Pas Perlu Perluaskan Peranan Media Massanya

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Peranan media dalam memberi maklumat kepada orang ramai (hatta dunia sangat penting). Tanpa surat khabar atau televisyen sesuatu kejadian atau peristiwa itu akan sunyi dan tidak diketahui. Natijahnya laporan yang memerlukan prihatin dan pembelaan mereput begitu sahaja. Atau sesuatu niat baik yang dihasilkan dari sesuatu peristiwa itu terpulau dari minda umum begitu sahaja.

Justeru demi kepentingan ini, mana-mana usaha untuk menutup pintu daripada dijenguk media bukan cara dan jalan terbaik. Malahan sikap itu adalah sikap jakun (meminjam istilah Mat Sabu).

Sebab itu usul tergempar yang dibawa oleh Pas Kedah pada Muktamar Pas ke-51 di Kota Bharu minggu lalu agar media massa dihalang daripada melaporkan perjalanan muktamar merupakan usul yang surut ke belakang dan tidak bernilai tinggi.

Untuk dikatakan tidak bertamadun, mungkin agak melampau, tetapi ciri-ciri dan kerangka pemikiran demikianlah yang ada pada Pas Kedah apabila mereka mengemukakan usul berkenaan.

Soalnya kenapa harus takut kepada media? Media hanya tukang lapor dan mengulas apa yang terjadi. Atau kalau lebih dari itu media ada agendanya sendiri dan hakikat ini harus difahami. Itu tugas dan tanggungjawab mereka. Bukankah kita diajar agar menghormati hak asasi orang lain?
 
Sesiapa pun tidak perlu takut kepada media. Berlawan dengan media bukan satu keputusan bijak. Untuk memeranginya bukan dengan menutup pintu tetapi kita perlu menyiapkan penampilan dan juga daya kreativiti serta penilai yang tinggi terhadap apa yang dilapor dan dipaparkannya. Perlu bijak mengulas dan responsif secara psikologi terhadapnya.

Apa yang harus difahami di dalam menjalankan agendanya, media tetap juga berjalan di atas prinsip dan rol profesionalismenya. Media tidak boleh bergerak sebebasnya atau menggunakan peraturan ‘akornian’. Para wartawannya tetap terikat dengan undang-undang jika tidak mereka akan didakwa.

Dalam menghadapi dilema ini, pada saya yang penting kita perlu cerdik dan bersikap terbuka (openess) dengan media. Jangan sesekali cuba melawan dengan menutup pintu persidangan kita kepadanya. Seperti umum tahu, betapa kita melarikan diri, atau menyembunyikan diri daripada media, mereka tetap akan mengapainya. Kerja wartawan ialah memburu berita.

Apabila disebut memburu, mereka akan mencari, menyelongkar, mendedah dan akhir sekali akan membuat tafsiran sendiri jika sesuatu yang mereka kehendaki itu tidak dapat disentuh dengan fizikal. Dengan menggunakan ilmu dan kaedah kewartawanan, mereka akan mengulasnya tanpa memikirkan lagi apakah benar atau salah – yang penting mereka dapat menyiapkan laporan!

Jadi kalau mereka dapat masuk dan menyaksikan sendiri sesuatu peristiwa atau kejadian itu, mereka akan melaporkan berpandukan apa yang mereka saksi dan lihat itu. Mereka akan membuat persepsi mengikut agenda mereka tanpa berbuat lebih dari itu.

Jadi bagi mengurangkan jarak dan salah tanggap terhadap media, dalam hal ini Pas haruslah mendekati diri dengan media, membuka diri sepenuhnya kepada media tanpa sebarang prejudis.

Selain itu bagi mengelakkan ahli (Pas) dan orang ramai terkeliru dengan laporan dan propaganda media, Pas harus mengajar ahlinya cerdik membaca dan tajam menilai media. Tahu berfikir dan pandai menebak ke mana hujung jatuh nawaitu media berkenaan. Kalau kita sudah menyiapkan ilmu dan pengetahuan ini maka kita tidak akan mudah terperangkap dengan kontroversi media.

Dalam hal ini juga Pas harus menyediakan media alternatif kepada ahlinya. Kalau kita tidak mempercayai laporan media arus perdana, tetapi kita tidak menyediakan media alternatif secukupnya, usaha untuk memerangi media itu juga tidak akan berjaya. Harus difahami media massa di zaman ini adalah satu keperluan batin yang cukup penting. Suka tidak suka kita perlu mengambil media.

Berhubung hal ini saya cukup bersetuju dengan pandangan Sdr. Najahudin Lateh (Harakahdaily Edisi Inggeris: Mahu Seribu Daya!) yang membuat pandangan, wartawan mempunyai ruang lingkup kecil untuk melaporkan apa yang berlaku di sepanjang muktamar Pas lalu. Kerana itu laporan oleh media Barat terutamanya sangat dhaif mengenai muktamar tersebut.

Disebabkan kedhaifan itu maka timbullah hal-hal tidak sewajarnya seperti mana laporan media asing itu tidak menggambarkan apa yang berlaku sebenarnya. Relatifnya hal ini tidak boleh dipersalahkan kepada media massa berkenaan, kerana dari satu sisi Pas sendiri tidak menyediakan keperluan dan kemudahan (bahan berita) untuk mereka.

Justeru cadangan agar Harakahdaily.net diupgredkan adalah cadangan yang konstruktif sekali dan perlu diambil perhatian. Portal berita Pas itu sebenarnya boleh dijadikan penghubung di antara Pas dengan media dunia luar sana. Sekiranya Harakahdaily berkualiti atau dapat menyediakan maklumat secukupnya maka ia akan menjadi sumber berita dunia, dan mereka tidak lagi akan mengharapkan kepada Bernama atau The Star.

Tentunya laporan Harakahdaily juga akan lebih diyakini kerana ia adalah lidah rasmi parti.

Tetapi bagaimana untuk media asing memetik laporan Harakahdaily, sedangkan ianya tidak canggih dan menyeluruh? Masalah bahasa juga menjadi faktor mengapa mereka tidak dapat menceduk sumber dari portal berkenaan. Jadi cadangan agar diwujudnya bahasa kedua atau ketiga (Inggeris dan Arab) di dalam laman berkenaan adalah baik sekali.

Dalam hal ini, saya nampak, Pas gagal memanfaatkan media. Tidak ada kesungguhan untuk memartabatkan media dan menjadi media sebagai saluran propaganda dan juga alat untuk berjuang. Seharusnya Pas sudah memahami apa yang dikatakan ‘bliz information’ menerusi media massa yang sudah dipergunakan oleh semua pihak ketika ini.

Melihat kepada berita dan nilai Harakahdaily hari ini jika dibanding dengan Malaysia-Today atau MalaysiKini, Harakahdaily jauh ke belakang. Berita yang disiarkan masih bersifat kedaerahan dan bersifat laporan semata. Tidak ada ulasan-ulasan bernas daripada pengarang dan pengelolanya berkaitan agenda dan masa depan parti.

Untuk mencapai ini sepatutnya Harakahdaily mengeluarkan sedikit wang dengan mengundang kolumnis yang berkualiti dan kontroversi tulisannya. Yang kritis serta mempunyai pandangan yang berlapis atau mampu mengemukakan polemik baru mengenai perjuangan Pas itu sendiri. Cara demikianlah baru portal berkenaan segar dan menarik.

Cara pemberita Harakahdaily kini tidak ubah seperti penulisan minit mesyuarat yang ditulis oleh setiausaha yang rajin tetapi tidak mahu menambah ilmu kesetiausahaannya. Laporan seperti itu tidak sesuai lagi dalam web portal yang mahu disifatkan sebagai internasional itu.

Harakahdaily sepatutnya mengemukakan idea dan juga wawasan parti. Artikel dan tulisan yang dipaparkan juga harus berfikiran global dan bersifat analitis kerana kebanyakan mereka yang mengakses laman itu adalah mereka yang berpendidikan dan berfikiran terbuka.

Mereka ini bukan kelompok yang seratus peratus boleh ‘dipsywar’ tetapi mereka yang berpegang kepada fakta-fakta dan logikal semasa. - Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 12.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: