TSUNAMI: ABDULLAH SUDAH BALIK, BEKAS PM TERUS BUNGKAM?

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Kurang 40 jam selepas perairan Malaysia dilanda tsunami dan kira-kira lebih 50 orang lemas dan meninggal dunia, barulah Perdana Menteri Hadhari (Abdullah Ahmad Badawi al-Hadhari) pulang daripada bercuti. Walaupun lewat tetapi akhirnya beliau pulang juga dengan terpaksa memendekkan cuti hujung tahunnya.

Terima kasih Abdullah di atas perhatian itu. Walaupun lewat namun beliau bertanggungjawab dan menunjukkan simpati mendalam kepada rakyat. Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang beliau terus bergegas ke tempat kejadian.

Sekurang-kurang Abdullah lebih baik sedikit daripada Annuar Musa, Pengerusi UMNO Kelantan, yang juga bercuti di luar negara namun tidak pulang sampai ke hari ini walaupun banjir di Kelantan sudah kering. Bertuah sungguh Annuar,  bukan sahaja setakat tidak pedulikan rakyat, khabarnya bapa mertuanya mati pun beliau tidak pulang. Begitulah pemimpin berjurus.

Apakah beliau turut sama dilanda tsunami di Eropah?

Sebagai menyatakan simpatinya Abdullah al-Hadhari mengarahkan semua pesta menyambut tahun baru dibatalkan. Keputusan Abdullah membatalkan segala keramaian dan pesta (tidak berfaedah) untuk sambut tahun baru juga sesuatu yang boleh dipuji. Kita angkat topi (sikit sahaja) kepada Abdullah kerana prihatin akan nasib dan penderitaan mangsa tsunami itu.

Bukan melampau kalau dikatakan bencana itu menimpa kita dan seluruh umat manusia lain adalah disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri. Harus diinsafi tidak terjadi sesuatu itu kalau bukan di atas sesuatu sebab? Kita selaku umat manusia berada dalam lingkaran kekuasaan Allah s.w.t. Apakah bencana itu boleh dikaitkan dengan maksiat dan juga kedegilan manusia?

Fakta yang jelas, bumi tidak pernah mengkhianati manusia, sebaliknya manusia yang sering kali berlaku sumbang dengan bumi. Atas ketamakan manusia, manusia ingin mengubah apa yang sedia ada pada bumi semata-mata kerana hendak memenuhi kehendak nafsu.

Kalau kita menerima realiti ini maka apa yang Abdullah Hadhari perlu buat bukan sahaja setakat membuat arahan agar segala konsert dan hiburan tidak berguna itu dibatalkan. Tetapi kemungkaran lain juga perlu ditangani segera. Rasuah, penyelewengan, penindasan politik, penganiayaan menerusi kuasa dan sebagainya patut dihentikan segera.

Begitu juga arahan agar konsert dan hiburan yang melalaikan itu bukan sahaja setakat dibatalkan sementara kerana bencana berkenaan sebaik-baiknya batal terus. Akhir-akhir ini berbagai hiburan dan konsert yang menyerang atau dibawa ke negara kita. Semuanya melalai dan merosakkan akhlak anak-anak muda kita.

Budaya kuning yang ditakuti suatu masa dulu kini sudah bertapak malahan berkubu di beberapa bandar-bandar besar di negara kita. Kalau tidak percaya cubalah merayau di sepanjang Jalan Sultan Ismail di ibu kota pada malam minggu, dan saksikan sendiri apa yang sedang berlaku.

Apa yang ada di dalam negara sudah tidak mampu untuk dipikul, kini gejala kurang sihat dari luar negara pula berbondong-bondong masuk ke negara ini. Dadah, kes jenayah ragut, pecah rumah, rogol, rompakan dan sebagainya melanda negara kita. Kesan bahana itu kalau dihalusi sama hebat dengan tsunami itu. Malahan kalau hendak dikira gejala itu lebih parah kerana ianya berterusan.

Apa pun, Abdullah Ahmad Badawi al-Hadhari sudah pulang dan sudah pun melawat ke pusat-pusat pemindahan mangsa mala petaka itu. Abdullah sudah dapat melihat sendiri kesan itu dan mendengar dengan telinganya penderitaan rakyat. Hendaknya di dalam memberi bantuan jangan ada pilih kasih atau diskriminasi – mendahulukan orang berwarna ‘biru tua’ daripada berwarna ‘biru muda’ atau berwarna ‘hijau’. Biarlah semua rakyat dilayani sama adil dan sama rata.

Sehubungan itu bila mengingati tragedi ngeri tsunami itu timbul di kepala saya ke manakah perginya bekas PM sebelum ini? Apakah beliau juga berada di luar negara? Ataupun beliau memang ada dan hanya menyembunyikan diri kerana ‘takut’ untuk muncul khususnya melawat ke tempat kejadian?

Apakah beliau merasakan tidak layak lagi untuk pergi ke tempat itu bertanya khabar masalah rakyat? Ataupun beliau sudah pergi tetapi tidak ada liputan? Rasanya tidak munasabah pula. Selalunya ke mana beliau pergi, media massa yang menjadi penjilat buntutnya selama ini tidak pernah lepas. Hatta kalau bekas PM itu jumpa dengan lembu atau pun anjing dilaporkan dalam televisyen atau akhbar.

Selama 22 tahun beliau menjadi PM. Mendapat sokongan padu rakyat tanpa berbelah bahagi. Kalau pun sudah tidak menjadi Perdana Menteri, salahkah kalau beliau menjenguk rakyat yang sedang menderita itu. Kalau tidak mahu ke Pulau Pinang, tetapi pergilah ke Kuala Kedah itu negerinya sendiri?

Tetapi sebenarnya hal ini tidak menghairankan. Jika dilihat kepada sikapnya sebelum ini kita tidak merasa ganjil dan perlu bertanya apakah beliau simpati ataupun tidak? Selama ini pun beliau bukan peka kepada masalah rakyat marhaen. Selama beliau menjadi PM 22 tahun apa yang diberi perhatian ialah masalah-masalah pembangunan keduniaan yang tidak ada kena-mengena dengan rakyat marhaen.

Jarang beliau turun menemui rakyat susah. Tidak penah kita lihat dia menyingsing kain mengharungi sungai, angkat seluar turun ke bendang ataupun meranduk lumpur ke ladang getah atau kepala sawit. Tempat yang selalu dikunjungi ialah pameran bertaraf dunia, pertunjukan konsert dan sebagainya di dewan-dewan eksklusif berhawa dingin.

Jadi tidak hairanlah kalau bila rakyat berhadap dengan bencana sebegitu teruk tidak mendapat apa-apa perhatian daripada beliau. Usahkan duit ringgit menjenguk silau pun tidak.

Jadi kepada mangsa tsunami dan seluruh rakyat Malaysia usahlah bersedih dan terkilan dengan sikap bekas PM itu. Biarkan dia terus terjun dengan labunya.

Hari ini dia hanya menguruskan soal hidup matinya sendiri; makan, tidur, berak dan bersanggama (kalau boleh lagi). Soal rakyat tidak perlu dipedulikan lagi sebab dia sudah ada semua yang kita semua tidak memilikinya!  Takziah untuk semua keluarga mangsa tsunami. - Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 29.12.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: