ISU PROJEK KERAJAAN BERMASALAH:
KALAU SAMY TAK SALAH SIAPA SALAH?

Oleh Tun Paduka Tuan

TERHIBUR juga hati membaca interview wartawan Utusan dengan Ayoyo Sami (Samy Vellu) di dalam Mingguan Malaysia, Ahad 14 November lepas. Tampaknya Ayoyo Samy berterus terang dan menjawab semua persoalan yang ditimbulkan berhubung isu tanah runtuh, bangunan retak, makmal komputer runtuh, hospital berkulat dan juga tiang lebuh raya MMR2 yang retak.

Kesimpulan daripada penjelasan saya kira berani, berterus terang itu, bahawa Ayoyo Samy dapat memberi jawapan melepaskan dirinya, dan kesalahan yang berlaku ke atas semua isu yang timbul itu tidak boleh diletakkan ke atas bahu Jabatan Kerja Raya (JKR). Ayoyo Samy berjaya menimbulkan ‘kambing hitam’ apa yang dinamakan Perunding Pengurusan Projek (PMC) yang diwujudkan di Kementerian Kewangan, untuk menyelamatkan dirinya.

Menurut Ayoyo Samy semua masalah pembinaan projek kerajaan timbul apabila wujudnya PMC. PMC ialah satu konsortium yang terdiri daripada kontrakor yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan, dan bertindak menguruskan projek di bawah Kementerian Kewangan. PMC mempunyai kuasa lebih besar daripada JKR sendiri! Sejak PMC wujud, peranan dan tugas JKR tidak digunakan lagi, begitu dakwa Samy.

Malahan kata Ayoyo Samy projek 500 buah sekolah yang diuruskan oleh JKR dan telah pun bercadang hendak mengeluarkan “surat niat” ditarik balik dan diuruskan oleh PMC. Begitu kejam sekali PMC terhadap JKR!

Menurut Samy, PMC wujud pada tahun 1990an, dan bersikap baik kononnya tidak mahu menyebut siapa menteri kewangan ketika itu. Tetapi terkilas ikan di air orang sudah dapat mengagak siapakah gerangan yang cuba hendak dipersalahkan oleh Ayoyo Samy, orang itu ialah Sdr. Anwar Ibrahim.

Mungkin ada kebenarannya juga PMC diwujudkan untuk memastikan kontraktor Bumiputera hidup dan dapat bersaing dalam dunia pembinaan. Al-maklumlah bukan semua kontraktor Bumiputera mempunyai wang dan mampu bersaing dengan kontraktor konglomerat Cina dan bangsa asing.

Ada wajarnya juga kalau PMC diwujudkan ketika itu dan kemudian diuruskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan untuk memastikan kontraktor bumiputera mendapat pengagihan projek kerajaan. Tetapi apa yang menjadi masalahnya, kenapa keadaan tidak menentu dan teratur sehingga menyebabkan kerugian berlarutan dibiarkan?

Kalau benar kata Ayoyo Samy, projek yang diuruskan oleh PMC lebih mahal daripada yang diuruskan oleh JKR, kenapa dibiarkan? Bukankan itu membazirkan wang negara? Apakah kerajaan Malaysia sudah begitu bingung (dan tidak ada otak) dan tidak dapat lagi menilai di antara buruk dan baik, untung dan rugi?

Dari kesimpulan keadaan itu dapat difahami bahawa perwujudan PMC dan kenapa keadaan itu dibiarkan ialah kerana ada kepentingan oleh pihak tertentu yang berkebetulan pula berkuasa. Selepas Sdr. Anwar Ibrahim dipecat sebagai TPM dan menteri kewangan, orang berkuasa mengenai kementerian itu ialah bekas Perdana Menteri dan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.

Dan kita amat arif dan faham kenapa nilai harga yang diuruskan oleh PMC itu lebih mahal daripada yang dikendalikan JKR ialah kerana untuk membayar segala macam tol dan juga pengutip cukai haram yang wujud dari peringkat bawah sampailah ke peringkat atasan itu (cawangan hingga Majlis Tertinggi). Siapakah yang mewujudkan pengutip cukai haram, ianya tidak lain dan tidak bukan kerajaan BN yang ditulangi oleh UMNO dan disokong penuh oleh parti Ayoyo Samy itu sendiri.

Mungkin disebabkan berleluasa malapetaka inilah maka Sdr. Anwar bertindak cuba mengawal keadaan ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dulu dengan menyekat dan membuat peraturan baru yang lebih telus, di mana kesannya beliau akhirnya terpelanting.

Kesimpulan jelasnya di sini siapa yang bertanggungjawab di atas segala bencana, keretakan, keruntuhan, bangunan berkulat, tanah runtuh dan sebagainya itu ialah, tidak lain dan tidak bukan mereka dan manusia yang ingin menjaga kroni dan mengamalkan nepotisme, kronisme dan korupsi.

Kini PMC tidak diberikan peranan seperti dulu dan segala projek kerajaan diuruskan oleh JKR semula. Kita harap Ayoyo Samy dapat memperbetulkan keadaan dan menjaga wang rakyat sebaik mungkin.

Satu soalan bertaraf Tadika untuk Ayoyo Samy, apakah masih ada projek baru selepas ini? Atau sesudah segala projek sudah tidak ada baru apa yang dinamakan PMC itu dimansuhkan dan JKR diberi peranan membuat tender semula! Ayoyo...!  – Reformasi!

Tun Paduka Tuan - 15.11.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: