![]()
AWAS FITNAH UMNO, NIK AZIZ HENDAK BERHENTI?
Oleh Tun Paduka TuanKelmarin, 23 November 2004, sudah berlegar dan tersebar berita kononnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan melepaskan jawatan dalam kerajaan dan parti. Berita dalam bentuk SMS (pesanan ringkas tetapi padat dan berkesan!) itu bergentayangan dan memasuki segenap ruangan telefon bimbit sesiapa sahaja. Penyebaran berita ini mula dikesani seawal pagi tadi.
Berita berkenaan cepat beredar dan mendapat perhatian pelanggan pasaran politik terbuka walaupun nilainya nihil. Ia sudah menjadi perbualan di mana-mana sahaja. Kehangatan berita ini menyebabkan Setiausaha Agung Pas, Nasharuddin Mohd Isa tidak tertahan dan terpaksa memberi penjelasan (kenyataan) agar tidak mempercayai berita berkenaan.
Walaupun berita itu tidak berasas dan tidak lebih daripada fitnah mentah dan satu provokasi murahan, nampaknya ada juga yang mempercayainya. Ini kerana penyebarannya kena pada waktu dan ketikanya. Ada logiknya kalau MB Kelantan itu hendak berhenti dan melepaskan segala jawatannya.
Sekurang-kurang ada dua asas utama, pertama kerana kesihatannya yang terjejas sejak akhir-akhir ini. Sebelum Ramadan lepas, Nik Aziz telah diserang sakit jantung dan pembedahan terpaksa dilakukan untuk memasukkan bateri bagi mengawal denyutan jantungnya.
Kedua pembedahan itu selamat dijalankan di Hospital Universiti Kubang Kerian Kota Bharu dan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Kedua ialah, memandangkan sudah terlalu lama beliau berada di kerusi MB. Nik Aziz menjadi MB sudah masuk ke penggal keempat. Jadi dua hujah itu cukup kena dan munasabah kalau beliau dikatakan hendak berhenti ataupun perlu berhenti. Disebabkan kesihatannya terjejas beliau memerlukan banyak masa untuk rehat dan tidak boleh terlalu berpenat.
Apa pun, yang jelasnya berita itu sengaja disebarkan. Ia merupakan dakyah oleh pihak musuh Pas ataupun orang dalaman sendiri yang suka melihat kalau Nik Aziz berundur kerana mereka mendapat benefit daripadanya. Tidak payah kita bertanya siapa yang punya angkara, bak kata pepatah terkilas ikan di air sudah tahu jantan betina. Begitu juga mendengar deburannya di air sudah tahu apakah jenisnya!
Jika dilihat kepada modus operandi penyebaran berita fitnah itu dibuat agak tersusun dan rapi. Ia dilakukan oleh bukan calang-calang orang, dan bukan oleh budak yang gatal tangan bermain dengan SMS. Sebaliknya penyebaran berita itu disusun demikian rupa untuk memancing pasaran umum untuk melihat kerajaan Pas di Kelantan dalam keadaan goncang.
Melihat kepada rentetan penyebaran berita itu yang mengaitkan dengan berlakunya perpecahan di kalangan pemimpin Pas Kelantan, ia adalah satu strategi terancang. Menurut rentetan daripada hasrat Nik Aziz itu kononnya berlaku perselisihan di kalangan pemimpin Pas Kelantan.
Isi fitnah itu mengatakan Nik Aziz akan berhenti dan ianya akan diganti oleh Timbalan Menteri Besar (TMB) Ahmad Yaacob, sementara timbalannya Nik Amar Abdullah. Penamaan mereka (Ahmad Yaacob dan Nik Amar) itu sebagai pengganti Nik Aziz dan timbalannya suatu hal yang disengajakan untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat dan anggota Pas.
Adalah diyakini berita ini akan terus dimainkan dan dihangatkan lagi. Satu maklumat yang boleh dipercayai berita mengenai hasrat Nik Aziz itu akan disiarkan secara besar-besaran di dalam akhbar harian hari ini (24 November 2004). Berita ini akan menjadi isu utama sehari dua ini dan menjadi berita utama!
Jadi kalau Pas tidak berhati-hati dan mudah pula termakan dengan umpan pancing itu, ia dibimbangi dan UMNO berjaya menyintak batang pancingnya kelak. Kalau tidak kena cara fitnah (isu) peletakan jawatan ini dan kononnya berlaku perpecahan dalaman itu, boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.
Jalan terbaik bagi Pas ialah tangani penyebaran berita fitnah itu dengan sebaik mungkin. Pas jangan respons di atas apa-apa kenyataan yang disiarkan di dalam akhbar arus perdana. Semua pemimpin Pas patut bersikap membisu; nafi pun jangan. Cara paling afdal serahkan kepada Nik Aziz sendiri untuk menjawabnya. Nik Aziz akan pulang dari mengerjakan umrah pada 30 November nanti.
Dalam melayani kerenah akhbar ‘kroni mania’ berkaitan perkara ini orang Pas khasnya jangan banyak yang bercakap. Akhbar akan sengaja meminta ulasan dari berbagai pihak dan lapisan kerana tujuan mereka ingin menimbulkan kekeliruan bagi membiulkan rakyat. Kalau ini dapat dimainkan, maka berjayalah musuh Pas; Umno dan juga akhbar mencipta isu bagi kepentingan mereka.
Jika dianalisis kenapa penyebaran itu dilakukan menjelang sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN Kelantan dijangka bersidang pada awal Disember) ia bermotif untuk menarik perhatian ahli Dewan agar menimbulkan isu berkenaan di dalam perbahasan.
Dan dalam masa sama nampaknya ada individu tertentu di dalam UMNO sengaja mahu isu itu dibahaskan untuk melindungi isu yang kini mula membelit dirinya.
Kita harus faham cerita Annuar Musa yang terlibat dengan rasuah, pembelian kereta Mercedes Benz berharga RM980,000, skandal seksnya dengan bekas artis dan selebriti televisyen kini sudah mula terkopek semula. Cerita-cerita negatif dan misteri mengenai kehilangan dan kerugian projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (PLB) semasa Annuar menjadi menterinya sudah mula masuk ke dalam kepala orang ramai semula apabila beliau mempertikaikan isu pembelian enam buah kereta Mercedes oleh kerajaan Kelantan.
Annuar cukup bimbang dengan terbongkarnya segala kebusukan itu. Jadi untuk menutup atau mengalihkan perhatian orang kepada penyakitnya, maka satu isu lain kena dicipta sebagai pelindungnya. Dan isu itu ialah mengenai peletakan jawatan Nik Aziz dan perselisihan dalaman Pas?
Bagaimana pun kita cukup yakin rakyat semua sudah masak dan arif dengan penyebaran berita palsu dan juga provokasi seumpama itu oleh UMNO. Dalam pada itu apa yang kita diharapkan fitnah mengenai Nik Aziz itu tidak akan melemahkan Mursyidul Am Pas itu untuk terus berkhidmat dan menaburkan jasa kepada rakyat Kelantan.
Mudah-mudahan dengan penyebaran itu beliau akan menjadi lebih bersemangat lagi untuk meneruskan perjuangan dan kesihatannya pula jadi semakin bertambah baik.
Lagi pun sebelum ini beliau pernah menegaskan beliau akan berjuang sampai ke akhir hayatnya! Selamat Tuan Guru. – Reformasi!
Tun Paduka Tuan - 24.11.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
HarakahDaily 24.11.2004: MB letak jawatan, laporan media tidak beretika - TMB (terkini) HarakahDaily 23.11.2004: S/U Agung PAS minta usah percaya khabar angin Nik Aziz letak jawatan HarakahDaily 22.11.2004: Kelantan pertahan pembelian enam kereta Mercedes HarakahDaily 22.11.2004: Kereta Mercedes Exco Kelantan, ingat lagi WCE 1