![]()
TSUNAMI – KE MANA HILANGNYA ABDULLAH AL- HADHARI?
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)SEHINGGA kini (9.00 malam) seramai 51 orang rakyat Malaysia menjadi korban bedalan ombak Tsunami yang melanda pantai di Utara Semenanjung. Jumlah itu yang disahkan setakat ini. Namun ia dikhuatiri masih banyak lagi mangsa yang belum dijumpai atau hilang.
Mungkin angka itu kecil berbanding dengan jumlah kematian di negara-negara lain, seperti Indonesia, Thailand, Sri Lanka atau India. Namun pun begitu ia cukup memilu dan menyesalkan kita. Kita semua turut bersedih dan berdukacita di atas kejadian itu. Takziah kepada keluarga mangsa!
Menurut agensi berita antarabangsa angka kematian di Sri Lanka mendahului negeri lain sebanyak 11,000 orang diikuti Indonesia 4,730 dan Thailand 870.
Namun biar pun jumlah kehilangan nyawa dari negeri kita tidak sampai 10 persen (sama dengan kadar kenaikan tol), berbanding negara lain, tetapi ia cukup memilukan kita. Nyawa manusia tidak ada harga dan tolok bandingnya. Walaupun seorang – hatta orang bisu atau orang buta yang menjadi mangsa, kita tetap merasa dukacita dan kesal atas kejadian itu.
Ada beberapa perkara yang merungkai di kepala kita di atas apa yang berlaku. Ini semua menyebabkan kita ‘tersemak’ ke belakang mencari di manakah silap dan salahnya sehingga bencana itu meragut begitu ramai nyawa. Walaupun kejadian itu adalah takdir, namun kita tidak boleh menerima seadanya tanpa mencari jawapannya.
Kejadian itu adalah pertama kali berlaku di negeri kita. Sebelum ini Malaysia tidak pernah menghadapi ancaman bencana alam sedemikian. Kalau ada pun hanya tempias sahaja, kita sekadar menerima gegarannya. Kesannya tidak sampai kehilangan nyawa. Kerana itu kita mungkin tidak pernah mengambil kisah dan alpa di atas implikasi bencana itu walaupun sejarahnya telah menunjukkan ia memakan puluhan ribu jiwa.
Apa yang menjadi kemusykilan kita, apakah kita tidak mempunyai alat bagi mengesan kejadian itu? Apakah disebabkan kerana negara kita tidak pernah mengalaminya maka kita tidak perlu menyediakan peralatan untuk mengesaninya dan rakyat perlu diberikan isyarat awal?
Selalunya begitulah lumrah yang berlaku di negara kita. Kita tidak mempunyai kemudahan keselamatan untuk mengesan hal-hal yang jarang berlaku seperti itu. Apabila berlaku sesuatu musibah baru kita bersusah payah memikirkan untuk menyediakannya. Setelah nyawa hilang harta benda lenyap baru kita sedar dan terbangkit dari mimpi siang!
Sudah banyak contoh kalau hendak disebut. Kejadian keruntuhan Highland Tower, kehilangan helikopter di Bario, Sarawak, di mana kita terpaksa memanggil bantuan luar untuk mencari dan menyelamat mangsa. Mengapa ini berlaku kerana kita tidak pernah memikirkan bahawa bencana atau musibah itu akan menimpa kita.
Dalam hal-hal sebegini kita berfikir surut ke belakang dan bukan jauh ke hadapan.
Negara kita diakui sebagai moden dan ‘canggih’. Bekas Perdana Menteri dahulu sangat berbangga dengan pencapaian negara kita dalam bidang kemajuan dan (keselamatan) juga. Kononnya negara kita sudah maju dan canggih semuanya. Semua yang ada di Barat dan di Jepun ada di negara kita. Lalu kita (mereka yang buta akal dan taksub biawak kepadanya) memuja dan memuji bekas PM itu sebagai hebat, bijak dan entah-entah lagi.
Apakah andaian dan penobatan kita itu betul?
Jika kita lihat apa yang berlaku itu (bedalan Tsunami) sehingga mengorbankan 51 jiwa dan jutaan harta benda musnah apakah kita boleh mengatakan kita maju? Negara kita sudah moden seperti mana yang dilaungkan itu? Kalau kenyataannya begitu benar, kita percaya malapetaka itu boleh dihindar dan angka kematian tidak seramai itu.
Kini terjawab. Apabila ombak itu melanggar kita baru kita tahu apakah jenis kehebatan dan kemodenan negara kita yang dilaung-laungkan selama 22 tahun lalu. Jelas bahawa apa yang dilaungkan selama ini hanya laungan tin kosong sahaja. Kemajuan dan kemodenan kita (dalam soal keselamatan nyawa) lebih kurang sahaja dengan Sri Lanka, Indonesia dan India.
Kita masih belum sampai ke mana pun sebenarnya. Cuma angan-angan kita sahaja lebih yang dibawa oleh segelintir orang yang banyak berkhayal daripada berpijak di bumi nyata. Untuk mengesan bedalan ombak itu pun kita masih terkial-kial. Pandangan jauh yang kononnya dimiliki oleh bekas PM sebelum ini ternyata tidak berguna langsung.
Kalau bekas PM berpandangan jauh sudah tentu kejadian seperti itu dapat dihindari. Sekurang-kurangnya kita mempunyai peralatan untuk mengesan bencana itu. Tetapi apa yang kita ada? Jawabnya tidak ada apa-apa, melainkan sebuah keindahan khayalan yang diilhamkan oleh bekas PM yang sama-sama kita kongsikan untuk memeriahkan hidup kita yang sebenarnya kosong!
Seperkara lagi yang kita musykil di atas apa yang berlaku ialah di manakah menghilangnya Perdana Menteri (yang disayangi), Abdullah Ahmad Badawi al-Hadhari? Ke mana beliau? Khabarnya beliau berada di luar negara dalam rangka lawatan memajukan negara.
Apakah beliau tidak peka dengan apa yang berlaku? Sebagai PM yang menggagaskan Islam Hadhari, Abdullah patut pulang segera ke tanah air. Beliau tidak cukup setakat membuat arahan menerusi telefon agar kerajaan membantu rakyat. Di saat-saat genting begini Abdullah al-Hadhari harus mendampingi rakyat. Rakyat yang sedang bersedih dan berdukacita sangat memerlukan layanan beliau selaku pemimpin nombor satu negara.
Apakah lawatan yang dilakukan itu penting sangat? Ianya lebih penting daripada nyawa manusia? Di sini semuanya terserlah sikap sebenarnya Abdullah Badawi. Pemimpin yang dipuja sebagai berjiwa rakyat, penuh prihatin, ternyata hanya slogan semata-mata. Abdullah sudah bersikap tidak berbuat apa yang dicakapkan! Abdullah jelas tidak prihatin dan sayangkan rakyat!
Melihat sikap Abdullah itu samalah dengan perangai Annuar Musa. Di saat rakyat Kelantan (ahli UMNO) kesejukan dan kelemasan, beliau (Annuar) sebagai ketua tidak ada di dalam negeri, sebaliknya berseronok dengan anak dan bininya di Eropah! Apakah ini model pemimpin Islam Hadhari?
Nampaknya Abdullah dua kali lima sahaja dengan Annuar di dalam menangani rakyat yang sedang berdukacita. Patutlah Abdullah boleh menggantikan Mustapa Mohamed (yang jauh lebih baik dan bersih) di Kelantan dengan Annuar Musa.
Apa pun duhai rakyat marhaen fikirlah sendiri. Jangan disalahkan ibu yang mengandung! - Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 28.12.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)