APAKAH MOTIF
ANNUAR MUSA KAITKAN WANG PERKIM DENGAN PULO?

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Pemilik Mercedes WCE 1 (yang dibeli dengan wang meragukan), Annuar Ibnu Musa, terus menyerang kerajaan Kelantan sambil menunjuk belang ‘keberaniannya’ di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN).

Annuar benar-benar menjadi juara dan sang pembangkang yang lantang. Sehinggakan sesetengah tindakannya dikira melampau menyebabkan terserlah niatnya untuk membandingkan dirinya dengan Mustapa Mohamed yang menjadi ketua pembangkang sebelum ini.

Ada kalanya peluru yang digunakan oleh Annuar tidak munasabah sama sekali dan tidak sewajarnya dikeluarkan. Namun itulah yang berlaku, Annuar seperti mahu menggunakan semua peluru yang ada, dengan harapan kalau boleh beliau mahu tengok kerajaan Kelantan hancur dalam sekelip mata.

Telatah dan gelagat pemilik Mercedes WCE 1 itu memberi gambarkan betapa excited beliau ingin menjadi MB Kelantan. Sebab itulah ketika berucap membahaskan ucapan titah DiRaja, Annuar tanpa segan silu menegaskan bahawa dia akan jadi MB lebih dulu daripada Husam Musa!

Semalam (8 Disember), Annuar sekali lagi telah menunjukkan belangnya apabila mendedahkan soal penyelewengan wang balak yang dianugerahkan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Kelantan yang berjumlah RM1.2 juta.

Atas dasar kebenaran sudah tentu pendedahan itu sesuatu yang wajar. Kerajaan Nik Aziz yang berslogan “Membangun bersama Islam” harus memantau hal-hal demikian. Dan apa jua bentuk penyelewengan dan sesiapa juga yang melakukannya harus didedah dan dikenakan hukum setimpal. Tidak ada sesiapa pun yang perlu dilindungi dalam soal ini.

Orang tahu tujuan Annuar membuat pendedahan itu ialah untuk memburukkan kerajaan pimpinan Nik Aziz. Dengan pendedahan itu beliau mahu orang ramai melihat kerajaan Nik Aziz tidak telus dan penuh dengan kemungkaran dan penyelewengan. Itulah niat sebenar Annuar Musa.

Sekali lagi niat dan motif itu dibenarkan. Ia boleh dihalalkan sebab begitu sifat dan juga prinsip demokrasi. Dalam usaha memancing undi dan mendapatkan pengaruh, sistem demokrasi sekular membenarkan apa juga taktik dan strategi waima baik atau tidak, digunakan selagi ianya tidak berstatus ‘liabel’ sampai boleh diambil tindakan mahkamah.

Imuniti DUN Kelantan telah dipergunakan sepenuhnya oleh Annuar untuk memburukkan kerajaan pimpinan Nik Aziz. Apa pun yang beliau ucap dan dakwa di dalam DUN ianya tidak boleh diambil tindakan. Annuar cukup tahu akan hal itu, seperti mana ‘si ayam kampung Pas’ (Nasaruddin Daud) tahu (risikonya) apabila Annuar mencabarnya mengulangi tuduhan di luar dewan.

Annuar juga sama cerdik dengan Nasaruddin, apabila wartawan meminta beliau (Annuar) mengulanginya di luar dewan beliau enggan berbuat demikian. (Ayam bandar nampaknya dua kali lima sahaja dengan ayam kampung!)

Apa yang Annuar mahukan ialah imej kerajaan Pas cemar, itu sahaja. Jelas apabila membangkitkan soal ini Annuar terlupa untuk menilik dirinya sendiri. Beliau alpa untuk mencerminkan dirinya ataupun mengambil tempurung – kencing dan renung mukanya terlebih dahulu.

Sebab kalau beliau waras dan berbuat demikian (kencing dalam tempurung bulu), beliau sesekali tidak akan tergamak untuk menimbulkan perkara itu yang sifatnya masih boleh diragui dan mengilankan hati orang Melayu! Sebabnya diri beliau sendiri masih dibaluti dengan pelbagai skandal dan penyelewengan yang sudah diketahui umum.

Tidak mengapa itu adalah kerja orang politik yang mesra dengan sifat munafik. Tetapi ada sesuatu yang tidak sedap didengar dan dirasakan tidak sepatutnya Annuar lakukan sewaktu mendedahkan penyelewengan itu.

