![]()
ANNUAR MUSA MELENTING
BILA KISAH TABAL TENGKU IBRAHIM DIBANGKIT
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)Untuk kesekian kalinya kisah dan juga peristiwa yang sangat dibenci dan mahu dilupai oleh bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Annuar Musa diungkit dan ditimbulkan lagi. Kali ini kisah atau peristiwa itu ditimbulkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang sekarang ini sedang berlangsung.
Kalau boleh dibayar Annuar sanggup membayar seberapa banyak agar peristiwa itu tidak ditimbulkan lagi di atas muka bumi ini. Peristiwa itu merupakan bayangan hitam yang senantiasa mengejar dirinya selagi ia berkecimpung di dalam politik. Bayangan itu seakan menghalang apa juga kerjanya di Kelantan.
Peristiwa hitam itu ialah penabalan Tengku Ibrahim Tengku Indra Putra (gambar kiri) sebagai sultan Kelantan untuk menggantikan Sultan Ismail Petra yang bertakhta sekarang ini. Penabalan Tengku Ibrahim itu sebagai menafikan kesahihan Tengku Ismail Petra Almarhum Yahya Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah.
Sebenarnya walaupun Annuar cukup benci kepada peristiwa itu di mana ia dilihat sebagai satu kesilapan dan jenayah politiknya terbesar di Kelantan khasnya, namun semua rakyat sudah maklum. Seluruh rakyat jelata Kelantan sudah mengetahui peristiwa berkenaan dan usaha untuk mengikiskannya sepertilah usaha untuk membuang janggut ‘sunan’nya (Annuar) yang terlekat di dagunya itu. (Janggut ‘sunan’ ialah janggut ganjil yang tumbuh bersama tahi lalat).
Kejadian itu sudah tercatat di dalam sejarah. Ianya telah ditulis dengan tinta emas dalam buku sejarah istana Kelantan. Dan tentunya juga peristiwa itu terpacak kemas dan dalam di sanubari Sultan Ismail dan juga Raja Perempuan serta kaum kerabatnya!
Seperti mana umum ketahui peristiwa itu berlaku disebabkan UMNO marah kepada pihak istana kononnya kekalahan teruk mereka dalam pilihan raya umum tahun 1990 sehingga tidak menang satu kerusi kononnya disebabkan adanya campur tangan pihak istana.
UMNO memberi tahu kepada dunia istana telah mencampuri urusan politik Kelantan sehinggakan ia kalah. Jadi sebagai membalas dendam UMNO mencari helah dengan mendakwa kononnya takhta yang ada sekarang ini tidak salah. Sebaliknya orang yang layak dan berhak menjadi sultan ialah Tengku Ibrahim Indra Putra iaitu sepupu sultan kini. Jadi dengan daya tipu helah UMNO berjaya mengecek Tengku Ibrahim untuk menjadi patungnya.
Apa yang lebih mendukacitakan sultan dan kaum kerabatnya perkara itu dibincang secara khusus dan mendalam di dalam konvensyen parti berkenaan. Konvensyen berkenaan mengambil resolusi bahawa campur tangan istana menyebabkan UMNO kalah teruk. Sehubungan itu pihak istana perlu diajar. Dan di antara cara untuk mengajar istana itu ialah dengan menafikan takhta yang dinaiki sekarang dan sultan perlu dijatuhkan.
Peristiwa itu berlaku pada tahun 1993 bertempat di Ketereh, Kota Bharu dalam majlis yang dinamakan “Majlis bersama rakyat”. Di majlis itu yang dilatarkan dengan warna kuning dan penuh variasi Tengku Ibrahim diberikan persalinan di raja dan juga dijunjung duli oleh sekalian yang hadir sambil melaungkan Daulat Tuanku sebanyak empat kali! Annuar Musalah yang bertindak menjadi Datuk Panglima Raja yang memakaikan ‘mahkota’ dan memulakan menjunjung duli kepada Tengku Ibrahim.
Bermula di situ menyebabkan hubungan istana dengan UMNO yang sudah retak terus jadi terbelah. Sultan Kelantan amat dukacita dan murka. Annuar Musa sendiri dimurkai oleh istana dan sampai sekarang tidak dibenarkan menerima menghadap secara bersendirian kecuali secara beramai-ramai (pemimpin UMNO).
Apabila menyedari tindakan itu merugikan politik UMNO, UMNO berusaha untuk memulihkan semula hubungan dengan istana. Namun ianya gagal. Cuma apabila bapa saudara Raja Perempuan (Tengku Razaleigh Hamzah) kembali semula kepada UMNO tahun 1995 barulah krisis itu mereda sedikit. Bagaimana pun luka hati baginda sultan kepada Annuar tidak mudah sembuh dan tidak ada penawar mujarab lagi setakat ini untuk menyembuhkannya.
Justeru itulah apabila peristiwa itu ditimbulkan di sidang DUN Kelantan beliau sangat marah dan melenting sehingga berlaku pertengkaran dengan wakil Meranti (Pas) Nasaruddin Daud yang mengungkitkan peristiwa hitam itu. Apa yang memberengkan Annuar, Nasaruddin bukan bercakap kosong sebaliknya disertakan dengan bukti berupa gambar di mana Annuar sedang bersama Tengku Ibrahim di pentas di raja.
Ternyata Annuar Musa marah dan tidak dapat menahan emosi sampai melepaskan perkataan kesat (tolol) kepada Nasaruddin dan juga gelaran ‘ayam kampung’. Tidak cukup itu dicabarnya Nasaruddin agar membuat tuduhan di luar dewan. Semua anggota UMNO cuba bangun untuk membela ketua mereka yang sudah terjempit dan malu itu.
Bagaimana pun ‘ayam kampung Pas' (Nasaruddin) itu selamba sahaja menerima cabaran itu dengan membalas mengatakan Annuar sebagai bahlol. Nasaruddin menempelak tidak perlu beliau membuat cabaran di luar dewan itu lagi kerana apa yang berlaku itu di ambil dari luar dewan cuma membawa masuknya ke dewan untuk dikongsi bersama.
Melihat telatah penuh emosional dan tidak profesional Annuar itu menjelaskan Pengerusi UMNO Kelantan itu berada dalam keadaan desperate. Beliau bimbang kalau takdirnya UMNO menang bukan senang untuknya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Selagi hubungan dengan istana tidak dipulihkan maka angan-angannya untuk menjadi MB tetap mengganggui emosinya. Itulah yang ditakuti oleh pemilik Mercedes Benz WCE 1 berharga RM980,000 (gambar atas, di sebelah kiri dirakam sendiri oleh penulis di hadapan mahligai Annuar Musa) itu yang dibeli dengan wang yang meragukan!
Lantaran itulah apabila setiap kali kisah penabalan Tengku Ibrahim Putra itu dibangkitkan Annuar akan melenting dan marah kerana peristiwa itu baginya sepertilah bayangan hitam yang mengejarnya dari belakang dan penuh menakutkan. - Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 07.12.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan: bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.