![]()
ISLAM HADHARI YANG DOUBLE STANDARD
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)Daripada satu sisi, kerajaan Malaysia yang ditulangi Umno begitu beriya-iya untuk menghapuskan maksiat dan juga perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam. Jika pembangkang menuduh mereka hipokrit mereka akan marah dan menuduh pembangkang tidak ada kerja lain selain daripada membangkang dan memfitnah kerajaan.
Benarkah kerajaan Islam Hadhari bertekad untuk menghapuskan maksiat dan segala macam bentuk yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini? Atau ianya sekadar satu retorik ataupun angan-angan Mat Jenin sahaja.
Atau lebih mendukacitakan hanya untuk mengabui mata rakyat negara ini (yang beragam Islam) bagi menampakkan Umno begitu prihatin kepada Islam?
Bila setiap kali timbul isu-isu berhubung dengan agama maka mereka (kerajaan) akan tampil ke hadapan menunjukkan taring perjuangan masing-masing. Semua para pemimpin Umno akan bercakap untuk menegakkan ajaran Islam di negara ini seolah mereka begitu sensitif meskipun ada di kalangannya tidak hafal al-Fatihah dan tahu niat berhadas besar.
Yang terbaru ialah mengenai isu kilang membuat sosej yang bercampur dengan usus babi. Riuh sekampung kerajaan Islam Hadhari dibuatnya. Hari ini semua bercakap fasal sosej itu sehinggalah masalah pengkhianatan bukit yang dilakukan anak Toyo sudah dilupakan.
Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) yang diberi tanggungjawab mengeluarkan sijil halal juga tiba-tiba seperti tersedar daripada tidur yang lena di musim sejuk. Kementerian Hal Ehwal Pengguna Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengawal, juga seperti orang terlondeh kain di khalayak ramai jadinya.
Semuanya bercakap dan memberi komitmen akan membanteras dan menghapuskan gejala berkenaan.
Dalam isu itu lantas kerajaan Islam Hadhari menerusi kedua agensi itu (Jakim dan Kementerian Hal Ehwal Pengguna) segera mengambil tindakan. Seramai lebih 1,000 orang Penguatkuasa dibekalkan untuk memantau kilang makanan di negara ini. Jakim juga sekali lagi menabur janji akan memantau perkara berkenaan.
Sebenarnya janji Jakim itu adalah untuk kesekian kalinya. Setiap kali Jakim mendapat Ketua Pengarah baru itulah amalan tradisi yang dibuatnya. Berjanji dan berjanji dan berjanji, namun semua janji-janji itu tinggal janji. Pertukaran Ketua Pengarah Jakim tidak lebih daripada peluang untuk membolehkan para pegawainya pencen dengan jawatan KP sahaja.
Kita masih ingat sebelum ini kecoh soal daging ayam disimpan bersama daging babi di dalam bilik beku di Serdang Selangor. Ketika isu itu dibongkar semua riuh rendah mempertikaikannya. Pihak berkuasa pun seperti ekor dicucuk api bertindak menyiasat kilang berkenaan. Namun hingga hari ini tidak ada apa-apa tangkapan dibuat ke atas orang bertanggungjawab dengan kilang itu.
Isu itu kini sudah tamat walaupun penyelesaiannya tidak ada. Tidak ada orang sebut lagi begitu juga dengan Jakim. Mungkin hari ini kilang itu sudah pun beroperasi semula. Kita percaya kilang seperti itu bukan satu di negara ini. Banyak lagi yang tersembunyi.
Kita juga hairan dengan sikap dan pendirian kerajaan Islam Hadhari ini. Cara Jakim dan pihak penguasa lain membanteras perkara ini sepertilah halnya kempen anti merokok. Satu masa kerajaan membelanjakan wang puluhan juta ringgit melancarkan kempen mencegah merokok, “Tak nak”, tetapi dalam masa sama kerajaan menggalakkan penanam tembakau.
Kita tidak faham dengan polisi songsang seumpama ini. Kerajaan seolah tidak ada substance di dalam hal ini.Begitu juga dengan usaha membanteras makanan haram yang boleh merosakkan akidah umat Islam. Ia jelas sikap double standard kerajaan. Jakim dan agensi lain, malahan umat Islam sendiri juga nampak sangat tentang kotor dan tidak suci sosej babi itu.
Tetapi mereka terlupa bahawa banyak lagi makanan/minuman dan cara hidup di sekeliling mereka yang lebih kotor dan boleh merosakkan akidah seperti sosej babi itu.
Macam mana dengan arak, dadah, rasuah, pergaulan bebas, pelacuran (bohsia, gay, lesbian), penyanggahan ke atas hukum Allah dan sebagainya. Arak, dadah, bergaul bebas dan sebagainya itu juga dilarang keras oleh ajaran Islam. Tetapi kenapa kita lesu dan menjadi bisu dalam soal ini? Tidak mudah melenting macam isu sosej cap babi itu?
Kegiatan meminum arak boleh dilihat di mana-mana sahaja hari ini. Si peminumnya bukan anak Cina, India atau Dayak lagi, tetapi anak Melayu juga. Cuba lawat tapak di mana sesuatu konsert (seperti Tsunami) terbuka diadakan, pasti kita akan melihat timbunan tin minuman keras. (Kondom yang telah diguna juga pernah ditemui).
Arak juga senang didapati. Pergilah ke mana-mana kios atau peti minuman berbayar yang terdapat di serata tempat umum, kita boleh menyaksikan tin arak ada di dalamnya. Arak dijual bersama air tin lain. Harganya juga sama mahal dengan Coca-Cola. Masuk duit arak akan keluar. Begitu mudah dan senang untuk mendapat air liur syaitan itu.
Mengapa soal ini tidak dipertikaikan. Tidak dihebohkan? Apakah arak di dalam tin itu berbeza dengan arak di dalam tempayan seperti samsu yang orang India minum itu? Atau di dalam botol berjenama Martin dan macam-macam itu. (Penyunting tolong tambah jenama arak kelas satu, terima kasih).
Begitu juga dengan pergaulan bebas dan pelacuran. Di mana-mana sahaja pelacuran boleh dilihat. Ia bukan sahaja melibatkan orang bukan Melayu tetapi ramainya orang Melayu. Jenguklah ke mana-mana lorong remang di Chow Kit, Pudu atau Bukit Binatang, bercacangan para pelacur terdiri dari orang Melayu yang cakapnya berbagai pelet daerah.
Yang kelas tiga melacur di lorong sepi manakala yang kelas satu pula melacur di bilik hotel bertaraf lima bintang. Yang kelas tiga dilanggan oleh driver teksi dan mamak cabuk, tetapi yang kelas satu oleh eksekutif atau para wakil rakyat dan menteri!
Apakah gejala sosial berkenaan tidak menyalahi akidah maka ia didiamkan sahaja? Kenapa kalau sosej babi heboh. Apakah kerana sosej itu ada perkataan B..A..B...I, maka ia menjadi sangat sensitif tetapi bila pelacuran tidak ada perkataan babi, konsert tidak ada perkataan babi atau arak tidak ada perkataan babi, penyanggahan ke atas hukum Allah tidak ada perkataan babi, maka ia dihalalkan ataupun dimaafkan?
Kalau kerajaan Islam Hadhari khasnya dan umat Islam amnya ikhlas dan serius untuk membanteras segala kemungkaran dan kegiatan merosakkan akidah itu biarlah bersungguh. Kita perlu bertindak secara menyeluruh dan bukan dari juzuk-juzuk tertentu sahaja.
Kerajaan Islam Hadhari jangan bertindak tegas dengan hanya menutup kilang mengeluarkan sosej babi itu sahaja, tetapi wajib sama menutup kilang arak. Menutup pub atau kelab malam seperti Zouk itu. Membanteras pelacuran dan penyalahgunaan dadah. Dan jika berani silalah tutup pusat perjudian terbesar Asia, di Genting Highland itu yang bekas pengerusinya ialah nenekanda Timbalan Perdana Menteri.
Jangan fikir kerana kilang arak, kilang rokok, pusat hiburan seperti Genting, Tioman memberi pulangan banyak menerusi cukai (eksais) kepada kerajaan maka ia dimaafkan. Kesan dan keburukan itu dilupakan begitu sahaja. Janganlah menggunakan konsep “matlamat menghalalkan cara”.
Harus dan perlu juga diketahui wang hasil daripada kerja maksiat dan mungkar itu juga boleh menyebabkan hati menjadi hitam dan merosakkan akidah umat Islam, bukannya hanya setakat termakan sosej cap babi sahaja.
Kalau kerajaan Islam Hadhari ikhlas dan serius hapuslah segala itu. Dan jika ada pihak yang cuba bertindak jangan pula menghalang agensi berkenaan sebaliknya bertindak membela pihak yang melakukan kesalahan. Pertubuhan seperti Sisters In Islam, individu seperti Marina binti ******** hendaklah juga ditegur dan tidak diberikan muka kepada mereka.
Dalam setiap tindakan mestilah tegas. Jangan pula kerana yang terlibat itu mereka anak orang besar atau anak kroni (Umno) dilepaskan begitu sahaja. Ingatlah pada sisi Allah tidak ada bangsa yang istimewa kecuali mereka yang beriman dan bertakwa. Tidak ada bezanya di antara Ajam dengan Arab. Yang ‘kamil’ di sisi Allah ialah orang mukmin.
Kerajaan Islam Hadhari nampaknya dalam bertindak ke atas perosak agama ini dibuat secara terpilih seperti juga halnya mereka menerima agama Islam dalam juzuk-juzuk tertentu sahaja yang serasi dengan mereka. Sementara aspek yang bertentang dengan naluri mereka dilupakan. Ingatlah firman Allah s.w.t.; masuklah Islam secara keseluruhannya. – Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 16.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)