BELAJRLAH MENJADI MAKHLUK YANG BAIK

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Perumpamaan itulah yang tepat untuk membayangkan perasaan yang ditanggung oleh pengendali atau pelopor laman Marhaen ini apabila beliau diattack kiri dan kanan, dipersenda, disumpah dan dihina oleh orang-orang tertentu.

Secara peribadi saya amat kesal dengan apa yang berlaku ke atasnya. Bagi saya ia suatu jenayah siber yang seharusnya dikutuk oleh semua pelayar laman ini khususnya.

Disebabkan karenah orang yang tidak bertanggungjawab mengkhianati kesucian dan perjuangan laman ini meletakkan pengendalinya di dalam keadaan tidak tenteram, tertekan, sakit hati serta merasa lemah semangat.

Saya yakin, serangan psikologi berkenaan boleh menyebabkan seseorang pejuang yang tidak kental dan bersemangat waja akan jatuh tergolek. Natijahnya ia menyebabkan semua pihak akan rugi – mereka yang mendapat untung dari laman ini baik kerana kebaikan maklumat yang disajinya atau berjaya menerobosnya dengan input maklum tidak betul, semua akan rugi – kalau laman ini ditutup.

Namun kerana kewajaan pengendali laman ini yang sudah teruji kesekian lama (enam tahun) saya yakin cabaran itu akan menambahkan baja kepada laman ini. Segala ‘menhaj’ itu memberi suntikan semangat untuk terus menjadikan laman ini lebih berwibawa. Dengan pengalaman yang ada segala serangan itu tentu menjadi baja ‘phostate’ yang akan menghijaukan daun laman ini. Itulah harapan saya.

Bukan bererti saya membela pengendali laman ini kerana banyak tulisan saya dimuatkan menerusi laman ini, tetapi apa yang saya nyatakan ini suatu hakikat. Dan terus terang saya kata, kalau tulisan saya sehari tidak ada, saya merasa malu dan bersalah. Saya malu dan tercabar dengan kegigihan pengendali laman ini yang dibuat secara bersendirian dan sukarela.

Tanpa bayaran, tanpa ada renjisan tepung tawar atau dewa-dewa daripada sesiapa pun, beliau tabah berjuang keseorangan. Malahan beliau sampai kini saya percaya tidak dikenali sesiapa pun. Jelas beliau berkhidmat tanpa mengharapkan apa-apa imbalan jauh untuk dikenali dan diagungkan.

Orang yang ada hati perut akan tahu pengorbanan beliau ini. Betapa beliau begitu sayang dan menyintai dunia siber ini. Bertanggungjawab kepada tugasnya. Walaupun dia tidak diawasi oleh sesiapa, dan boleh meninggalkan begitu sahaja (kerja mengikut moodnya), namun beliau tetap berdisiplin dengan tugasnya.

Saya yakin kalau tidak ada disiplin yang tinggi serta semangat yang kuat laman ini sudah lama tutup.

Dari pengamatan saya beliau terpaksa melayari laman ini tidak kurang tiga kali sehari. Atau pun setiap tiga jam beliau akan membuka komputer dan melihat apa yang berlaku pada web sitenya.

Saya dapat mengesani ini apabila setiap surat, bahan yang dihantarkan dilapor (siarkan) dengan segera. Tidak ada penangguhan. Kadang-kala beliau bertindak mengup-datekan sesuatu berita itu tanpa mengira waktu seolah-olah beliau sentiasa melekat di skrin komputer sepanjang masa.

Saya yakin orang yang mendapat gaji empat digit pun tidak bekerja seperti beliau. Sebagai perbandingan kita semua boleh lihat apa yang ada dalam Harakahdaily satu website rasmi dikendalikan oleh Pas. Lihatlah sendiri bagaimana laman itu diuruskan. Adakalanya berita atau laporan yang sudah berkulat (berbulan-bulan) masih lagi terpampang di laman itu. (Maaf kepada pengendali Harakahdaily kerana perbandingan ini).

Begitu juga sudah berapa banyak laman web yang tumbuh di era reformasi sudah menjadi arwah atau mendiang tanpa kubur dan batu nisan. Kenapa keadaan itu berlaku? Jawabannya sekali lagi kerana kewujudannya di tangan mereka yang tidak mempunyai semangat juang yang kental ataupun mewujudkannya dengan mengharapkan pujian ataupun imbalan kebendaan.

Justeru apabila ada orang yang mempermainkan laman ini, menceroboh dan mengkhianati dengan menghantar laporan atau maklumat yang tidak benar ia sesuatu yang sungguh menyedihkan.

Perbuatan itu juga secara tidak langsung menjelaskan bahawa kita semua masih belum ada moral sebagai rakyat yang maju atau pun mukmin yang sejati. Kita di dalam hal ini masih lagi kelas haprak dan kaki lima. Kita tidak cuba berfikir secara jerih melainkan suka mengeladakkan aluran pemikiran kita.

Hendaknya tidak akan ada lagi orang yang berperangai macam hantu; ada suara tidak ada lembaga, ada nama tetapi tidak ada rupa, atau yang menyamar di sebalik halimunan dan polong yang mencemari laman ini dan cuba menyusahkan pengendalinya.

Sepatutnya semua berbangga dengan adanya insan mulia mewujudkan laman ini secara percuma. Setidak-tidaknya kita dapat mengikut perkembangan dan hal ehwal semasa negara kita yang dimuatnya selama ini tanpa mengeluarkan wang saku yang banyak.

Sekali lagi kepada pengendali web ini saya ucapkan syabas dan mendoakan agar beliau akan terus tabah dan menerima segala caci maki, cercaan dan pengkhianatan itu sebagai cabaran untuk terus menegakkan laman ini yang sudah menjadi wadah maklumat dan aspirasi golongan Marhaen macam saya.  – Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 22.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: