![]()
PAS HARUS WASPADA DENGAN MEDIA MASSA
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)Anjakan di dalam kepimpinan Pas pada Muktamar ke-51 lalu nampaknya telah mendapat reaksi baik dari media massa negara ini – termasuk media masa arus perdana yang selamanya tanpa berbelah bagi akan mencengkam sokongan kepada parti pemerintah.
Liputan meluas (melebihi satu muka surat – positif dan negatif) mengenai muktamar itu kemudian disusuli dengan wawancara eksklusif dengan para pemimpin Pas menggambarkan media masa berkenaan seperti kembali kepada landasan sebenarnya – mahu bebas, telus dan bersikap adil.
Kalau tidak salah pengamatan, hanya tiga orang pemimpin peringkat tertinggi (Naib Presiden) yang teralpa oleh media untuk memberi ruang dan interview khas dengan mereka; Muhamnad Sabu, Datuk Hassan Ali dan Azizah Kahtib Mat Ketua Dewan Muslimat. Ketua Pemuda sudah diwawancara oleh Utusan sebelum muktamar.
Entah kenapa tiga tokoh Pas ini, media arus perdana seperti tertinggal atau tidak dapat mengesan nombor telefon mereka untuk dihubungi.
Jika difahami, ia seperti disengajakan untuk melakukan asimilasi di antara pemimpin Pas bagi menampakkan jurang pemikiran dan juga status di antara mereka.
Pemimpin lain, bermula dari Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden Husam Musa diberi sorotan istimewa sekali.
Masing-masing mendapat liputan luas dalam akhbar arus perdana terbitan Utusan Melayu dan New Straits Times. Mereka diberi kebebasan untuk menjawab dan bercakap apa sahaja aspek khususnya mengenai hala tuju Pas pada masa akan datang. Seolah-olah kecemerlangan Pas pada masa akan datang terletak dalam genggaman mereka.
Interview dengan Abdul Hadi ialah dalam Mingguan Malaysia pada 12 Jun, Nik Aziz, Utusan Malaysia pada7 Jun, Husam dalam Utusan 9 Jun, sementara Nasharuddin dilihat sebagai paling istimewa bila mendapat ruang dan tempat dalam kedua akhbar (Utusan 11 dan Berita Mingguan 12 Jun). The Sun dan sebuah akhbar Cina juga turut memuatkan interview dengannya.
Dalam hal ini Setiausaha Agung baru itu mendapat fokus istimewa sekali yang ditonjolkan sebagai hero muda di dalam Pas yang akan menjadi arkitek perubahan. Kemunculan Nasharuddin dilukiskan sebagai pembawa wajah dan semangat baru seolah orang seperti Nasharuddin tidak pernah muncul sebelum ini. Secara tidak langsung Nasharuddin digambarkan sebagai tukang sihir.
Tentu ahli dan penyokong Pas gembira dan syok melihat wajah pemimpin mereka terpampang di dalam akhbar. Keadaan seperti itu sudah didahagai sejak berdekad lalu. Tiba-tiba wajah pemimpin mereka muncul dengan penuh optimistik begitu, tentulah ahli Pas merasakan sesuatu yang membanggakan – dahaga bertahun boleh hilang dengan hujan sehari.
Persoalannya apakah hakikat di sebalik peluang dan ruang yang diberikan itu seperti mana yang difikirkan ahli Pas? Sejauh manakah pendedahan dan layanan baik dan mesra media itu ia membawa kebaikan kepada Pas? Atau segala itu hanya umpan jinak di air tenang sahaja?
Rasanya ahli dan penyokong Pas hatta pemimpin berkenaan juga jangan mudah terpesona dengan layanan baik itu. Mereka sewajarnya berwaspada dan senantiasa kena ingat kepada sejarah dan tradisi/budaya akhbar berkenaan yang suka mengeksploitasikan sesuatu mengenai pembangkang demi parti dokongan mereka.
Bak kata orang, berbuat baik biarlah berpada-pada dan jahat jangan sekali. Betapa pun mereka menyatakan ketulusan atas prinsip kebebasan akhbar namun pemimpin Pas jangan mudah terasyik dengannya dan terlalu mempercayai untuk memberi kenyataan-kenyataan yang bersifat angan-angan.
Pada saya, saya tidak nampak akhbar berkenaan ikhlas dalam mengamalkan journalisme (semangat kewartawanan) terhadap pemimpin Pas. Media massa berkenaan tetap ada agendanya sendiri. Kehadiran wartawan itu bukan atas kehendak mereka secara peribadi melainkan ada ‘assignment’ yang diatur khusus dari ibu pejabat. Ini harus difaham.
Soalan yang hendak dikemukakan digarap di Kuala Lumpur bukannya lahir spontan di kalangan wartawan daerah atau ketua biro berkenaan. Persiapan dibuat begitu rupa sekali. Soalan-soalan bukan berbentuk ingin tahu, (atau penjelasan) tetapi dalam masa sama cuba diendorse (diaturkan) mengikut kehendak mereka. Politik dan kelicikan wartawan ini hendaklah diketahui oleh pemimpin Pas dan sesiapa sahaja.
Jika dilihat kepada isi wawancara itu, akhbar berkenaan persis sengaja mahu melambung pemimpin Pas tinggi-tinggi. Mereka sengaja mendedahkan visi dan kecanggihan akal politik pemimpin berkenaan. Mereka membiarkan kepetahan politik mereka terluah sebanyak mana.
Dalam masa sama, mereka mahu pemimpin Pas memberi sejuta janji dan pengharapan kepada rakyat. Niatnya ialah biarlah rakyat terpesona dan menunggu janji-janji berkenaan. Sedangkan mereka tahu apa yang dilontarkan melalui media massa itu tidak mudah untuk diimplimentasikan. Memang bercakap lebih mudah daripada melaksanakannya.
Kesannya atau kesimpulan yang diharapkan bila pemimpin tidak mampu berbuat apa yang diucapkan, ia menyebabkan rakyat akan hilang kepercayaan kepada kata-kata dan janji itu. Inilah tujuan dan maksud tersirat mereka.
Selepas ini mereka akan menulis dan melaporkan pula tentang kegagalan atau ketidakupayaan pemimpin itu. Apa yang mereka hendak gambarkan, pemimpin hanya bercakap dan beretorika sahaja.
Justeru, pemimpin Pas harus berhati-hati dan cuba mengenal akan taktik ini. Mereka harus mengerti tentang strategi ini. Jangan kerana syok sendiri mereka akhirnya akan kehilangan maruah diri. Ingatlah bahawa selamanya media arus perdana yang menjadi musuh serta bersifat munafik dan sesekali tidak akan berniat baik dengan Pas dan parti alternatif. - Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 14.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)