![]()
HARI INI PKR MELAKARI SEJARAH PETA POLITIK NEGARA.
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)
BERMULA HARI INI, 17 Disember hingga 19 Disember 2004, merupakan detik bersejarah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pada tarikh tersebut akan berlangsungnya Perhimpunan PKR yang dimulai dengan perhimpunan Pemuda kemudian diikuti persidangan penuh PKR.
Bersejarah kerana pada hari itulah parti yang wujud di atas paduan dua perjuangan (parti), Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung menjadi satu. Persidangan itu merupakan julung kali selepas penggabungannya diluluskan oleh pejabat Pendaftar Pertubuhan.
Kepada rakyat yang taksub dengan Barisan Nasional (BN) mungkin tidak merasakan peristiwa itu penting. Bagi mereka sejarah itu dibiarkan begitu sahaja tanpa merasai apa-apa perubahan kepada peta sejarah politik bangsa. Tidak mengapa.
Namun dari sudut sejarah, hakikatnya penyatuan dua parti itu sangat penting kerana ianya bakal memantulkan sinar baru dalam kanvas politik Malaysia. Penyatuan kedua parti itu membentang wadah baru kepada rakyat untuk dijadikan alternatif kepada parti BN yang dilihat sudah banyak busuk daripada wangi itu.
Serentak itu, persidangan tersebut bakal membentuk barisan kepimpinannya. Bagaimana agenda itu dikira tidak begitu penting lagi apabila Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sudah dinobatkan sebagai Presidennya.
Mungkin perebutan jawatan Timbalan Presiden di antara Abdul Rahman Othman dan Syed Husin Ali serta pemilihan ahli jawatankuasa tertingginya mungkin memberi kehangatan.
Hendaknya proses pemilihan berjalan dengan licin dan dalam suasana semangat setiakawan yang tulen. Semua pihak yang ternatijah dengan pemilihan itu akan rela menerimanya tanpa menganjakkan paksi jihad.
Selain dari peristiwa itu perhimpunan PKR juga dikira bertuah kerana ianya bakal dihadiri sama oleh wira semua bangsa Sdr. Anwar Ibrahim.
Walaupun Anwar hadir selaku pemerhati dan tidak dapat melibatkan diri secara langsung dalam perhimpunan berkenaan tetapi ia cukup bererti. Kalau selama ini Anwar hanya mengirimkan perutusan dari penjara sempena perhimpunan Keadilan, namun kini jasadnya sendiri hadir.
Adanya Anwar di situ sudah tentu ia memberi semangat kepada PKR untuk terus mara menggerakkan perjuangan yang dicetuskan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri itu. Tentunya kehadiran itu memberi spirit dan kekuatan kepada PKR. Dalam erti kata lain PKR kali ini bersidang dengan ditemani sama oleh ‘orang tuanya’.
Ada beberapa perkara yang perlu dititik berat di dalam persidangan esok. Di antaranya ialah menyelesaikan beberapa isu yang belum selesai termasuklah soal penyatuan ahli. Ini perkara penting.
Walaupun perpaduan di dalam parti sudah utuh, namun masih ada kuda-kuda atau sendi-sendi perjuangan yang perlu diperketatkan. Di antaranya ialah soal tuduh menuduh atau pun rasa curigai mencurigai di antara satu sama lain.
Berbagai isu kedengaran mengenai perkara ini. Ada tuduhan wujud puak-puak tertentu di dalam PKR (Keadilan). Ada digelar sebagai kabilah, penganut UMNO, puak liberal dan sebagainya. Tuduhan atau tanggapan seperti ini hendaklah dihapuskan.
Begitu juga krisis atau perbalahan peribadi dengan individu tertentu tidak perlu diperpanjangkan. Semua pihak kenalah terbuka dan rasional. Masing-masing perlu bermuhasabah dan mencari kesilapan masing-masing dan bukannya cuba mengorek kesalahan orang lain sehinggakan kesilapan kita tidak ternampak.
Begitu juga sikap membenci perjuangan disebabkan tidak sebulu dengan orang perseorangan juga tidak betul dan satu tindakan yang kurang bijak dan matang. Sikap itu tidak ubah seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar. Siapakah yang rugi akhirnya?
Harus difahami musuh senantiasa mencucuk di antara kita supaya sering berbalah dan bermasaman muka sesama sendiri. Virus – wasangka, meragui atau mencurigai si anu dan si ani adalah permainan licik pihak musuh. Strategi memecah dari dalam itu kenalah difahami dan dihindarkan.
Sementara itu persidangan esok penting kerana akan menentukan hala tuju dan masa depan politik Sdr. Anwar Ibrahim. Hal inilah yang menjadi fokus kepada pemerhati dan rakyat seluruhnya. Mereka mahu kepastian ke manakah langkah Anwar selepas ini.
Ini kerana sebelum ini timbul bermacam andaian dan teori mengenai Anwar. Paling popular ialah mengatakan beliau akan bersama UMNO semula. Suara-suara itu sedikit sebanyak mematikan langkah mereka yang ghairah untuk melihat Anwar memimpin pembangkang pada pilihan raya seterusnya. Gara-gara timbulnya spekulasi itu menjadikan langkah mereka tergencat buat seketika.
Kita harap perwakilan akan tegas dalam menentukan arah tuju perjuangan Anwar selepas ini. Sekiranya perwakilan mahukan beliau menjadi penggerak atau inspirator kepada perjuangan PKR bersama oposisi, maka Anwar tidak boleh mencari seribu helah untuk menafikannya.
Anwar tidak boleh bertindak bertentangan dengan aspirasi ahli PKR dan rakyat jelata. Jika ada tumbuh angan-angan untuk bersama UMNO dalam masa terdekat ini angan-angan itu perlulah dipadamkan segera.
Kepada Anwar pula, beliau harus berhati-hati untuk tidak tersilap langkah kali kedua. Sebagai Bapa Perjuangan, lebih penting beliau perlu memuaskan hati rakyat daripada kehendak dirinya sendiri. Beliau kena menjadi lilin demi rakyat! Seperti dibimbangi ramai kalau Anwar tersalah langkah kali kedua nasibnya akan buruk.
Pun begitu sekiranya perwakilan memberi signal dan mandat kepada Anwar untuk menentukan hala tuju politik menurut kehendaknya, maka parti dan kerabat oposisi yang mengakui dan berikrar untuk menerima Anwar sebagai ketua harus akur juga. Jangan ada nanti pertikaian atau pun apa-apa tindakan yang bertentangan.
Apa pun yang lebih penting ialah solidariti di dalam membuat keputusan dan sepadu di dalam bertindak di samping mempunyai semangat juang yang kental – tidak mudah mengalah dan goyah. Percaya dan yakinlah perjuangan yang suci itu akan menang juga walaupun memakan masa terlalu lama.
Sejarah masa lampau perjuangan yang diterokai oleh hero rakyat, seperti Khomeni di Iran, Mahatma Ghandi India, Nelson Mandala di Afrika Selatan, Jose Rizal di Filipina dan banyak lagi perlu dijadikan azimat. Bukan senang untuk mereka menang. Mereka terpaksa mengambil masa berpuluh tahun sebelum dijulang rakyat sebagai wira mereka.
Kemenangan dalam perjuangan bukan hanya bermakna apabila mendapat kuasa, tetapi syahid (mati) di dalam perjuangan itu adalah puncak kepada kemenangan. Kalaupun kita sudah memperoleh kuasa belum tentu kita syahid kerana ada kalanya kuasa menjadikan kita kufur kepada Ilahi. Banyak sudah mereka yang berkuasa menjadi kufur kepada perjuangan (Allah).
Insaflah perjuangan Keadilan (PKR) hanya baru memasuki tahun ke enam. Ia masih muda dan tidak akan mudah untuk mencapai kemenangan. Pisang pun selepas ditanam, mengambil masa tiga hingga lima bulan baru berbuah. Apa lagi sebuah perjuangan yang terpaksa menghadapi berbagai tribulasi tentulah memerlukan pengorbanan dan masa lebih panjang daripada itu.
Selamat bersidang! – Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 17.12.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)