Dakwaan Annuar, wang Perkim sebanyak RM1.2 juta dibahagi-bahagikan kepada orang tertentu tidak menjadi masalah. Perkara seperti itu bukan pertama kali berlaku dalam ‘industri’ balak di Kelantan. Apa yang Annuar dedahkan itu hanya 0.001% daripada kes keseluruhannya termasuk di zaman kerajaan BN juga.

Namun apabila beliau mengaitkan nama Pattani United Liberation Organisation (PULO) dengan wang berkenaan, ia adalah sesuatu yang amat dikesali. Apa yang Annuar ungkitkan itu sesuatu yang serius.

Ketika mendedahkan penyelewengan itu, beliau ada menyebut, wang Perkim itu turut disalurkan kepada PULO. PULO ialah salah satu pertubuhan yang berjuang untuk membebaskan bumi Pattani daripada kerajaan Siam.

Sedarkah apa yang Annuar ucapkan itu? Kalau sekali pun benar perkara itu berlaku, di dalam situasi hari ini (kemelut dan bunuh membunuh) Annuar tidak seharusnya menimbulkan hal demikian. Beliau tidak perlu membabitkan PULO di dalam hal penyelewengan itu. Kalau pun beliau tidak sabar hendak menjadi MB tetapi janganlah bertindak membakar jiwa orang Melayu dan Islam seluruhnya.

Sebagai pemimpin Melayu beragama Islam, (anak tok lebai lagi) Annuar patut memahami situasi dan apa yang berlaku di Selatan Thailand ketika ini. Kalau di atas dasar muafakat negara sejiran, kita tidak dapat membela sesiapa, (rakyat Pattani atau kerajaan Siam) tetapi janganlah menyakitkan dan mengecilkan hati mana-mana pihak.

Apa yang Annuar lakukan itu seperti mengait sarang tabuan. Annuar jangan marah ekoran tindakannya yang tidak bijaksananya itu kalau timbul pula sesuatu andaian yang kurang menyenangkan ke atas dirinya. Jangan marah kalau ada orang menuduh Annuar mempunyai motif mengapa beliau mengaitkan PULO dengan kerajaan Kelantan (Perkim).

Tidak payah diselindungkan lagi orang Kelantan semua tahu, Annuar mempunyai hubungan akrab dengan bekas Menteri Dalam Negeri Thailand yang kini menjadi Speaker Parlimen, Muhammad Nuur Mata. Baik ketika menjadi menteri dan juga sesudah ‘selesai’ menjadi menteri Annuar terus berbaik dengan Muhammad Nuur Mata.

Mereka saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Paling baru Muhammad Nuur Matta berkunjung ke kawasan Annuar di Kok Lanas beberapa bulan lalu. Kenapa?

Muhammad Nuur Matta adalah di antara tokoh politik Melayu (Pattani) yang dianggap belot oleh masyarakat Pattani. Beliau dikatakan menggunakan strategi licik untuk kepentingan dirinya sehinggakan sanggup menggadai maruah masyarakat Melayu Pattani. Beliau adalah ‘barua’ kepada Bangkok.

Dengan mengandaikan Annuar ada berbagai motif maka jangan salah kalau orang beranggapan tujuan Annuar itu ialah untuk mengambil hati Muhammad Nuur Matta serta membalas budinya. Sekali lagi sesuatu yang tidak boleh diselindungkan Annuar berbudi besar dengan Muhammad Nuur Matta.

Mungkin atas tujuan hendak membalas ‘budi emas’ Muhammad Nuur Matta itu, Annuar sanggup menimbulkan perkara yang cukup sensitif dan jauh dari kebenaran itu. Pendedahan itu sudah tentu ia memberi keuntungan kepada Muhammad Nuur Matta kerana Muhammad Nuur boleh jadikan isu berkenaan sebagai modal untuk beliau terus ‘berjelingan’ mata dengan Bangkok.

Apakah ‘budi emas’ Annuar terhadap Muhammad Nuur Matta, temui di dalam tulisan seterusnya.  – Reformasi!

Tun Paduka Tuan - 09.12.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Berita berkaitan:
HarakahDaily: PULO: Dun Kelantan halau wartawan Berita Harian
HarakahDaily: Anuar Musa dibidas guna kepetahan untuk susahkan negeri sendiri


Hantar artikel ini kpd sahabat: