PERBALAHAN DI ANTARA MUSTAPA – ANNUAR MUSA KIAN MENANAH

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Luka dalam di antara Mustapa Mohamed dan Annuar Musa (pemilik Mercedes Benz WCE 1) makin hari nampaknya makin parah. Dari luar luka itu tidak nampak berdarah tetapi ianya berladum di dalam.

Dari segi zahiriah hubungan keduanya berjalan seperti biasa sahaja. Hipokrasi orang politik terus melindungi mereka.

Mustapa boleh bersalam dengan Annuar Musa di hadapan orang ramai. Di dalam sidang DUN Kelantan yang baru lalu Mustapa dengan nada ‘mengada-ngada’ cuba meyakinkan setiap ahli Dewan dari UMNO bahawa dia tidak bergaduh dengan Annuar.

Sambil menepuk bahu Annuar yang berada di kerusi sebelahnya, (kerusi Ketua Pembangkang) Mustapa berkata ‘ini bos kawan (saya), kita kena setia dan taat kepada bos, ini bos kawan ni jangan usik dia…

Segenap yang ada di Dewan dan galeri tahu erti dan makna sanjungan dan tepukan belakang Annuar oleh Mustapa itu. Tepukan itu adalah ejekan. Fatamorgana yang pesimis!

Annuar sendiri faham akan pujian tidak ‘bermata’ Mustapa itu. Beliau memberi good luck kepada Annuar yang mengambil tempatnya sebagai Ketua pembangkang dan juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

Mustapa sangat terkilan dengan perubahan itu. Dia benar-benar marah. Orang yang menjadi sasarannya ialah Annuar. Mustapa walaupun bodoh politik tetapi tahu permainan Annuar di sebalik pertukaran itu. Sesudah Presiden parti menerima memorandum mengandungi 25 muka surat, (berhubung kelemahan dan kesilapan Mustapa) baru jawatan itu terpecat, berpindah tangan dari Mustapa ke Annuar.

Siapa yang menghantar memorandum itu? Dan siapa yang menyiapkannya? Ramzi Abdul Rahman bekas Setiausaha Khas Abdullah Badawi al-Hadhari dikatakan yang menjadi perantaranya. Justeru bila berlaku pertukaran Ramzi dilantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebagai ganjarannya.

Perubahan dan pertukaran serta memorandum itulah yang menjadi punca perbalahan mereka berdua. Menyebabkan hati Mustapa luka berdarah. Mustapa merasakan perjuangannya di dalam UMNO tidak diikhtiraf, dan Annuar Musa pula telah menikamnya dari belakang.

Usahanya untuk merampas Kelantan tidak dinilai langsung. Mustapa juga khabarnya sangat terkilan dengan keputusan Abdullah Badawi al-Hadhari yang memecat beliau. Mustapa pening memikirkan apakah sebab musababnya dan beliau merasa hairan bagaimana seorang yang (konon) berjasa seperti beliau dipecat?

Beliau dianggap sebagai berjasa dan hero di dalam UMNO Kelantan kerana berjaya merampas banyak kerusi Pas di dalam pilihan raya lalu dan sehinggakan parti berkenaan hampir kehilangan kerajaan.

Nasib Mustapa sungguh malang di Kelantan. Begitu juga dalam kes pemecatan Ibrahim Ali sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, risikonya dipikul oleh Mustapa. Seolah-olah orang lain tidak ada saham sedikit pun dengan penyingkiran Ibrahim itu. Seolah-olah semua orang tidak terlibat melainkan Mustapa seorang. Benarkah?

Satu pertanyaan untuk umum kalau ada yang sayangkan kepada sang kodok itu, apakah ada yang mempertahankan? Apakah Annuar Musa membela Ibrahim Ali baik di dalam mesyuarat Perhubungan UMNO Kelantan atau pun Majlis Tertinggi UMNO. Berapa kali Annuar Musa bangkit mempertahankan Ibrahim?

Ibrahim sendiri jangan mudah terpesona dengan retorik Annuar. Ibrahim juga harus sedar dalam kancah politik Kelantan, bukan sahaja Mustapa yang takut kepada lompatan emasnya, tetapi Annuar juga.

Malahan kalau dibandingkan di antara Mustapa dengan Ibrahim, Annuar lebih takut kepada Ibrahim. Pesaing Annuar dalam UMNO Kelantan ketika itu bukan Mustapa tetapi Ibrahim.

Jadi bila ada masalah dan desas desus Ibrahim hendak kena pecat maka orang paling bergembira dan suka ria ialah Annuar Musa kerana pesaingnya sudah tidak ada.

Annuar bernasib baik dalam hal ini walaupun dia terlibat tetapi semua tempiasnya menimpa Mustapa. Hingga ke hari ini Ibrahim marah dan dendamkan Mustapa sehingga mengarang sebuah buku membelasah Mustapa.

Berbalik kepada hubungan mereka berdua (Annuar dan Mustapa) tadi, kejelikan hubungan mereka jelas terpamer sewaktu keduanya pergi ke KLIA untuk menghantar Sultan Kelantan untuk menunaikan Haji pada 14 Januari lalu.

Body language mereka berdua menunjukkan keduanya tidak boleh bertentangan mata. Keduanya tidak cuba untuk berada dalam kelompok yang sama sebaliknya saling menjauhi diri pada petang itu.

Begitu juga sikap isteri mereka berdua. Kamarzam (isteri Mustapa) kelihatan duduk jauh di belakang kelompok perempuan yang ingin bersalam dengan Raja Perempuan, sementara Rosniah (isteri Annuar) pula berada di hadapan.

Suatu ketika apabila Mustapa nampak Annuar berjalan cuba mendekati Tengku Razaleigh Hamzah dia terus mengelakkan diri dari bertembung dengan Annuar Musa. Padahal ketika itu dia berada di belakang Ku Li.

Sikap Mustapa pada petang itu nampak begitu hina dan kurang ceria sekali sementara Annuar pula cuba mendominankan dirinya yang busuk itu walaupun Sultan Kelantan lebih melayani Mustapa daripadanya.

Khabarnya Annuar Musa yang sudah kesekian lama ingin bersalam dan beramah mesra dengan Sultan Kelantan masih gagal berbuat demikian. Peristiwa penabalan Tengku Ibrahim Indra Putra tahun 1993 masih menghantui dirinya.

Menyaksikan sandiwara live (seperti mana yang diceritakan) pada petang itu apa yang dapat disimpulkan hubungan diplomatik di antara Annuar Musa dengan Mustapa di dalam UMNO tidak akan pulih sebaliknya terus membengkak dan menanah. – Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 23.01.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: