![]()
ANNUAR MASIH BELUM PULANG DARI MAKAN ANGIN
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)SUDAH hampir dua minggu berlalu setelah beberapa hari banjir melanda negeri Cik Siti Wan Kembang dan pahlawan Tok Janggut – negeri Kelantan Darulnaim. Kesan-kesan kemusnahan dan kerosakan kerana banjir masih belum habis.
Rumah rosak, jalan berlubang atau koyak dan sebagainya masih jelas kelihatan di mana-mana sahaja. Walaupun ada bantuan segera banjir di bawah peruntukan Bencana Alam namun ianya bukan mudah untuk dipulihkan.
Bandar Kota Bharu yang akan diisytiharkan sebagai bandar Islam tidak sampai lima hari lagi masih kotor dan berselut. Di mana-mana jalan dan kawasan dalam Majlis Perbandaran Kota Bharu kelihatan sampah sarap masih bertimbun. Bandar Kota Bharu berdebu dan berselut macam selepas perang.
Pihak penguasaan bandaran Kota Bharu, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertungkus lumus siang dan malam membersihkan seluruh bandar tersebut. Seperti mana diumumkan, MPKB menganggarkan sebulan untuk membersihkan seluruh bandar Kota Bharu. Melihat kepada masalah dan kotoran ia memerlukan peruntukan wang yang banyak.
Banjir tahun ini memang teruk dan besar istilah orang Kelantan.
Di kampung-kampung pula soal pengagihan bantuan untuk mangsa banjir masih menjadi buah mulut dan rungutan. Pihak kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat silih berganti memberi bantuan. Keduanya berlumba-lumba untuk berbuat ‘kebajikan’ di samping bagi menanam budi politik.
Pihak kerajaan Pusat menghulurkan bantuan kepada mereka (mangsa banjir) yang menyokong Barisan Nasional (BN). Orang-orang BN diberikan keutamaan. Walaupun orang Pas juga dihulur tetapi lewat dan nilainya juga tidak seberapa dibandingkan dengan apa yang diberikan kepada penyokong BN.
Begitu juga dipihak Pas, hal yang sama berlaku. Penghulu dan juga orang yang ditugas membanci mangsa banjir atau ditugaskan mengagihkan bantuan banjir hanya mengutamakan ‘orang bulan’ daripada ‘orang dacing’.
Sebenarnya hal seperti ini tidak seharusnya berlaku. Di dalam keadaan darurat begitu sepatutnya tindakan pilih kasih tidak berlaku. Kedua pihak Pas dan UMNO sepatutnya mengetepikan perangai buruk itu daripada terus diamalkan. Insaf dan sedarkan semua kita sama sahaja.
Kita tinggal masalah itu kepada Pas dan UMNO yang sukar untuk difahami oleh orang yang berfikiran rasional. Kita doakan agar kedua penganut parti itu sedar dan bertaubat akan kesilapan mereka selama ini.
Selain itu apa yang masih menjadi sebutan di sinilah ialah soal Pengerusi UMNO Kelantan yang baru Annuar Musa yang masih lagi tidak menampakkan batang hidungnya. Walaupun banjir sudah surut, tetapi Annuar masih belum balik-balik lagi dari luar negeri.
Ada suara sinis mengatakan tidak ada guna kalaupun dia balik. Annuar bukan boleh sekat banjir dari melanda Kelantan. Betul, tetapi selaku pemimpin beliau harus berada bersama rakyat. Beliau mesti mengetahui sakit demam rakyat pada setiap ketika dan bukan menjelang pilihan raya sahaja.
Sehingga hari ini Annuar masih berada di di London (bukan Los Angeles seperti mana disebut sebelum ini, maaf!), Untuk apa dan kenapa beliau begitu lama di oversea? Orang tidak nampak di mana logik dan relevannya Annuar meninggalkan Kelantan di saat rakyat memerlukan bantuan daripada beliau.
Apakah beliau ke sana atas urusan menjalankan tugas negara atau negeri Kelantan atau UMNO? Kalau atas tugas negara tidak mengapa, tetapi kalau sekadar bercuti di musim Krismas tidak berapa ada guna dan pentingnya bagi rakyat.
Ada dua perkara yang orang memerlukan kehadiran Annuar. Pertama soal banjir, khasnya di Ketereh di kawasan yang diwakilinya. Beliau adalah Adun Kok Lanas dalam bahagian Ketereh. Selaku ketua bahagian dan pengerusi perhubungan beliau banyak memegang peruntukan banjir.
Apa yang menjadi masalahnya beliau enggan menyerahkan peruntukan kepada orang lain dan disuruh menunggunya hingga pulang. Beliau ingin menyampaikan sendiri. Annuar bimbang kalau peruntukan atau bantuan itu diberikan oleh orang lain maka beliau tidak akan mendapat political mileage.
Bukan bantuan banjir sahaja, peruntukan untuk budak-budak sekolah menerusi one-off juga ditahankan sehingga beliau balik. Sudah timbul rasa tidak senang di kalangan pemimpin bahagian. Seorang pemimpin bahagian Ketereh bertaraf satu bintang tidak segan-segan mengatakan, apakah Annuar mahu budak masuk sekolah berbaju buruk seminggu baru hendak bagi baju baru?
Masalah kedua yang melingkari diri Annuar Musa ialah mengenai hal PULO. Masalah PULO ini tidak ada kesudahannya. Orang ramai menanti kepulangannya untuk mendengar apakah ulasan beliau mengenai dakwaannya konon kerajaan Kelantan beri wang hasil daripada penyelewengan balak kepada PULO.
Secara kebetulan masalah PULO timbul dan banjir melanda Kelantan sebaik Annuar meninggalkan negara pada 10 Disember lalu. Beliau seakan sudah tahu masalah PULO akan jadi hangat. Apakah pemergiannya itu untuk mengelakkan daripada menjawab masalah berbangkit daripada isu yang beliau timbulkan itu?
Dari maklumat terbaru Annuar kini masih lagi berada di London. Beliau akan pulang selepas sambutan Krismas. Dari siasatan bebas yang dilakukan walaupun beliau meninggalkan negara 10 Disember tetapi selepas 19 Disember baru beliau berada di Eropah. Seminggu sebelum itu khabarnya Annuar berada di negara jiran? Indonesia.
Annuar ke Indonesia bukan urusan kerajaan atau parti tetapi urusan peribadinya. Tanpa pengetahuan sesiapa pun bakal MB Kelantan itu telah berkahwin dengan rakyat Indonesia. Isteri mudanya itu ialah seorang doktor gigi. Perkahwinan ini sudah lama berlangsung. Pada suatu masa isterinya diletakkan di Sarawak.
Ketika itu beliau kerap berulang alik ke Sarawak. Namun kerana timbul masalah di Sarawak kini isterinya sudah pulang semula ke Jakarta. Segala maklumat ini didedahkan oleh kawan rapatnya sendiri yang juga turut menyaksikan saksi perkahwinan kedua itu.
Perkahwinan itu tidak menjadi masalah sebab Islam menghalalkan perkahwinan sampai empat kalau mampu zahir dan batin. Cuma apa yang dipertikaikan kenapa harus sembunyi dan letakkan di luar negara. Apakah kerana sebagai escape selepas kehilangan jawatan, Annuar mengatur rancangan itu? - Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 26.12.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)