LEBIH 50,000 IKUTI CERAMAH ANWAR DI KELANTAN

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Suasana politik di Kelantan panas kembali! Kehadiran Sdr. Anwar Ibrahim ke negeri berkenaan ternyata berjaya menaikkan suhu politik  negeri Tok Janggut dan Tok Kenali itu di samping melepaskan kerinduan rakyat Kelantan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Malam tadi lebih 50,000 orang memenuhi Stadium Sultan Muhamad ke–IV menghadiri majlis solat hajat dan Ceramah Perdana yang dihoskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim.

Walaupun majlis berkenaan cuba disabotaj oleh pihak polis dengan mengadakan sekatan jalan raya ‘segera’ di semua jalan masuk ke bandar Kota Bharu, namun majlis berkenaan tetap juga berjaya dan Stadium Sultan Muhamad ke-IV yang boleh memuatkan lebih 45,000 penuh sesak.

Ekoran sekatan jalan raya itu juga menyebabkan lebih 10,000 orang terpaksa berpatah balik. Sementara mereka yang kuat semangat terpaksa menghadapi pemeriksaan (yang tidak perlu) polis berjam-jam untuk memasuki stadium.

Tindakan polis itu dikesali dan menghairankan kerana majlis berkenaan mendapat permit polis dan ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri. Pada petangnya tidak ada tanda-tanda sekatan jalan raya diadakan, bagaimana pun ia dilakukan pada saat-saat akhir menjelang Maghrib.

Semua jalan masuk ke bandar Kota Bharu diadakan sekatan jalan raya, malahan di jalan tertentu seperti dari Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Rantau Panjang ke Kota Bharu terdapat tidak kurang daripada lima sekatan jalan raya.

Di jalan Pasir Mas ke Kota Bharu, sekatan diadakan kepala jambatan Salor, di jambatan Brahim Ali (Tendong). Sementara dari jalan Tumpat ialah di Pasir Pekan dan di kepala jambatan Sultan Yahya Petra. Ketua Polis Kelantan sendiri juga dilihat berkawal di atas jambatan Sultan Yahya Petra.

Selain itu sekatan jalan raya juga dibuat di jalan Pasir Puteh, Kuala Krai, Pengkalan Chepa, Bacok dan Tanah Merah. Semua kereta yang melalui jalan-jalan berkenaan diperiksa dan penumpang diminta mengeluarkan kad pengenalan dan ditanya dengan soalan-soalan tertentu untuk melengahkan perjalanan.

Sekatan itu bukan sangat untuk tujuan keselamatan tetapi untuk melambat-lambatkan pergerakan orang ramai dengan harapan Stadium Sultan Muhammad ke-IV tidak dipenuhi oleh orang ramai dan Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana itu gagal.

Sungguh pun begitu, mereka yang bersemangat dan merindui Anwar tidak mempeduluikan halangan itu mereka sanggup ‘melekat’ di atas jalan lebih dua jam. Ada yang terpaksa meninggalkan kereta di seberang jambatan dan berjalan kaki sejauh empat kilometer menuju ke stadium.

Bekas Adun Kelaboran Haji Nordin Yaacob yang keuzuran juga terpaksa berpatah balik setelah lebih satu jam terhalang oleh sekatan jalan raya di Pasir Pekan.

Majlis berkenaan bermula dengan solat Maghrib dan Isyak beramai-ramai kemudian diikuti dengan Solat Hajat. Tuan Haji Hashim (dari pondok Pasir Tumbuh) telah mengimani solat hajat berkenaan.

Sementara Ceramah Perdana bermula sebaik Solat Hajat selesai. Selain daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Anwar menyampaikan ucapan, Ahmad Yaacob (TMB) dan Husam Musa juga turut sama berucap.

Ketika Anwar berucap walaupun diganggui hujan gerimis namun orang ramai tidak mempedulikan dan tetap terpaku di atas padang. Ucapan yang dikira sederhana itu dikira tidak memuaskan hati orang ramai namun ia cukup sebagai mengubat kerinduan orang ramai kepadanya setelah enam tahun mereka menanti kehadirannya.

Kali terakhir Anwar hadir ke Kelantan dan berceramah ialah tiga hari sebelum ditangkap pada 20 September 1989 dan tempatnya ialah di Stadium Sultan Muhamad ke-IV.

Turut sama hadir di majlis berkenaan dan berada di pentas bersama VIP ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas ditohok (pecat), Datuk Ibrahim Ali.  – Reformasi.

(Perkembangan selanjutnya akan dilaporkan dari masa ke semasa).

Tun Paduka Tuan - 16.01.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Gambar-gambar kiriman: Tun Paduka Tuan.


Hantar artikel ini kpd sahabat: