![]()
BROKER POLITIK “TIGA ABDUL” PANAS TELINGA DAN PENING KEPALA
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)
Apabila kisah ‘tiga abdul’ diangkat ke dalam laman ini pada 30 Disember 2004 lalu, tidak semena-mena orang jadi teringat kepada hikayat berkenaan. Hikayat yang dinukilkan oleh Sdr. Mohd Sayuti Omar (MSO) itu sebenarnya sudah hampir dilupai orang. Namun disebabkan ada bingkasan dan reaksi daripada pihak ‘tiga abdul’ menyebabkan kisah itu dikenang kembali.
Sehari dua ini kisah ‘tiga abdul’ telah menggelewati perkampungan politik. Ia mula disebut dan diungkit semula di warung kopi, kedai gunting dan juga di sepanjang kaki lima Jaafar Rawas di Kota Bharu Kelantan. Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV ketika kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim, perhal tiga abdul juga disebut.
Terdengar soksek-soksek di bawah grand stand stadium orang memperkatakan soal ‘tiga abdul’ yang ingin kembali menyusun kekuatannya. Ada ura-ura kumpulan itu hendak merampas tempat yang diduduki Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan.
Kerja-kerja ke arah itu khabarnya sedang giat dijalankan. Salah satu cara ialah menyusul secara senyap dan membuat desakan dan tekanan kepada Nik Aziz. Beberapa tempat dan lokasi para juak-juak ‘tiga abdul’ bersidang sudah dikenal pasti.
Para ‘tiga abdul’ sendiri yang sesetengahnya buta internet juga diberikan salinan laporan berkenaan. Betapa broker politik ini begitu sayang dan pedulinya mereka kepada taukeh mereka. Tiga abdul adalah taukeh dan juga tempat bergantung hidup mereka!
Mengapa kisah ‘tiga abdul’ tidak pernah mati dan senyap? Mengapa ia terus diperkatakan? Secara logiknya itu bermaknanya kisah ini tidak mati. Hikayat ini masih hidup dan ditatapi umum.
Penulis mengenai kisah berkenaan gagal untuk menokhtah kisah tiga abdul. Kalau tidak sudah pasti kisah ini tidak akan disebut dan diulang-ulang lagi. Nampaknya ‘tiga abdul’ terus menjadi fenomena di Kelantan.
Mengapa kisah ini terus hidup ialah kerana pihak ‘tiga abdul’ sendiri. Tuan punya tubuh dan para brokernya. Kalau mereka ini tidak sebut, orang tidak akan ingat. Tetapi bila mereka ungkit maka orang akan jadi bingkas dan mengingatinya.
Para broker politik ‘tiga abdul’ jadi melenting apabila laman ini menyiarkan laporan itu. Mereka tidak dapat menerima apa yang didedahkan mengenai peranan ‘tiga abdul’. Lantas mereka mula bercakap di kaki-kaki lima kononnya ada orang hendak memburuk dan memfitnahkan ‘tiga abdul’.
Sepatutnya broker itu faham mengapa laporan itu dibuat. Tidak ada angin pokok tidak akan bergoyang. Ada asap adalah apinya. Di dalam kes ‘tiga abdul’ ini ia bukan seperti kes hilang tanpa berita, tetapi hilang ada berita.
Semuanya berpunca dari ‘tiga abdul’ sendiri. Tiga abdullah yang mendedahkan dan memberi peluang kepada orang ramai untuk menegur mereka. Mungkin broker politik itu juga sedar dan tahu peranan ‘tiga abdul’ ke belakangan ini. Atau mereka sendiri bertindak cuba menjadi pembantu setia untuk mengembalikan semula tiga abdul?
Sebenarnya apa yang didedahkan itu – berhubung sikap dan tindak tanduk tiga abdul sebahagian sahaja. Ada lagi makluamt ataupun kegiatan mereka yang lebih besar. Kegiatan mereka bukan sahaja menyusun jentera kerajaan dan parti tetapi termasuk juga ke peringkat memburukkan peribadi pemimpin tertentu di dalam kerajaan hari ini.
Batang tubuh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat adalah di antara sasarannya. Mereka bukan sahaja kritik kelemahan kepimpinannya, tetapi turut sama membabitkan soal-soal peribadi yang tidak ada kaitan di dalam pentadbiran. Saya tidak mahu menyebut perkara ini nanti malu besar orang berkenaan.
Kepada broker politik ini yang hanya mendapat segelas dua air ataupun waran tiket keretapi percuma daripada ahli Parlimen Pas, jangan kerana budi setitik itu mereka mahu melupai jasa Nik Aziz di Kelantan. Juga bukan maksud saya melarang mereka daripada mengagungkan ‘tiga abdul’ tetapi buatlah secara rasional dan demi manfaat bersama.
Perlu diingat hikayat berkenan sudah pun berakhir. Pemecatan dua dari ‘tiga abdul’ dari Badan Perhubungan Kelantan tiga tahun lepas sudah cukup memberikan gambaran mengenai sikap dan juga daya kepimpinan mereka. Usahlah cuba kembali semula dan berilah peluang kepada pemimpin muda.
Hormatilah pemimpin muda yang ada hari ini. Mereka tidak patut dibenci dan didengki sebaliknyan dibantu. Insaf dan sedarlah, mereka – pemimpin muda ini adalah penerusan perjuangan yang mereka sendiri dokongkan itu.
Apa guna kita membina istana indah dan megah sebagai lambang kekuasaan kita, tetapi kita merobohnyan semula apabila kita tidak lagi layak berada di dalamnya? – Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 9.30 pg 20.01.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)