

Dan lebih penting lagi dengan jawatan juga mereka semacam dilindungi daripada dikenakan apa-apa tindakan di atas kebejakan dan kebajingan mereka. Mereka akan menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai topeng untuk mereka merompak dan menyamun khazanah negara. Itulah sebabnya.

Tengok apa yang menimpa Rafidah. Kalau bukan menteri, sudah lama dia akan meringkuk di dalam penjara. Setidak-tidak pertuduhan rasuah ke atasnya akan dibicarakan di mahkamah. Tetapi kerana beliau menteri, maka beliau dilindungkan. Kertas pertuduhan yang sudah ditanda tangani Peguam Negara pun ditarik balik. Dahsyat!

Dalam menghadapi dilema dan penyakit orang gila jawatan ini sepatutnya Presiden parti dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi Al Hadhari perlu berbuat sesuatu. Beliau tidak payah menunggu sampai orang-orang sakit itu mengemukakan surat perletakan jawatan kepadanya. Sebaliknya beliau (Abdullah) sendiri kena berani memecatnya kerana mereka bukan lagi aset tetapi liabiliti kepada negara.

Abdullah kena faham mengenai akan kuasa dan kedudukan ini. Itu orang sakit, oknum yang sudah bersara dan menangis kononnya tidak hendak jawatan itu pun kini sudah bertukar haluan dan menyesal mahukan semula jawatannya. Jadi selaku Perdana Menteri dan pemimpin Islam Hadhari, Abdullah harus bersikap tegas dan berpandangan jauh dan berani untuk memberhentikan mereka.

Rasanya Abdullah tidak akan mengalami apa-apa kerugian kalau beliau bertindak memecat menteri atau MB yang sakit itu. Malahan orang akan memuji beliau sebagai PM yang waras dan bukannya PM kepada menteri dan MB yang sakit!

Kalau beliau juga turut bersetuju dengan mereka yang sakit itu, maka Abdullah adalah seorang Perdana Menteri kepada menteri dan MB yang sakit dan lama-lama dia sendiri pula akan sakit.

(Maksud sakit itu termasuk yang rasuah, makan harta rakyat, mengkhianati bangsa dan juga mengaibkan orang lain kerana untuk mengekalkan kuasa!). - Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 14.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN