SALAHKAH KALAU ANWAR MENYERTAI UMNO?

Oleh Tun Paduka Tuan

Saya faham tajuk yang saya cuba ketengahkan ini kontroversi dan ramai yang tidak menyenangkannya. Justeru saya terlebih dahulu apologis kepada mereka yang mempunyai alahan (alergik) dengan tajuk ini. Dijelaskan juga bahawa saya tidaklah Special Branch (SB) dalam konotasi seperti mana yang diperkatakan (mendampingi Sdr. Anwar agar menyertai UMNO padahal untuk memusnahkannya) itu.

Tidak, saya sengaja melontarkan mauduk ini sebagai satu “mental exercise” dan juadah naluri selepas kita semua berjaya semua mencapai kemenangan – menyambut pembebasan wira semua bangsa, Sdr. Anwar Ibrahim dan juga merayakan Idifitri 1 Syawal 1425.

Saya juga tidak terfikir Sdr. Anwar akan mudah membuat corner baring kepada kenyataanya; jaminan kepada pembangkang yang beliau akan bersama parti opossi dan NGOs dalam menggerakkan pembelaan dan perjuangan keadilan kepada rakyat. Itulah yang beliau tegaskan lebih daripada dua kali selepas dibebaskan.

Bagaimana pun, suatu hal yang kita kena terima ialah kerencaman dunia politik itu sendiri. Politik itu sendiri penuh seni dan pemikiran yang berbagai-bagai. Mempunyai banyak taktik dan strategi untuk mencapai matlamat. Pemikiran dan alur akal politik bukan statik atau bersifat jumud.

Politik segar bersama isunya. Politik berkembang bersama permasalahanya. Politik subur dengan perdebatan sihat. Manakala penyelesaian politik berbagai-bagai dan tidak terhad kepada satu jalan atau kaedah sahaja. Hakikat ini kita semua perlu sedar dan insaf dan dijadikan amalan. Kalau kita buta mengenai ini maka berhentilah kita berpolitik! (maaf).

Dalam hal ini (keperluan/kemungkinan Sdr. Anwar menyertai UMNO), saya secara peribadi tidak nampak di manakah salahnya kalau Sdr. Anwar menyertai UMNO kembali. Tentulah penyertaan itu secara bermoral dan untuk kesejahteraan umum dan bukan di atas landasan atau nawaitu untuk kepentingan diri.

Syaratnya, UMNO yang membuka pintu dan mempersilakan Sdr. Anwar masuk dan bukannya di atas kehendak dan permohonan Sdr. Anwar. Dalam erti kata lain bukan Anwar yang mengendeng – menjadi hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong untuk kembali semula ke dalam parti itu.

Saya tidak tampak salah dan tidak betulnya kemungkinan itu. Politik bukan agama yang boleh menyebabkan kita rosak aqidah atau keimanan jika meninggalkan parti dan memasuki parti lain. Istilah murtad, kufur dan tergelincir akidah tidak ada di dalam kamus poitik. Apa lagi politik yang kita jiwai hari ini adalah politik sekular – animal politik, politik yang tidak beraqidahkan agama!

Perkara paling pokok, yang perlu difahami Sdr. Anwar bukan keluar dan meninggalkan UMNO untuk melompat ke parti lain. Tetapi beliau dipecat oleh satu konspirasi. Anwar sampai kini tidak bersalah dengan parti UMNO dan perjuangan yang telah diasaskan di dalam parti itu selama kira-kira 15 tahun. Demikian UMNO juga tidak bersalah dan Anwar tidak disalahkan oleh UMNO. Tetapi oleh segelintir manusia yang bobrok! (beruk).

Jadi kalaulah (takdir) UMNO memanggilnya, tidak ada sebab untuk Anwar menolaknya. Apa lagi kalau panggilan itu atas niat untuk membangun bangsa dan nusa serta memartabatkan agama, kurang tapak tangan dengan nyiru Sdr. Anwar perlu tadahkan. Kita berpolitik untuk membawa kesejahteraan untuk semua, itu matlamatnya, dan bukan berpolitik menegakkan benang basah.

Seperkara lagi, para pendokong Sdr. Anwar tidak boleh memyembuyikan bahawa kita mahu Sdr. Anwar berada di atas selaku pemimpin. Kita mahu mahkotakan Anwar sebagai pemimpin kita – menjadi pemimpin untuk semua bangsa. Itulah juga yang pembangkang dan para reformis perjuangkan selama ini.

Apakah salahnya kalau UMNO juga berbuat dan mengharap demikian terhadap Anwar? (Sebenarnya pada masa ini jauh panggang dari api?) Kenapa kita perlu melarang dan terus mencuaki Anwar menyertai UMNO? Kalau jalan pintas sudah ada kenapa kita harus berpenat lelah mengharungi sungai dan lautan. Jalan jauh masih belum tentu dapat membawa kita ke pulau jaya.

Soal UMNO penuh dengan budaya; hedonisme, babarian, jakunisme, gipsy dan sebagainya, serta menjadi sarang maksiat, tempat bermaharajalgilanya rasuah, itu perkara lain. Ia semua akan terhapus apabila di atasnya wujud seorang pemimpin yang membenci segala itu. Rasuah, nepotisme, kronisme di dalam UMNO akan terhakis apabila ianya dipimpin oleh seorang yang beriltizam untuk mengyahkannya.

Hal-hal yang sama juga tidak boleh dijamin bersih daripada parti-parti lain hatta pembangkang hari ini kalau orang-orang macam itu wujud di dalamnya. Di sini wadah atau nama tidak penting, yang penting ialah manusianya.

Begitu juga mengenai kemungkinan pembangkang tidak akan bersama Anwar, kalau Anwar menyertai UMNO, tidak perlu dijadikan kunci kata untuk kita memikir kemungkinan itu. Persoalan ini juga tidak tepat dan ianya sengaja direkakan. Kalau mereka tulus dan menerima perjuangan Anwar, mereka harus sederap dengan Sdr. Anwar ke mana sahaja Anwar pergi. Sekali lagi soal nama atau wadah tidak penting, yang penting adalah pemancunya.

Kesimpulannya kalau kemasukan Anwar ke dalam UMNO menerusi senario dan membawa maksud itu, pada saya tidak ada salah dan cacatnya. Malahan cara itu perlu dialu-alukan oleh semua orang. Sudah sampai masanya kita membuka minda dan menerima konsep politic animal itu dengan cara yang sejajar dengan perubahan zaman.

Tidak ada guna kita berprinsip kalau dengan prinsip itu tidak membawa kita ke mana dan tidak ada pun tanda-tanda dunia akan berubah dengan kekejapan pegangan kita kepada prinsip keduniaan itu. Apa lagi prinsip yang kita pegang itu tidak melibatkan soal akidah dan keimanan kita.

Yang tidak dapat diubah di atas dunia ini ialah ajaran agama, kitab suci al-Quran dan hadith, itu sahaja. Yang lain semuanya boleh diubah dan dipinda mengikut kesesuaian masa dan keadaan selagi ianya tidak memudaratkan diri kita. – Reformasi!

Tun Paduka Tuan - 16.11.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: