![]()
ANNUAR DESPERATE UNTUK MENGHADAP SULTAN
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)Khabar yang bertiup dari negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga, Kelantan Darul Naim, Pengerusi Perhubungan Umno Annuar Musa (pemilik Mercedec WCE1) sedang giat berusaha untuk memasuki istana. Khabarnya beliau telah memohon untuk kesekian kali bagi menghadap Sultan Kelantan. Permohonan dibuat sejak lama dulu namun tidak membuahkan hasil yang diharapkan.
Berbagai ikhtiar juga diusahakan oleh laki rakan kongsi Oii Kee Siang (Rosniah) itu. Namun masih belum dapat perkenan daripada Sultan. Hati Sultan belum terbuka untuk menerima Annuar. Khabarnya berbagai orang juga telah digunakan untuk membolehkan beliau menghadap Sultan, raja yang diderhakainya sejak 12 tahun itu.
Penyeleweng wang PPRT lebih RM30 juta itu berada di dalam keadaan desprate politik. Dia terjempit di antara cita-cita besarnya dengan masalahnya dengan istana. Dia mahu menjadi MB Kelantan, tetapi jadi masalah bila hubungannya dengan istana masih belum pulih. Annuar menyedari betapa pun dia berkuasa dan kalau Umno menang, tidak mudah untuk dia menjadi MB. Kalau Sultan tidak perkenan, harapannya akan berlalu begitu sahaja.
Itulah masalah dan penyakit jiwa yang dihidapi Annuar kini. Masalah ini benar-benar membatutkan dirinya. Justeru beliau telah dan sedang berusaha dengan apa cara sekalipun untuk dapat masuk ke dalam istana, bagi menghadap Sultan Kelantan dan Raja Perempuan. Annuar tahu nyawa politik Kelantan terletak di tangan istana. Perlembagaan tubuh kerajaan Kelantan menjadi kunci segala-galanya.
Pasti, kalau tidak kerana kunci ini, Annuar tidak akan tunduk kepada Sultan dan istana. Dia sesekali tidak akan cuba menjilat semula ludahnya. Dia bukan calang orang. Siapa tidak tahu egonya sungguh tinggi. Tinggi Bukit Marak, tinggi lagi egonya. Ketika dia seorang menteri dia merasakan dia lebih besar daripada Sultan. Kerana itu dia tidak peduli kepada Sultan dan sanggup derhaka.
Pernah satu ketika sewaktu masih menjadi menteri, dia membayangkan akan meminda perlembagaan tubuh Kelantan, untuk membuang kuasa raja. Beliau pernah berkata, Sultan Kelantan menyerabutkan kerana sering mengganggu urusan politik. Baginya selagi Sultan tidak diasingkan daripada kuasa pentadbiran, mana-mana kerajaan yang ditubuhkan di Kelantan tetap tidak akan aman.
Penderhakaan kepada Sultan kini telah menjadi masalah besar kepadanya. Masalah ini menyebabkan dia merasa tidak sedap duduk dan panas punggung. Menjadikan dia tidak senang untuk berangan-angan menjadi Menteri Besar. Sebab dia tahu kalau Sultan tidak perkenan, dia tidak akan dapat mengangkat sumpah menjadi MB. Biarlah Umno menang 54 kerusi DUN pun pada pilihan raya akan datang dia tidak boleh jadi MB.
Jadi dia kena selesai masalah ini secepat mungkin. Dia harus mencium tangan Sultan Ismail dalam waktu terdekat. Untuk itu dia telah berbuat apa sahaja. Dia telah menggunakan sesiapa sahaja yang boleh menghubungkan semula dirinya dengan istana. Bagi mengatasi masala ini pemilik Mercedec WCE 1 itu sanggup kalau pun diperintah merangkak.
Dalam tilikan Annuar, salah seorang yang dikira dapat dipergunakan untuk berbaikan dia dengan sultan ialah Ibrahim Ali bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas yang dipecat. Annuar Musa sedar yang Ibrahim sangat baik dengan Sultan. Peranan yang dimainkan oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di mana Ibrahim Presidennya dalam menjaga institusi raja dan memartabatkan istana sangat disukai oleh Tuanku Sultan.
Boleh dikatakan setiap tahun Ibrahim melalui badan NGO itu mengadakan majlis untuk meraikan Tuanku. Setiap kali tiba hari ulang tahun keputeraan Tuanku ada-ada sahaja majlis atau function yang diadakan oleh Ibrahim. Misalnya tahun ini majlis Malam Bintang MTRK diadakan yang dihadiri oleh Tuanku dan Raja Perempuan.
Tidak cukup dengan itu, Ibrahim juga sering membawa Tuanku makan angin di luar negara. Beratus ribu duit poket Ibrahim habis semata-mata untuk menghibur dan juga bermesra dengan Tuanku. Atas usaha dan pengorbanan dan kasih Ibrahim itu menjadikan dia begitu rapat dan mesra dengan Tuanku Sultan Ismail dan Raja Perempuan.
Annuar menyedari akan kelebihan dan keistimewaan Ibrahim ini. Dan dia pula tidak berbuat apa yang Ibrahim buat. Walaupun dari segi ‘duit-emas’ Annuar juga mampu untuk merai dan menghiburkan Sultan begitu, namun dia tidak bersedia lakukan. Sifat kedekut dan bakhilnya menghalang untuk dia berbuat begitu. Jenis Annuar jenis hanya nak untung dan tidak mahu rugi.
Jadi dia perlu memperalatkan Ibrahim, menggunakan budi baik Ibrahim untuk memulihkan hubungan beliau dengan istana. Maka tujuan ini Annuar memerlukan seseorang yang boleh mendamping Ibrahim dan memainkan jarumnya. Orang yang dipilih Annuar tidak lain dan tidak bukan ialah boy dunia akhiratnya, Ariffin Hamid, atau dikenali dengan nama Ripin Bucit.
Strategi Annuar itu berjaya apabila Ariffin berjaya mendekati Ibrahim Ali. Entah kena cenduai apa Ibrahim mempercayai kepada Ariffin lalu melantik Ariffin sebagai Timbalan Presiden MTRK. Dengan kedudukan itu Ariffin terus memainkan peranan untuk memulihkan hubungan Annuar dengan Ibrahim Ali, yang kemudian diharap akan membawa masuk Annuar ke dalam istana.
Apakah pula janji dan kecek Ariffin kepada Ibrahim tidak diketahui. Tetapi apa yang mungkin dijanjikan oleh Ariffin kepada Ibrahim bahawa dia (Ariffin) akan membodek pula Annuar agar membawa masuk Ibrahim ke dalam Umno. Dengan kedudukan selaku Pengerusi Umno menggantikan Setopa bojen keras, Annuar dikatakan boleh berbuat begitu.
Kebetulan Ibrahim Ali yang seakan-akan sedang gila talak untuk kembali kepada Umno termakan dengan janji dan kata-kata Ariffin Hamid itu. Maka beliau terus berusaha sedaya upaya untuk membawa Annuar masuk ke dalam istana. Usaha Ibrahim ini membuahkan hasil, bila mana Annuar yang sebelum ini tidak boleh ke istana dan bersalam dengan Sultan akhirnya dapat berbuat demikian.
Sehingga ini sekurang-kurang sudah tiga kali Annuar Musa berada dalam majlis MTRK yang dihadiri oleh Sultan dan Raja Perempuan. Paling baru ialah pada majlis Bintang MTRK pada bulan September lalu. Walaupun Annuar diletakkan di kerusi paling hujung, namun hakikatnya dia sudah berada dalam majlis sebumbung dengan Tuanku.
Perkembangan itu sungguh menggembirakan si play boy itu. Dia mula merasakan bahawa istana sudah tidak berapa marah dengannya. Namun dia masih tidak berpuas hati selagi tidak dapat menghadap dan mencium tangan Sultan. Inilah yang dia sedang nanti-nanti sekarang. Jalan yang dirintiskan oleh MTRK dan Ibrahim Ali sungguh menggembirakan penyangat wang PPRT itu. Sejalur cahaya nampaknya sudah terbentang di hadapannya.
Khabar terbaru, Sultan dikatakan bersetuju untuk menerima Annuar menghadap. Persetujuan Tuanku itu katakan sedikit sebanyak ada campur tangan Ibrahim Ali. Ibrahim dikatakan memberi pandangan agar Tuanku tidak berpihak kepada mana-mana dalam politik dan menerima Annuar. Pandangan adil Ibrahim ini telah memberi kelebihan kepada Annuar.
Perkembangan ini sesungguhnya mendukacita rakyat Kelantan. Kalaulah benar berita ini, ia suatu yang menyedihkan. Ibrahim Ali seharusnya tidak memberi sokongan di atas perkara ini. Dia sepatut sedar dan kenal siapa dia Annuar Musa. Membenarkan seorang penderhaka memasuki istana sesuatu perbuatan yang sungguh tidak beradat. Ibrahim kena ingat kesalahan Annuar kepada istana bukan kecil, tetapi satu kesalahan besar.
Apa yang dilakukan Annuar Musa bukan seperti mana yang berlaku kepada Husein Ahmad, atau Nik Aziz atau dirinya sendiri. Ibrahim, Hussein dan Nik Aziz juga melalui musim-musim tegang dan genting dengan istana. Mereka juga pernah melukai hati Tuanku dan istana Kelantan. Tetapi harus diingat kesalahan mereka bertiga bukan sampai ke peringkat seperti mana dilakukan Annuar Musa.
Mereka bertiga (Ibrahim, Hussein dan Nik Aziz) tidak pernah cuba menabalkan orang lain sebagai Sultan Kelantan. Mereka hanya megeluarkan kenyataan- kenyatan yang tidak sepatutnya. Sebaliknya, Anuar lebih durjana dan biadat dari itu bila mana sanggup menabalkan Tengku Ibrahim Indraputera sebagai Sultan Kelantan.
Siapa Tengku Ibrahim? Dia adalah sepupu Tuanku Sultan Ismail. Betapa aib dan hinanya perbuatan Annuar kepada istana ini khasnya Tuanku Ismail Petra. Beliau telah mencemar institusi raja di Kelantan dan meletakkan Tuanku sebagai raja dan sultan yang tidak sah.
Semua rakyat Kelantan masih ingat kejadian yang malang dan sungguh menghinakan itu. Tentu juga Sultan dan kerabat di Raja Kelantan belum melupai akan perbuatan jahat dan biadap itu. Bagi Ibrahim, Sultan dan rakyat Kelantan seharusnya tidak memaafkan perbuatan durjana itu. Kalau kejadian itu berlaku di zaman bahari dulu, sudah tentu si janggut sunan (janggut dua tiga urat) itu sudah kena pancung dan kepalanya di lempar ke laut seperti mana British lakukan ke atas Tok Janggut (Mat Hassan Munah).
Begitu juga kalau Sultan benar menerima Annuar Musa, di manakah maruah Tuanku? Rakyat tidak lagi akan mempercayai di atas ketegasan Tuanku. Rakyat yang bangkit membela Tuanku, pasti akan merasa kecewa, apabila penderhaka dimaafkan semudah itu. Kita juga kesal dengan tindakan MTRK kenapa bersedia menjadi tali barut kepada Annuar Musa. Sebagai NGO yang menjaga ketinggian dan kehormatan institusi raja, tidak sepatutnya MTRK cuba membawa selut dan car ke dalam istana.
Ibrahim Ali selaku presiden hendaklah ingat dan beliau sepatut tidak mudah cair dengan politik Annuar Musa. Beliau kena tahu penyakit Annuar itu kalau dimandikan dengan tujuh air telaga buta pun tidak akan hilang. Perbuatan beliau pada 1993 di Ketereh itu mengaib dan mencemarkan seluruh rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang. Kalau hendak dikira dengan perbuatan itu, Annuar Musa sepatutnya telah dinyah dari Kelantan.
Orang yang sepatutnya menghalang Annuar ialah Ibrhaim Ali. Sebagai Adi Jagat beliau kena bela Tuanku dan hapuskan Annuar Musa. Bukannya menjadi jambatan kepada pembolot wang rakyat itu. Saya yakin dari segi integriti, kejujuran dan keikhlasan dengan istana dan rakyat Kelantan Ibrahim jauh lebih luhur daripada Annuar Musa. Jadi kalau Ibrahim mencampuri urusan ini, integriti yang luhur itu boleh ternoda.
Percayalah dalam politik di Kelantan Ibrahim boleh hidup tanpa Annuar Musa, tetapi Annuar Musa akan terpinggir dan terasing tanpa Ibrahim Ali. - Reformasi.
Tun Paduka Tuan - 29.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Sila rujuk: Annuar Melenting Bila Kisah Tabal Tengku Ibrahim dibangkit
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan: bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.