![]()
AWAS ‘TIGA ABDUL’ BANGKIT SEMULA MENCARI RUANG
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)
Politik tiga tokoh Pas Kelantan yang nama mereka bermula dengan ‘Abdul’ pernah menggegarkan politik Kelantan. Kisah politik mereka juga pernah menjadi bualan di negeri berkenaan. Malahan kisah itu sempat dibukukan dengan judul “Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul” oleh penulis politik, Mohd Sayuti Omar (MSO), Tinta Merah Kuala Lumpur, 2000.
Kumpulan tiga serangkai itu sempat menjadi fenomena kurang menyenangkan di Kelantan. Ia hampir-hampir seperti tsunami! Kononnya mereka cuba menggugat kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka diam-diam mengatur strategi untuk menyingkirkan Nik Aziz dengan harapan salah seorang dari mereka akan mengambil alih tempat MB itu.
Alasan mereka ialah kerana kepimpinan Nik Aziz lemah dan tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Mereka juga pesimis dengan kepimpinan ulama yang dipelopori oleh Tuan Guru itu.
Sebenarnya itu hanya alasan. Sebalik apa yang menyebabkan mereka mahu menyingkir Nik Aziz ialah kerana banyak stail politik mereka bertentangan dengan gaya politik Nik Aziz. Lebih penting mereka mahu menguasai politik Pas dan mengepalai kerajaan Kelantan. Harapannya nanti agar agenda tersurat mereka dapat dilaksanakan.
Maka jalan mudah perlu dicari dengan melakukan usaha secara senyap untuk menyingkirkan Nik Aziz.
Bagaimana pun kisah tiga ‘Abdul’ akhirnya ‘ghaibul ghruyup’. Impian mereka untuk membina mahligai politik berakhir apabila Nik Aziz merelaikan mereka dari duduk sekali. Masing-masing digugurkan dari kedudukan dari kerusi tertinggi parti.
Seorang digugurkan dari jawatan Setiausaha, seorang lagi sebagai Ketua Penerangan. Yang ditinggalkan seorang sahaja selaku Timbalan Pesuruhjaya. Dengan jawatan itu (bersendirian) ‘Abdul’ itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana sudah tidak ada rakan kongsi. Persepakatan dan pengkhianatan mereka pun terus hancur.
Nik Aziz mengambil tindakan ini selepas tersebarnya buku tulisan MSO itu. Hasil penyebaran buku berkenaan menyebabkan isu kumpulan itu meletup di muktamar Pas di Kuala Terengganu tahun 2001.
Rombakan itu benar-benar mengejutkan tiga serangkai itu. Mereka tidak sangka di dalam lemah lembut Nik Aziz tindakan itu berlaku ke atas mereka. Mereka lantas menyapu muka menyedari bahawa impian (pengaruh) mereka di Kelantan sudah terhakis.
Dan kemuncak kepada ‘pengasingan’ mereka itu dari pusat kekuasaan politik Kelantan ialah apabila ketiga-tiga mereka diletak bertanding di kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-11 lalu. Seorang bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa, seorang di Parlimen Kuala Krai dan seorang di Rantau Panjang.
Perpindahan itu menjelaskan bahawa Nik Aziz tidak bersedia untuk menyerahkan kerusi MB kepada salah seorang daripada mereka itu.
Kesannya mereka jadi begitu marah. Secara diam mereka menanamkan dendam kepada Nik Aziz. Tindakan nyata yang diambil ialah dengan memulaukan segala aktiviti parti dan juga kerajaan. Dalam keadaan tertentu, mereka langsung tidak menampilkan muka, seolah-olah mereka sudah tidak ada urusan langsung dengan parti dan kerajaan.
Pun begitu penyelesaian itu tidak mudah untuk terus mematikan mereka. Seperti ular, ia tidak mudah mati. Selaku orang yang mempunyai pengalaman dan tahu membaca hati nurani rakyat, mereka bergerak secara senyap mengumpul kekuatan baru.
Mereka mengambil sikap mendiamkan diri. Menjauhkan diri daripada kegiatan parti. Pada masa sama juga mereka membuat dakyah akan kelemahan serta ketidakmampuan Nik Aziz. Secara tidak langsung mereka menjadi gunting dalam lipatan atau duri dalam daging.
Dalam masa ke sama mereka mendekati dan cuba mengumpulkan orang-orang yang juga kecewa di dalam politik kerana tidak dapat suatu yang diharapkan. Mereka mengumpul golongan veteran sebaya mereka untuk membuat tindakan balas. Mereka mencari orang-orang tertentu yang kecewa kerana tidak dapat mencapai hajatnya untuk bersama mereka.
Di samping itu, turut sama mengapi-apikan di antara satu kumpulan dengan kumpulan lain di dalam kerajaan dengan harapan untuk melihat kerajaan pimpinan Nik Aziz hari ini lemah dan goyah.
Usaha tiga Abdul kini nampaknya semakin serius. Sikap mereka tidak memberi kerjasama kepada anggota Exco sekarang menampakkan hipokrasi mereka dan juga mendedahkan nawaitu mereka yang sebenarnya untuk masa akan datang.
Salah satu usaha mereka paling baru ialah dengan cuba menyusun jentera Pas di kampung-kampung. Dalam masa Pas sedang menyusun jentera politik, perlantikan penghulu, guru halaqah dan lain-lain jawatan politik, golongan ini sedang rancak memainkan peranannya. Mereka sedang berusaha untuk mengembalikan semula tokoh-tokoh lama yang sudah menopouse ke jawatan yang dipegang sebelum ini.
Paling ketara ialah mengenai pelantikan penyelia di mana-mana kawasan DUN yang tidak dimenangi oleh Pas. Sudah ada usaha untuk menggugurkan penyelia yang tidak sebulu dengan mereka dan diganti dengan di kalangan mereka.
Di antara DUN yang jelas diganggui ialah Mengkebang, Guchil dalam Parlimen Kuala Krai, Pengkalan Kubur di Tumpat, Bukit Tuku di Rantau Panjang. Nama-nama kroni mereka sudah disebut akan dilantik menjadi penyelia di kawasan ini.
Bekas ahli Parlimen Tumpat, Wan Jamil Wan Mahmood disebut akan dilantik menjadi penyelia di Pengkalan Kubur, Nasir bekas MP Kuala Krai di Guchil, Ismail Ikan di Mengkebang, dan orang kuat ahli Parlimen Rantau Panjang, Rosul di Bukit Tuku. Mereka ini dikenali sebagai kroni atau kerabat kumpulan Abdul yang setia.
Perkembangan yang berlaku ini harus diberi perhatian. Pesuruhjaya Pas Kelantan Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am hendaknya jangan mudah terperangkap dengan permainan licik kumpulan ini yang sudah ternyata banyak menimbulkan kerumitan dalam politik Pas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Kalau mereka berjaya menyelitkan orang-orangnya, sudah tentu masalah keretakan di dalam parti yang sedikit sebanyak sudah wujud sekarang ini akan menjadi lebih teruk lagi. Tokoh muda yang sedang mengepak sayap seperti Husam Musa, Nik Amar Abdullah dan Takiyuddin Hassan perlulah berwaspada kerana merekalah antara orang yang mereka dendami tak sudah.
Awaslah sebelum retak menunggu belah. - Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 29.12.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)