![]()
MASA UNTUK ANWAR MENYUSUN BARISAN ALTERNATIF
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)Sekiranya di dalam kepala bekas Timbalan Perdana Menteri Sdr. Anwar Ibrahim lapang dan tidak ada bonjolan-bonjolan lain mengenai cita-cita politik diri dan masa depannya, inilah masa terbaik untuk beliau bingkas memperkemaskan rangkaian parti pembangkang (Barisan Alternatif).
Resolusi tegas dan jelas di dalam Muktamar Pas ke-51 yang baru lalu mahukan beliau mengepalai BA adalah sesuatu “persepakatan” yang perlu difikirkan sebaik dan sedalam mungkin oleh beliau. Seharusnya Anwar tidak akan melepaskan begitu sahaja hajat dan peluang itu.
Kali ini tampaknya Pas lebih realistik dan mengharapkan kepada dokongan dan kerjasama Anwar khasnya dan BA untuk merobah momentum politik negara. Pas menyedari bahawa usaha untuk menyingkirkan Barisan Nasional (BN) tidak mampu dilakukan dengan kesendiriannya.
Juga Pas tidak begitu beretorik kali ini, hasrat itu diterjemahkan dengan pemilihan barisan kepimpinannya yang reti dan arif tentang politik dan berpolitik. Apa yang dilakukan oleh para muktamir (perwakilan) ialah suatu pandangan politik jauh dan serius untuk melihat perubahan dan merombak “hegemoni” politik oleh BN.
Kebanyakan barisan kepimpinan baru yang rata-rata muda (usia 43 – 55) lagi profesional itu faham mengenai “konsensus” politik. Mereka tidak berfahaman sempit dan bersikap jumud dan bermegah di dalam kepompongan sendiri.Di dalam erti kata lain, Pas telah membuka pintu ijtihadnya dalam usaha untuk melihat perubahan dalam senario politik negara. Pas sudah mula peka dan sedar dengan suasana semasa. Realiti politik negara ini yang rencam sangat disedari oleh Pas – generasi baru. Bahawa dengan kerencaman itu Pas tidak boleh terus berdiri dan megah dengan kelompoknya yang bersifat agamis yang lebih menekan kepada ritual.
Kini terserah kepada Anwar Ibrahim. Beliau dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh mengelak lagi. Sindiran dan jelingan serong kepada Pas sebagai parti yang jumud, degil dan angkuh dengan dogmanya sebelum ini juga tidak boleh dilemparkan lagi. Apa yang disuara dan dihasratkan oleh Abdul Hadi Awang merupakan cabaran yang harus disahut deras oleh Anwar.
Secara terus terang Abdul Hadi melemparkan harapan kepada Anwar untuk menjadi kepala kepada BA. Di sini juga menunjukkan Pas mengikhtiraf mengenai kehebatan dan juga kebolehan (ketokohan dan relevansi sebagai pemimpin) Anwar untuk merobah suasana politik negara dan penguasaan (penjajahan) Umno ke atas bangsa Melayu.
Dalam keadaan apa dan nesta yang bermacam-macam ke atas bekas TPM itu, namun beliau tetap menjadi idola dan tempat pergantungan rakyat seluruhnya. Bahawa Anwar masih dianggap superman Melayu untuk negara ini bagi menyelongkarkan penyelewengan dan membawa si pesalah ke muka pengadilan.
Janji Anwar untuk menjadi jambatan menghubungkan Pas dengan DAP dalam rangka memperkuatkan BA, sudah terbuka luas dengan wujudnya senario baru di dalam Pas kini. Kita percaya Pas di bawah kepimpinan baru ini akan percaya dan meletakkan usaha itu kepada Anwar. Dalam hal ini Pas bukan kehilangan darah untuk meneruskan perjuangan melawan BN, tetapi kerana keyakinan Pas kepada Anwar itu sendiri serta demi kesetiaan sebagai rakan pembangkang Pas menawarkan itu kepada Anwar.
Dalam pada itu juga Anwar harus yakin kepada kekuatan BA yang bakal dijananya. Beliau juga kena yakin kepada dirinya sendiri serta pengharapan rakyat kepadanya. Bahawa dengan kerjasama BA, sokongan rakyat dan ilmu serta bakat kepimpinannya beliau mampu mengemudikan perubahan politik di negara ini.
Rasanya hari ini Anwar sudah kena tutup rapat mana-mana pintu atau lubang kecil yang dibuka untuknya untuk menerjah masuk ke dalam Umno. Impian dan harapan untuk mencari kemerdekaan hidup menerusi Umno hendaklah dipadam selicinnya. Anwar tidak perlu bermimpi lagi untuk menyelinap masuk di dalam Umno. Beliau juga kena sedar jambatan yang cuba menghubungi beliau dengan Umno semula berada dalam keadaan rapuh dan tidak teguh.
Begitu juga dengan penentang dan penghalangnya begitu kuat. Beliau harus sedar dan pertembungan dengan golongan itu akan banyak mengorbankan darah dan jiwa bangsa (Melayu). Gerakan menghalang beliau sedang dijalankan. Berbagai tuduhan dan gelaran sudah dilemparkan terhadapnya (termasuk penderhaka) di mana segala itu memedihkan hulu hati mendengarnya. Jadi untuk apa Anwar membuka dadanya untuk menerima segala cacian itu semua?
Apa yang beliau kena fikirkan bahawa beliau boleh bangkit dari luar Umno. Pertarungan untuk membina nusa dan bangsa dari luar (Umno) dikira lebih afdal dan bermartabat daripada menerusi Umno. Anwar juga harus tutup pintu hatinya kepada Umno bukan sahaja ianya parti yang mengkhanati beliau, tetapi perlu merombak persepsi lapuk bahawa Umno sahaja bisa mentadbir negara ini.
Mulai saat ini Anwar kena janakan bahawa kerajaan Malaysia pada masa depan akan dibina oleh BA dengan beliau bakal menjadi Perdana Menteri. Dan sesungguhnya juga jalan lain ke Putrajaya masih banyak dan bukan sahaja menerusi parti yang mengaib dan menghinakan beliau pada 2 September 1998 lalu. - Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 09.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)